suria

Penangan Black Dog Bone buat penonton tak mahu pulang

Vokal penyanyi utamanya, Jatt tetap unggul dan mantap seperti dulu ibarat mendengar lagu nyanyiannya di dalam album ketika mengalunkan 18 buah lagu. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU
Vokal penyanyi utamanya, Jatt tetap unggul dan mantap seperti dulu ibarat mendengar lagu nyanyiannya di dalam album ketika mengalunkan 18 buah lagu. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU
Vokal penyanyi utamanya, Jatt tetap unggul dan mantap seperti dulu ibarat mendengar lagu nyanyiannya di dalam album ketika mengalunkan 18 buah lagu. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU

SELEPAS 30 tahun menghilang, kini mereka kembali dari Kota Singapura! Bagaikan tidak percaya apabila dapat menonton persembahan bertenaga daripada band Black Dog Bone (BDB) yang tampil dengan lagu-lagu hits seperti Si Gadis Ayu, Nasi Goreng, Bahagia dan Derita, Bila Rindu, Hatiku Luka Lagi, Dulu dan Sekarang dan Khayalan.

Vokal penyanyi utamanya, Jatt tetap unggul dan mantap seperti dulu ibarat mendengar lagu nyanyiannya di dalam album ketika mengalunkan 18 buah lagu.

Ditanya apakah rahsianya hingga masih mengekalkan vokalnya yang bertenaga, Jatt berkata dia tiada rahsia melainkan cintanya yang mendalam terhadap muzik.

“Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia kerana muzik merupakan ‘passion’ saya. Saya sebagai pemuzik dan penyanyi. Setiap kali membuat persembahan, saya pastikan hendak menghiburkan penonton apabila berada di atas pentas,” kata Jatt sejurus selesai pratonton Konsert BDB di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Konsert ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Ibu yang jatuh pada 10 Mei ini.

Selain itu, kelebihan Jatt iaitu menyanyi sambil bermain drum turut berjaya memikat hati penonton.

Hanya kadangkala sahaja Jatt akan menyanyi sambil bermain drum dan selebihnya menyanyi di hadapan.

“Ikutkan dalam semua lagu, saya akan bermain drum tetapi samada menyanyi sambil bermain drum atau tidak, kedua-duanya saya suka. Saya akan gunakan apa yang perlu digunakan,” beritahu Jatt.

BDB juga berjaya menggamatkan panggung sari dengan menjemput penonton menari bersama ketika mengalunkan lagu Joget Hati Jujur dan Joget Bujang Di Rantau.

Selain Jatt, konsert selama 2 jam 20 minit ini turut disertai oleh Izzat (gitar), Masrom Ali (trompet dan valve trombone), Hamid Ahmad (bass), James Chai (tenor, saksofon, flute dan tamborine) dan Michael Heng (keyboard).

Konsert yang menampilkan penyanyi Jay Jay dan pemain seruling Rahim Othman itu turut dibantu oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh pengarah muzik Mustafa Fuzer Nawi.

Rata-rata penonton yang hadir pada malam tadi terpukau dan teruja dengan konsert itu sehingga ada yang tidak mahu meninggalkan tempat duduk masing-masing kerana menunggu Black Dog Bone untuk menyanyi lagi.

“Saya rasa kami telah berikan 100 peratus yang termampu dan melihat penonton begitu terhibur walaupun ada sedikit kesalahan.

“Memang pada mulanya kami menjangkakan untuk menyanyikan 20 buah lagu tetapi pada malam ini kami hanya boleh menyanyikan 18 buah lagu kerana masa yang terhad.

“Kami sudah sediakan kira-kira 27 buah lagu untuk dinyanyikan dalam masa tiga hari ini. Kami akan membuat pertukaran lagu pada setiap malam dan kadangkala akan mengikut lagu permintaan penonton.

“Kalau mengikut peringkat umur saya, semua lagu susah untuk dinyanyikan tetapi saya cuba yang termampu dan terdaya. Semoga kesihatan saya sentiasa konsisten,” ujar Jatt.

Dalam pada itu, Jay Jay pula yang terkilan kerana tidak dapat membuat persembahan dengan band Carefree berkata persembahan harus diteruskan kerana ini adalah punca rezekinya.

“Walau apa pun terjadi, saya tetap akan menyanyi dan terus menyanyi..nyanyian merupakan punca rezeki saya,” kata Jay Jay yang tampil solo.

Dia telah menghiburkan penonton dengan persembahan mengasyikkan menerusi lagu Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali, Belaian Jiwa, Kini Baru Kau Sedar, Rindu Bayangan dan Joget Angan Tak Sudah.

Cuma Jay Jay dilihat kurang bertenaga ketika menyanyikan lagu baru iaitu Permaisuriku.

Tambah Jay Jay, dia telah menyediakan hampir 14 buah lagu dan akan menyanyikan tiga buah lagu baru.

“Pada malam ini, saya hanya menyanyikan sebuah lagu baru. Mungkin di malam-malam yang lain, saya akan tukar-tukar lagu kerana tidak cukup masa untuk menyanyikan semua lagu baru itu.

“Saya juga tidak mempunyai masalah untuk berduet dengan Jatt tetapi disebabkan ada masalah teknikal dan sedikit ‘adjustment’, kami tidak dapat melakukannya,” ulasnya.

Sementara itu, Rahim Othman yang terkenal dengan tiupan serulingnya kelihatan seperti tidak berpuas hati menerusi persembahan lagu Mission Imposible, Doa dan Untukmu Ibu (nyanyian Jay Jay dan Jatt BDB).

“Saya rasa sebab masalah mikrofon dan monitor yang tak boleh terima kerana seruling menggunakan angin. Jadi saya terpaksa meneruskan persembahan jugalah dan sudah membuat yang terbaik,” beritahunya.

Justeru, pengarah konsert, Ali Bakar berkata dia berjanji akan meningkatkan mutu konsert ini dan cuba mengelakkan terjadinya masalah teknikal lagi selepas ini.

“Saya harap semuanya akan okey selepas ini. Setiap kekurangan kita akan cuba ‘improve’kan.

“Bagaimanapun, saya kagum dan terharu dengan persembahan mereka. Bukan saya nak ‘mengangkat’ mereka tetapi saya tak sangka mereka boleh membuat persembahan seperti ini sehingga penonton tidak mahu pulang.

“Yang datang pun bukannya yang muda-muda. Saya agak terkejut..

“Orkestra Simfoni Kebangsaan turut memainkan peranan. Walaupun masa agak singkat dan sedikit, tetapi mereka telah meletakkan ‘best effort’,” luah Ali.

Saksikan Konsert BDB pada 8, 9 dan 10 Mei, pukul 8.30 malam di Istana Budaya.

Menurut pihak Istana Budaya, kini sebanyak 30 peratus tiket konsert yang tinggal.

Dapatkan tiket berharga RM65, RM85, RM155 dan RM205. Bagi tiket berharga RM155 dan RM205 akan diberikan diskaun sebanyak 15 peratus.

Tiket boleh didapati di kaunter tiket Box Office, Istana Budaya atau tempahan melalui www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600.

Artikel Lain