suria

Ailee belum berani cuba durian, nak ‘repeat’ nasi goreng masa datang KL… Janji persembahan tak dapat dilupakan peminat

Ailee teruja bertemu peminat di Malaysia.

SELEPAS sekian lama tidak kembali ke Malaysia, penyanyi Ailee meluahkan rasa teruja bakal menghiburkan peminat di negara ini pada 22 Jun depan.

Menjanjikan pengalaman indah sepanjang konsert berlangsung, Ailee tidak sabar mempersembahkan pelbagai seleksi lagu popularnya khas buat peminat.

Malah Ailee akan mendendangkan rangkaian lagu miliknya yang dijadikan runut bunyi (OST) beberapa Korean Drama (Kdrama) pada malam itu nanti.

aileeee

Ailee teruja ingin bertemu peminat di Malaysia.

Menurutnya, malam berkenaan diharap dapat mengeratkan lagi hubungannya bersama peminat yang menggelar diri mereka sebagai Aleeans (Ailens).

"Saya sudah lama tak datang Malaysia, jadi saya rasa sangat teruja untuk bertemu dengan peminat. Saya sediakan persembahan yang menghiburkan untuk mereka berseronok pada malam itu.

"Saya juga mahu hubungan saya bersama peminat di Malaysia bertambah erat kerana dapat meluangkan masa bersama tapi sejujurnya saya pun ingin berseronok bersama mereka.

"Saya tahu peminat di Malaysia telah lama menunggu konsert ini, saya hanya nak berikan yang terbaik dan memuaskan hati mereka. Saya harap peminat saya ada pengalaman indah dalam hidup mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert ‘I Am: Here’ Ailee 22 Jun, Aina Abdul dipilih penyanyi pembuka tirai

ARTIKEL BERKAITAN: Hati Ailee sudah dimiliki, bakal kahwin ahli perniagaan tahun depan

Ailee berkongsi keterujaannya itu secara eksklusif ketika dihubungi mStar baru-baru ini.

Bukan sekadar mengadakan konsert, Ailee juga tidak sabar untuk memburu pelbagai jenis nasi goreng yang terdapat di Malaysia.

Katanya nasi goreng merupakan makanan kegemarannya dan kerap mencari hidangan tersebut apabila berada di Malaysia.

"Sudah tentu saya nak cari makanan yang sedap! Saya masih ingat ketika saya datang Malaysia dulu makanan di sini sangat menarik.

Saya tak pernah rasa lagi durian tapi saya pernah makan kerapek durian.

AILEE

PENYANYI

"Tentu saya nak mencuba nasi goreng, saya sangat suka nasi goreng. Nasi goreng ada dijual di Korea tapi rasanya tidak sama.

"Tapi saya tak ada masa sangat untuk berjalan-jalan di Malaysia tapi saya harap saya berkesempatan untuk dapat cuba apa yang saya mahu nanti," kongsinya.

Dalam pada itu, Ailee memberitahu dia masih belum bersedia untuk mencuba durian namun pernag mencuba beberapa jenis produk berasaskan raja buah itu.

Malah dia juga ingin membawa pulang kerepek durian sebagai buah tangan buat rakan-rakannya di Korea Selatan.

2577917

Ailee janji beri kepuasan kepada peminat.

"Saya tak pernah rasa lagi durian tapi saya pernah makan kerapek durian. Rasa kerepek pun sudah sedap tapi saya belum cukup berani mencuba yang asli.

"Tapi saya akan beli kerepek durian bila saya datang ke sini," ujarnya.

Konsert jelajahnya iaitu I Am: Here yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu turut menampilkan penyanyi popular Aina Abdul.

Peminat boleh mendapatkan tiket konsert Ailee I Am: Here menerusi enam pilihan iaitu Super Aileens/VIP pada harga RM858, CAT1 (RM628), CAT2 (RM528), CAT3 (RM428), CAT4 (RM358), dan CAT5 (RM288).

Tiket konsert berkenaan sudah pun mula dijual menerusi laman web LOL Asia sejak 2 Mac lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain