suria

LJ Tersentuh Syamsul Bersungguh-sungguh 'Melamarnya'

Kesungguhan Syamsul melamar Liyana untuk berlakon dalam Khurafat bagai satu penghormatan buatnya. - Foto The Star oleh M. AZHAR ARIF
Kesungguhan Syamsul melamar Liyana untuk berlakon dalam Khurafat bagai satu penghormatan buatnya. - Foto The Star oleh M. AZHAR ARIF
Kesungguhan Syamsul melamar Liyana untuk berlakon dalam Khurafat bagai satu penghormatan buatnya. - Foto The Star oleh M. AZHAR ARIF

AKTRES dan penyanyi Liyana Jasmay boleh disifatkan sebagai bintang muda yang bertuah. Bukan sahaja popular, kredibiliti aktres yang bakal menginjak usia 22 tahun, tanggal 28 Mac depan ini terbukti apabila pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof beriya-iya melamarnya sebagai pasangan dalam filem terbaru Syamsul, Khurafat.

Menurut Liyana yang mesra dengan sapaan Nana atau LJ, sebagai pelakon muda dia menyifatkan lamaran Syamsul itu sebagai satu penghormatan dan penghargaan buatnya.

Malah, antara faktor utama yang membuatnya menerima tawaran itu adalah kerana dia tersentuh dengan kesungguhan Syamsul mempelawanya untuk berlakon bersama.

"Sejak awal lagi, Syamsul bersungguh-sungguh melamar saya untuk berlakon dalam Khurafat. Dia begitu beriya-iya mempelawa saya untuk berlakon bersama.

"Sebagai pelakon muda segenerasi dengannya, saya menganggap lamaran itu sebagai satu penghormatan dan penghargaan buat saya.

"Malah, watak Aishah sebagai isteri kepada Johan (lakonan Syamsul) yang setia dan penyayang itu menarik hati saya untuk menerima tawaran itu.

"Watak sebagai isteri adalah watak yang matang, berbeza dan belum pernah saya lakonkan sebelum ini," kata Nana.

Pada awalnya Nana mengakui, dia agak bimbang dan takut untuk berlakon di bawah arahan Syamsul.

Hanya setelah bertemu dan berbincang dengan produser yang juga bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam, barulah dia menerima tawaran itu.

Bukan dia meragui kredibiliti Syamsul atau tidak yakin dengan hasil kerja pengarah itu, cuma disebabkan mereka tidak pernah bekerjasama sebelum ini, dia perlu mengenali tenaga kerja produksi Skop Production itu dengan lebih mendalam.

"Walaupun pada mulanya, saya takut dan bimbang untuk bekerja di bawah Syamsul tapi setelah berjumpa dan berbincang dengan Datuk Yusof, saya semakin mengenali cara kerja Syamsul dan pasukan kerja Skop Production.

"Bukannya saya prejudis atau meragui kebolehan Syamsul, cuma tidak pernah bekerjasama sebelum ini.

"Jadi perlulah saya mengenali Syamsul dan pasukannya dengan lebih dekat sebelum menerima tawaran itu," katanya.

Bercerita lanjut, Nana berkata, peluang berlakon di samping tenaga muda seperti Syamsul adalah satu pengalaman yang menarik.

Malah, dia turut menyifatkan Syamsul sebagai pengarah yang mempunyai visi dan berpandangan jauh.

"Saya senang berlakon dengan Syamsul. Walaupun dia terbawa-bawa sikap dingin dan sugul sehingga di luar waktu penggambaran, namun saya faham dia menggalas tanggungjawab yang berat sebagai pengarah dan pelakon serentak.

"Mungkin disebabkan tekanan itu, dia sedikit moody. Sebagai pasangannya dalam Khurafat, saya cuba bantu menceriakan keadaan dengan bergurau dan berjenaka dengannya agar dia lebih selesa untuk bekerja.

"Sebagai pelakon, dia cuba menjayakan wataknya, Johan dengan sebaik mungkin. Walaupun masih baru dalam bidang lakonan, Syamsul telah berusaha dengan gigih untuk memainkan wataknya.

"Apa pun, saya selesa dan gembira berlakon di bawah arahan Syamsul. Dia seorang pengarah yang bagus dan mempunyai visi serta imaginasi yang baik.

"Selebihnya, saya tiada sebarang masalah bekerja dengan Syamsul mahupun Skop Production. Semuanya berjalan dengan baik," ujarnya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain