suria

Majlis Resepsi Tertutup Robbie Williams Di Pulau Catalina

LONDON: Bintang pop terkenal British, Robbie Williams (gambar) dilaporkan bakal mengahwini kekasihnya pada hujung minggu ini di sebuah pulau di pantai California, Amerika Syarikat, demikian menurut laporan sebuah akhbar tabloid, Jumaat.

Majlis perkahwinan penyanyi berusia 36 tahun itu dengan wanita dari Amerika Syarikat iaitu Ayda Field, 31, dijangka diadakan pada hari Sabtu dalam sebuah majlis tertutup.

Menurut laporan, pasangan kekasih itu hanya memaklumkan berita perkahwinan mereka kepada ahli keluarga dan teman-teman rapat masing-masing pada minggu lalu.

Majlis resepsi perkahwinan bekas anggota kumpulan Take That dan pasangannya itu bakal diadakan di sebuah pulau di Santa Catalina, kira-kira 32km dari Los Angeles.

Difahamkan, para tetamu yang menghadiri majlis itu akan berkumpul di sebuah pelabuhan kecil pada hari Sabtu, sebelum menaiki feri ke lokasi majlis yang diadakan di pulau itu, demikian menurut laporan akhbar The Sun.

Kenyataan daripada satu sumber yang dipetik sebagai berkata, pasangan itu hanya mengundang sekumpulan kecil tetamu dan butiran mengenai majlis itu begitu dirahsiakan dan hanya diketahui oleh tetamu yang diundang sahaja.

Berita perkahwinan Williams ini tersebar hanya selepas beberapa minggu penyanyi bermasalah itu mengumumkan hasratnya untuk menyertai semula kumpulan Take That.

Sementara itu, kumpulan pop sensasi di era 90-an itu turut dikatakan sedang menyiapkan rakaman album terbaru mereka secara rahsia sebelum dipasarkan pada November depan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain