suria

Tomok dan Aweera serikan parti Media Prima

Tomok dan Aweera menyerikan Malam Media bersama Media Prima Berhad di Sunway Lagoon semalam. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Tomok dan Aweera menyerikan Malam Media bersama Media Prima Berhad di Sunway Lagoon semalam. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Tomok dan Aweera menyerikan Malam Media bersama Media Prima Berhad di Sunway Lagoon semalam. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI

PROGRAM realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga berakhir sudah, tetapi bahangnya masih boleh dirasai pada parti media oleh Media Prima Berhad (MPB), semalam.

Ini kerana juara OIAM, Tomok dan rakan seperjuangannya, Aweera telah menghangatkan suasana sambutan dengan mendendangkan lagu-lagu yang dinyanyikan masing-masing di pertandingan akhir.

Tomok mengalunkan lagu Crazy In Love dan Rindu Terhenti sementara Aweera membawakan lagu, Aku Dah Bosan dan Ku Di Sini.

Dalam persembahan bertenaganya, Tomok turut mengajak dua wartawan menari dan menyanyi bersama-samanya.

Kira-kira 500 wakil media dan tetamu jemputan menghadiri acara MPB yang gilang-gemilang di Surf Beach, Sunway Lagoon Resort. Para hadirin memakai sarung sesuai dengan temanya, Sarong Dude.

Terdapat cabutan bertuah, tarian Hawaai dan persembahan malam gala Patung Kertas 2 yang baru habis dipentaskan di Matic, Jalan Ampang baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan; CEO TV3, Datuk Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Operasi (COO) TV9, Bukhari Che Muda; CEO 8TV, Ahmad Izham Omar ; CEO NTV7, Suridah Jalaluddin dan COO Radio Networks MPB, Seelan Paul.

Sebelum persembahan bermula, Farid membuat flying fox merentasi kolam buatan manusia itu dan aksinya itu mendapat sorakan serta tepukan gemuruh orang ramai.

Sementara itu, mereka turut bergambar dengan watak kartun, Upin dan Ipin yang tampil untuk mencuit hati mereka.

Antara selebriti dan personaliti dari setiap saluran televisyen MPB yang hadir termasuk Syed Mohd. Khair, Norazura Abu Samah dan Nadia Shahrul Anuar.

Kak Cham dari Berita Harian memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu kereta Fiat Panda. Untuk menuntut hadiah bernilai RM75,000 itu, editor itu terpaksa bermandi di kolam terlebih dahulu.

Status kontrak untuk Esther dan Aweera

Dalam pada itu, Ahmad Izham ketika ditemui mengenai status kontrak yang mungkin ditawarkan kepada Esther dan Aweera pada Isnin lalu berkata, pihaknya belum membuat keputusan lagi.

Jelasnya, dia hanya dapat berjumpa dengan mereka pada Isnin depan ekoran kesibukan kerja.

"Ya... kami (8TV) akan adil kepada mereka. Jadi, pihak kami akan duduk berbincang dengan mereka Isnin depan," katanya.

Artikel Lain