suria

Marcell mahu menyanyi sampai umur 90 tahun, siap masuk kelas vokal untuk ‘maintain’ suara

Marcell tetap mahu meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.

BAGI memastikan dirinya masih mampu menyanyi dengan baik di usia tua, penyanyi Marcell mengambil inisiatif dengan mengikuti kelas vokal klasikal.

Marcell atau Marcell Siahaan, 46, berkata untuk mengekalkan kemampuan vokal bagi jangka masa panjang, dia perlu mempelajari teknik nyanyian yang betul.

Kata Marcell lagi, dia menjadikan Tom Jones sebagai contoh kerana penyanyi veteran itu masih mempunyai kemantapan vokal yang baik meskipun sudah berusia.

marcell1 - 1

Marcell mengakui masih mengikuti kelas vokal.

"Saya baru sahaja selesai menghadiri kelas untuk menjadi penyanyi tenor atau vokal klasikal hanya untuk mendapatkan teknik supaya saya boleh menyanyi sehingga usia 90 tahun.

"Saya lihat ramai penyanyi-penyanyi legenda seperti Tom Jones walaupun usianya sudah tua tetapi masih boleh menyanyi dengan nada yang sama. Tidak berubah.

"Bagaimana caranya? Semuanya kita perlu mencari teknik yang betul dan menjaga kesihatan fizikal dengan baik," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 tahun bergelar mualaf, Marcell Siahaan peluk Islam bukan kerana wang

ARTIKEL BERKAITAN: Marcell Beri Kebebasan Anak Pilih Agama

Dalam pada itu, Marcell turut memberitahu dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk berhenti menyanyi selagi masih mampu untuk menghiburkan peminat.

"Kerjaya nyanyian tidak sama seperti birokrat atau ahli politik yang ada waktu berhentinya. Sebagai penyanyi, saya selagi masih ada hayat, sampai saya 'dipanggil' (meninggal dunia), di situlah waktu saya akan berhenti menyanyi.

"Nanti kalau saya kata target nak berhenti menyanyi pada usia 50 tahun, ditakdirkan pula selepas itu diduga dengan penyakit. Jadi saya lebih selesa untuk tidak meletak sebarang sasaran berhenti menyanyi," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Marcell bakal bergabung bersama penyanyi Once Mekel dan Bams yang juga merupakan bekas vokalis kumpulan Samsons dalam sebuah konsert yang digelar Trio Terhebat (Vol.1) yang berlangsung pada 4 Mei depan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut wakil penganjur ICON Entertainment, Mike Manicka memberitahu gabungan tiga penyanyi hebat itu umpama membawa penonton hadir dalam 'perayaan vokal' di atas satu pentas.

marcell3 - 1

Bams (kanan) dan Marcell (kiri) bakal menghiburkan peminat di Kuala Lumpur pada Mei depan.

"Once, Marcell dan Bams adalah tiga nama besar dalam belantika muzik nusantara. Mereka sudah mengukir banyak sejarah dan tentu sahaja mempunyai ramai peminat yang akan berkumpul menyaksikan konsert itu nanti.

"Trio Terhebat akan menjadi konsert terbaik buat Once, Marcell dan Bams kerana bukan hanya pertama kali bergabung tetapi peminat bakal teruja dengan karisma yang dibawa oleh mereka," katanya.

Tiket konsert Trio Terhebat Vol.1 sudah mula dijual dengan harga bermula RM268 sehingga RM1388.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain