suria

Terima kenyataan Ashraf Sinclair sudah tiada, Bunga Citra Lestari kini lebih kuat - “Nangis macam orang gila sekalipun, selepas itu kita berdiri semula”

BCL jadi kuat selepas pemergian suami tercinta, Ashraf Sinclair.

SELEPAS setahun pemergian suami tercinta iaitu Ashraf Sinclair, penyanyi Bunga Citra Lestari mengakui masih belajar menerima kenyataan tiada lagi insan tersayang disisi.

Bunga atau lebih mesra disapa BCL berkata dia kini berusaha menjadi orang yang lebih kuat selepas ketiadaan arwah sejak Februari tahun lalu.

"Dia sudah tiada untuk jaga saya, jadi kini saya kena jaga diri sendiri. Itu menyebabkan saya perlu kuat dan harus menjadi kuat.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 bulan pemergian Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari ditanya adakah bakal kahwin lagi? - “Setiap hari menangis dan sekarang masih menangis lagi...”

"Saya tak boleh kata saya sudah kuat, cuma sekurang-kurangnya kita cuba.... kalau jatuh, kita terus bangun!

"Tak mengapa, nangislah macam orang gila sekalipun, selepas itu kita berdiri semula," katanya semasa bersiaran dalam program NSS Ep24 - Bunga Citra Lestari yang dimuat naik di saluran YouTube CXO Media pada Sabtu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Cinta Sejati ini juga sempat berkongsi perancangannya mengenai karier muzik.

"Perancangan sebelum ini dengan Ashraf dia bantu saya untuk buat label sendiri, tapi dia pergi dahulu.... jadi kita teruskan sahaja perancangan itu.

"Saya akan teruskan karier nyanyian, kalau boleh mahu terus berkembang, ada konsert lagi, buat album penuh, muzik, filem atau apa sahaja karya hebat lain," ujarnya.

Pada 18 Februari tahun lalu, Ashraf, 41, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia kira-kira pukul 4 pagi kerana serangan jantung.

Ashraf meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

SUMBER: DetikHot

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain