suria

Populariti 'Geng Surau' Diteruskan Dengan 'Moreh'

Izelan Basar
Izelan Basar
Izelan Basar

KUALA LUMPUR: Bagi meneruskan kesinambungan drama Geng Surau yang popular di kalangan penonton, Astro Oasis (saluran 106) menghasilkan drama berjudul Moreh.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, konsep cerita Moreh tidak jauh berbeza daripada Geng Surau walaupun tajuknya berlainan.

"Kita menggunakan tajuk dan para pelakon yang baru agar tidak mengelirukan penonton.

"Bagaimanapun pengisian Moreh lebih kurang sama seperti yang ditonjolkan dalam Geng Surau," katanya sewaktu sidang media pelancaran program Astro sepanjang Ramadan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, di sini, Rabu.

Moreh dilakonkan oleh Rusdi Ramli, Ayu Raudhah, Zul Ariffin, Redzuan Hashim, Harun Salim Bachik dan Khaty Fauziah. Ia disiarkan sebanyak 20 episod pada setiap Isnin hingga Khamis, bermula 1 Ogos depan, pukul 7.30 malam.

Drama ini mengisahkan Pak Abu daripada siri Geng Surau yang berpindah dari kampung ke sebuah pangsapuri baru bersama isteri dan anaknya, Duan. Di tempat baru, dia dapati tradisi moreh tidak begitu diamalkan penduduk.

Tambah Izelan: "Selain itu, kami rasa bertuah kerana masih membawakan solat sunat Terawih secara langsung dari Masjidil Haram, Mekah, bacaan tadarus al-Quran dan tazkirah Ramadan menjelang waktu berbuka puasa.

"Kita juga menyiarkan dua buah dokumentari di Astro Oasis berjudul Salam Ramadan - Cina (1 hingga 5 Ogos) dan Salam Ramadan -Turki (8 hingga 12 Ogos, pukul 6 petang). Kedua-duanya akan disiarkan pada pukul 6 petang."

Bagi menyerikan lagi kehadiran Ramadan, Astro Prima (saluran 105) turut mempersembahkan program Geng Mengaji, Deru Ombak, Berselindung Di Sebalik Kaabah, Pintu Sakaratul Maut, Cinta Dari Kaabah dan Pelita Penyuluh Kiblat.

Buat julung kalinya juga, Astro Arena (saluran 801) turut menayangkan sebuah program berjudul Arena Sukan bermula 29 Julai, setiap Jumaat, 11.30 malam yang dihoskan oleh pengulas sukan tersohor negara, Datuk Rahim Razali.

Artikel Sebelum

Artikel Lain