suria

Lufya Rasa Puas Bila Gubah Lagu Sendiri

Lufya ketika di sebuah majlis anjuran Avon di Hotel One World baru-baru ini. - Foto oleh SAMUEL ONG
Lufya ketika di sebuah majlis anjuran Avon di Hotel One World baru-baru ini. - Foto oleh SAMUEL ONG
Lufya ketika di sebuah majlis anjuran Avon di Hotel One World baru-baru ini. - Foto oleh SAMUEL ONG

MENYANYIKAN lagu gubahan sendiri berbanding komposer lain memberikan rasa yang berbeza kepada penyanyi Lutfyah Sheikh Omar, 25.

Banyak faedah yang dirasai olehnya lebih-lebih lagi apabila setiap lagu yang digubah itu mampu memberikan kepuasan apabila menepati citarasa sendiri.

Berkat sabar menanti, akhirnya Lufya muncul dengan single pertama berjudul Diam yang kini sedang diputarkan di Hot FM.

Sekarang dia sedang menunggu sebuah lagi lagu untuk disiapkan sebelum album yang memuatkan enam buah lagu itu dihasilkan pada hujung Mei ini.

Selain Diam, dia juga tampil dengan Kaki Pengikis, Cintai Sakiti dan Kawanku. Kesemua lagu tersebut berentak pop dance.

“Saya menggubah sendiri untuk kesemua lagu-lagu saya kerana setiap lagu itu mempunyai cerita.

“Kalau kita menggubah lagu sendiri, secara automatik saya dapat sampaikan dan lebih merasai sesuatu lagu itu dari hati,” katanya yang menerbitkan albumnya di bawah syarikatnya sendiri, Lufya Omar Agency (LOA).

Dengan mengeluarkan duit sendiri, Lufya tidak pernah putus harap untuk menghasilkan album yang memakan masa lima bulan itu. Walaupun dia terpaksa melupakan niatnya untuk menggunakan khidmat komposer Manan Ngah, dia gagahkan dirinya juga untuk meneruskan perjuangan dalam industri muzik ini.

“Pada mulanya saya berniat untuk menggunakan khidmat Abang Manan tetapi sebab dia sibuk, saya terpaksa meneruskan niat untuk menghasilkan album ini sendiri.

“Saya turut menggunakan khidmat jurutera bunyi Fauzi dari Singapura sebagai penasihat muzik saya yang berpengalaman dalam konsert bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur dan Singapura,” kata wanita berusia 25 tahun itu.

Selain aktif dalam bidang muzik, Lufya juga mahu berjaya dalam bidang lakonan.

Terbaru, dia baru selesai menjalani penggambaran drama seram Detik 12 Malam untuk RTM2. Tidak lama dulu, dia pernah berlakon dalam drama seram berjudul Hantu Singapura.

Menurutnya, drama itu menceritakan tentang misteri alat muzik erhu peninggalan nenek moyang sahabatnya.

“Dalam drama ini, saya dirasuk oleh hantu Cina sehingga boleh bercakap dalam bahasa Mandarin,” katanya mengenai drama arahan Anwardi Jamil itu.

Jika ditanya tentang kepuasan dalam dunia lakonan, pastinya dia mendambakan watak yang lebih mencabar. Jelasnya, semakin mencabar sesuatu watak itu, semakin puas dia berlakon.

“Sebelum ini saya pernah berlakon sebagai orang bisu dan pekak dalam drama Awekku Bukan Awekmu. Bila saya belajar dan mengikuti kelas bahasa isyarat, saya dapat rasa dan alami sendiri apa yang dirasai oleh golongan kurang upaya itu.

“Jadi, selepas ini, kalau boleh, saya nak berlakon watak perempuan buta pula,” beritahu anak sulung dari lima beradik itu penuh semangat.

Anak kacukan Indonesia dan Arab itu telah berlakon dalam beberapa drama tempatan lain seperti Banifsha, 6 Syarifah, Kisah Pendekar, Semanis Janji, Impian serta beberapa komersial seperti Pantene, Lipton, Good Maid, Avon, Elle dan Nokia.

Artikel Lain