Daily Mail melaporkan, Paris, 34, mengalami tekanan emosi selain berasa takut untuk menaiki kapal terbang selepas menyifatkan kejadian tersebut sebagai pengalaman paling buruk.
"Kejadian itu menyebabkan dia mengalami tekanan emosi dan 'prank' yang dilakukan Ramez tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan jenaka. Pesawat bakal terhempas adalah serius," kata sumber.
Ketika kejadian, Ramez mempelawa Paris untuk melihat bandar Dubai dari udara sebelum dimaklumkan oleh juruterbang enjin pesawat ringan itu tiba-tiba terpadam dan bakal terhempas.
Paris yang ketakutan dilihat menangis dan menjerit bersama beberapa penumpang lain yang sebenarnya adalah pelakon tambahan untuk mengenakan penyanyi lagu Star is Blind itu.
Bagaimanapun pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat sebelum Ramez memberitahu Paris ia hanyalah rancangan untuk mengenakannya dan ia dirakam untuk program terbitannya, Ramez in Control.
Paris yang kelihatan trauma tersenyum hambar apabila diberitahu kebenaran tentang kejadian tersebut.
"Ia adalah pengalaman paling menakutkan. Saya akan bunuh awak," katanya kepada Ramez.


