suria

Hezle ambil risiko dengan filem robotik pertama CE1

Hezle Helan amat meminati robot, malah Pengarah dan produser filem ini juga memiliki dua buah syarikatnya sendiri iaitu Hez Communications Sdn Bhd (HezComm) dan Imagika Sdn Bhd (Imagika) serta dia juga merupakan pengerusi Kelab Kaki Robot. - foto ehsan KELAB KAKI ROBOT
Hezle Helan amat meminati robot, malah Pengarah dan produser filem ini juga memiliki dua buah syarikatnya sendiri iaitu Hez Communications Sdn Bhd (HezComm) dan Imagika Sdn Bhd (Imagika) serta dia juga merupakan pengerusi Kelab Kaki Robot. - foto ehsan KELAB KAKI ROBOT
Hezle Helan amat meminati robot, malah Pengarah dan produser filem ini juga memiliki dua buah syarikatnya sendiri iaitu Hez Communications Sdn Bhd (HezComm) dan Imagika Sdn Bhd (Imagika) serta dia juga merupakan pengerusi Kelab Kaki Robot. - foto ehsan KELAB KAKI ROBOT

CINTANYA pada robot-robot tidak kenal erti penat. Bagi pengarah dan produser filem Hezle Helan, setiap robot mempunyai cerita yang menarik.

Hezle, yang sememangnya minat bermain robot dari kecil telah mengambil initiatif mengumpul peminat-peminat robot-robot sepertinya dan menubuhkan Kelab Kaki Robot pada penghujung 2008.

Bila sudah berkumpul, maka bermacam-macam cerita dan idea menarik pun datang dengan sendirinya. Antaranya untuk membuat filem tentang robot.

Justru, antara cerita yang paling menarik dikongsi bersama peminat kaki robot itu akan dipaparkan dalam bentuk filem sains fiksyen robotik bertajuk CE1 (Cyber Engineered No 1), yang akan mencatat sejarah sebagai filem robotik pertama Malaysia.

CE1 telah dirancangkan sejak 2003 lagi dan melalui proses kajian selama enam tahun sebelum penggambaran dilakukan pada bulan Mac tahun ini.

Filem yang dipersembahkan Imagika Sdn Bhd melalui Hez Comm ini dihasilkan bersama oleh Hezle Helan dan Zaki Zamani yang bertindak sebagai penulis skrip.

Meskipun perancangannya mengambil masa yang lama, istimewanya filem beranggaran kos RM2.5 juta kembali memperlihatkan kehebatan pengarah Aziz M.Osman yang cukup terkenal dengan cerita fiksyen XX Ray.

"Filem ini sesuai untuk tatapan seisi keluarga. Saya yakin ramai akan minat dengan filem ini," ujar Hezle.

"CE1 akan dibintangi oleh ramai muka baru untuk memberi satu wajah baru pada filem ini," jelas Hezle.

Pendatang baru dari Singapura, Siti Zie, akan membawa watak utama filem ini.

Ramai yang meletakkan harapan tinggi kepada CE1 yang sudahpun habis sesi penggambarannya.

CE1, yang turut membariskan nama-nama seperti Beego, Sarimah Ibrahim dan beberapa nama baru ini, akan menggunakan 350 kesan visual CGI dengan khidmat beberapa syarikat animasi untuk melaksanakannya.

JALAN CERITA CE1

CE1 berlatarkbelakangkan tahun 2015 dengan mengisahkan seorang budak kampung bernama Zaki yang mempunyai kecenderungan mencipta robot.

Dia mempunyai beberapa buah robot berbentuk serangga yang dipanggil bugbot-bugbot. Ia dibina untuk kerja-kerja di rumah di mana ia merupakan tanggungjawab Zaki sebagai saintis muda.

Salah satu projeknya merupakan sebuah robot humanoid bernama CE1. Zaki bercadang untuk memasuki perlawanan robotik yang bakal diadakan di Kuala Lumpur. Perlawanan itu akan membuktikan dirinya sebagai ahli robotik yang mempunyai masa depan cerah.

Zaki perlu memastikan CE1 bersedia untuk perlawanan tersebut. Selain itu, dia juga perlu menghindarkan cubaan mencuri teknologi CE1 dari sebuah syarikat yang berniat jahat.

KELAB KAKI ROBOT DAN ROBOT DUGONG Kelab ini berfungsi sebagai sebuah kelab yang mengumpulkan para peminat robot yang mempunyai koleksi, kemahiran atau produk mereka sendiri untuk dipemerkan kepada orang ramai.

Lebih membanggakan, kelab ini telah berjaya menghasilkan sebuah robot ikan dugong pertama di Malaysia yang akan dilancarkan pada bulan hadapan di Pusat Sains Negara.

Menurut Hezle, 34, yang juga pengerusi Kelab Kaki Robot, projek robot ikan dugong ini juga akan mendapat pengiktirafan dari Malaysia World Book of Record sebaik sahaja ia akan dilancarkan nanti.

"Robot ikan dugong ini adalah projek terbaru kelab ini yang akan dilancarkan pada bulan hadapan di Pusat Sains Negara.

"Malah robot ini akan mendapat pengiktirafan dari Malaysia World Book of Record sebagai robot ikan dugong pertama di Malaysia yang pernah dihasilkan.

"Sebenarnya di England, mereka telahpun berjaya menghasilkan sebuah robot ikan yang mampu berada di dalam air dan berenang.

"Jadi dari situ kami mendapat idea untuk menghasilkan sebuah robot ikan yang sama dan mampu melakukan perkara yang sama," kata Hezle yang juga anak kepada Helan Abu, pengarah dan juga orang kuat di RTM satu ketika dulu.

Hezle juga memberitahu bahawa berbagai kajian telah dijalankan untuk memilih jenis ikan yang sesuai agar dapat melambangkan Malaysia.

"Kami buat kajian untuk memilih ikan apakah yang sesuai, pada awalnya kami ingin memilih ikan sepat atau ikan keli, tetapi komponen yang kami ada begitu besar, jadi kami terfikir untuk manghasilkan robor ikan dugong.

"Ikan dugong juga melambangkan negara Malaysia, jadi kami ingin menghasilkan sebuah robot disamping melahirkan satu nilai untuk orang luar lebih mengenali dan bangga dengan negara Malaysia," jelas Hezle.

Menurut Hezle juga, robot ini telah dicipta hanya menggunakan bahan-bahan yang murah serta tenaga pakar tempatan sahaja, namun dia percaya bahawa robot ini mampu setanding dengan robot-robot dari luar negara.

"Robot ini tidak dicipta menggunakan bahan-bahan yang mahal, sebaliknya kami memilih untuk menggunak an bahan yang murah dan robot ini dicipta menggunakan tenaga pakar tempatan sahaja.

"Tidak perlu untuk membazir mendapatkan bahan yang mahal serta tenaga pakar dari luar kerana tenaga pakar tempatan juga mampu menghasilkan sebuah produk yang berkualiti adn setanding dengan negara luar," katanya.

Menurut Hezle juga, pihak mereka kini sedang menunggu 'lampu hijau' untuk mendapatkan tarikh yang sesuai bagi majlis pelancaran robot tersebut yang akan diadakan di Pusat Sains Negara.

Robot ini juga katanya, akan dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili.

Minat Hezle terhadap robot juga tidak hanya di Kelab Kaki Robot, Hezle yang merupakan Pengarah Urusan di Hez Communications Sdn Bhd (HezComm) dan Ketua Eksekutif di Imagika Sdn Bhd (Imagika) juga terlibat dalam pembikinan sebuah filem aksi robot Malaysia yang berjudul CE1 di bawah arahan pengarah filem terkenal, Aziz M. Osman.

Diminta mengulas lebih lanjut mengenai filem ini, Hezle mengatakan masih terlalu awal untuk dia menceritakan tentang filem ini kerana masih belum mendapat kebenaran dari pihak tertentu.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan keterangan lanjut tentang Kelab Kaki Robot dan filem CE1 ini, boleh melayari laman web tersebut www.kakirobot.com dan www.ce1.com.my.

Artikel Sebelum

MJ mempunyai satu senarai 'musuh'

Artikel Lain