suria

Shaz korbankan cita-cita chef untuk jadi pelakon

Shaz pada mulanya ingin menjadi chef sebelum bergelar pelakon sekarang. -foto TV3
Shaz pada mulanya ingin menjadi chef sebelum bergelar pelakon sekarang. -foto TV3
Shaz pada mulanya ingin menjadi chef sebelum bergelar pelakon sekarang. -foto TV3

MUNGKIN tidak ramai yang tahu pelakon baru tetapi berbakat besar dalam drama bersiri 'Tari Tirana', Shaz Jazle pada awalnya tidak pernah bercita-cita menjadi pelakon.

Akui Shaz yang pandai memasak sebaliknya mengimpikan dirinya menjadi chef. "Saya lebih mahir memasak 'chicken chop', 'fish-and-chip' dan apa yang penting ialah kuahnya."

Mendengar tip masakannya, Shaz ialah seorang "chef" yang sedar apa yang dipercakapkannya. Segala kaedah masakan dan cara pengendaliannya adalah unik dan profesional.

Malah remaja kacak berusia 21 tahun ini hakikatnya telah menghabiskan masa setahun belajar bidang masakan peringkat pensijilan di Kolej Komuniti, Kuala Lumpur sebelum menerjunkan diri dalam bidang lakonan.

"Saya sepatutnya menyambung pengajian chef di peringkat ijazah sarjana muda di Paris tetapi saya kini mengubah haluan.

"Saya akan mengikuti kursus pengarahan filem dan drama selama enam bulan di Gold Coast, Australia pada awal tahun depan," katanya pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama bersiri 'Tari Tirana' di Platinum Movie Suite, Cathay Cineplex, Cineleisure Damansara baru-baru ini.

Dalam drama 'Tari Tirana', Shaz berlakon sebagai penyanyi pop terkenal di Singapura, Ash iaitu teman lelaki kepada Tirana (lakonan Wan Sharmila).

Hubungan cinta mereka terputus ekoran kata dua pengurus Ash, Vee yang mahukan Ash memfokus pada kerjaya. Ayah Tirana, Tajudin pula mahukan Tirana menjadi seorang peguam sepertinya.

"Emak masa itu sakit di Amerika Syarikat (AS) dan perlu membuat pembedahan. Bila dapat panggilan telefon, saya terus terbang balik ke AS. Ketika itu, saya sedang membuat persembahan di Singapura.

"Malangnya emak dah meninggal dunia. Dan saya datang ke Kuala Lumpur untuk mencari Tirana, tetapi pengakhiran tidak pasti," kata Shaz yang telah berlakon selama 1 1/2 tahun selain merupakan model sambilan.

Shaz berterima kasih kepada pengarah filem 'Tari Tirana', Shahrulezad Mohamedin yang meletakkan kepercayaan kepadanya untuk memegang watak utama.

"Abang Ezad banyak membantu saya menjiwai karakter watak Ash. Saya juga berdepan dengan cabaran menari dengan baik," ujarnya yang tertarik dengan skrip drama Shahrulezad.

Drama 'Tari Tirana' adalah yang kedua bagi Shaz dengan TV3 selepas penampilan sulungnya menerusi drama 'Bionik'. Shaz turut membintangi telemovie 'Bila Mama pakai celana (2008)' di TV3 yang ditayangkan pada Hari Ibu tahun ini.

Menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula, Shaz berlakon dalam telemovie 'Mentari Kasih' dan 'Naratif Remaja'. Selain itu, Shaz terlibat dalam online movie "Luna Fantasiku" oleh gua.com.my.

Untuk projek yang akan datang, Shaz bakal berlakon dalam drama pendek Inner Shines, 'Dari mata ke hati (TV3)' yang terdiri daripada lima episod dan akan ditayangkan pada November ini.

"Ia lebih kepada mimpi saya.. Sebagai pengarah, saya nak cari satu skrip yang bagus tetapi tak kenal orang. Saya cuma nampak sepasang mata.

"Tidak tahu siapa...toleh belakang, dah hilang. Oleh itu, story saya adalah mencari pemilik sepasang mata tersebut," kata Shaz yang merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik dan berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Artikel Lain