suria

Sektor Pembuatan Catat Nilai Jualan RM66.3 Bilion Pada Oktober 2017

KUALA LUMPUR: Nilai  jualan sektor pembuatan Malaysia pada Oktober 2017 terus  mencatatkan peningkatan kukuh 11 peratus dengan nilai jualan sebanyak RM66.3 bilion berbanding RM59.7 bilion yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut  Jabatan Perangkaan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, jabatan itu berkata peningkatan  nilai  jualan dalam perbandingan tahun ke tahun itu  didorong  oleh  pertambahan  dalam  semua subsektor  terutamanya  kumpulan  barangan peralatan  elektrik  dan  elektronik sebanyak 7.5 peratus, produk  petroleum,  kimia,  getah  dan  plastik  (18 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (7.9 peratus).

Ketiga-tiga subsektor tersebut menyumbang 80.1 peratus kepada nilai jualan sektor pembuatan, katanya.

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Oktober 2017 adalah seramai  1,053,335 orang, meningkat sebanyak  2.4 peratus atau 24,194 orang berbanding 1,029,141 orang pada Oktober tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan itu, jumlah  gaji dan upah yang dibayar meningkat sebanyak  9.6 peratus (RM311.3 juta) kepada  RM3,541.7 juta, yang  mencatatkan purata gaji dan upah setiap pekerja sebanyak  RM3,362 pada Oktober 2017.

Nilai jualan per pekerja naik sebanyak  8.5 peratus kepada  RM62,956 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, kata jabatan itu.-- Bernama

Jabatan Perangkaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

SIX Perkukuh Budaya Inovasi

Artikel Lain