suria

Bertarung melawan Covid-19, Ashanty hanya ingat mati - “Nafas saya tersekat seperti mahu ditarik malaikat maut”

Ashanty kongsi pengalaman itu menerusi saluran YouTube miliknya sekeluarga.

PENGALAMAN ketika terlantar sakit di hospital akibat dijangkiti Covid-19 benar-benar membuatkan isteri kepada penyanyi Anang Hermansyah iaitu Ashanty berasa insaf.

Menerusi video yang dimuat naik di YouTube, Ashanty berkongsi keadaan dirinya yang ketika itu mengalami masalah pernafasan sehingga pernah terdetik bakal diambil malaikat maut.

"Tuhan... sakit sangat rasanya. Badan saya lemah semua, pegang sikit pun dah sakit. Nafas saya pun tersekat seperti mahu ditarik malaikat maut.

"Saya pernah melihat orang yang menghembus nafas terakhir... saya terasa seperti itu. Sesak nafas, tak pernah saya rasakan seumur hidup," katanya.

Selain Ashanty, dua orang anak tirinya iaitu Aurel dan Azriel turut disahkan positif Covid-19 sekitar Februari lalu.



Ashanty bersama suami dan anak-anak.

Dalam pada itu, Ashanty turut memberitahu kesukaran untuk makan ketika itu membuatkan dia berasa terseksa dan menyerah sekiranya Allah ingin menarik nyawanya.

Bagaimanapun, Ashanty berdoa agar diberikan kesembuhan kerana memikirkan anak-anak terutama Aurel Hermansyah yang bakal bernikah.

"Sepanjang waktu itu, saya susah nak makan. Sampai saya pernah terfikir, 'Ya Allah daripada aku hidup begini, aku terseksa sangat, aku ikhlas'. Walaupun waktu itu, fikiran saya hanya anak-anak.

"Anak nak bernikah, keadaan anak-anak yang lain, suami, dan macam-macam lagi. Saya berdoa agar diberikan kesembuhan... itu saja doa saya," ujarnya.

Sementara itu, Ashanty kini berehat di rumah selepas doktor membenarkannya pulang berikutan keadaan dirinya semakin pulih. - Liputan6

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain