suria

RM153 Juta Pinjaman PKBC Dilulus

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM153,113,960 pinjaman di bawah Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru (PKBC) telah diluluskan kepada 4,736 orang penduduk Kampung Baru Cina untuk menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan, sehingga 30 April lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong berkata bantuan itu berkemampuan membantu meningkatkan kecekapan dan daya saing perniagaan kecil-kecilan supaya menjadi lebih kompetitif.

"Dana berbentuk pusingan sebanyak RM100 juta itu disediakan dan dilaksanakan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu penduduk Kampung Baru Cina khususnya bagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan dalam membiayai perniagaan kecil," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pada sesi Dewan Rakyat pada Khamis.

Wee (Jeck Seng) ingin tahu cara untuk meningkatkan dan menambah aktiviti ekonomi di kawasan Kampung Baru Cina di Semenanjung Malaysia.

Menjelas lanjut, Wee berkata selain memberi peluang kepada golongan muda untuk memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan sedia ada, PKBC juga berperanan menggalakkan perniagaan kecil untuk menjadi industri penyokong dan pelengkap kepada industri besar, selaras dengan proses pertumbuhan ekonomi negara.

Wee berkata selain program PKBC, kerajaan turut menyalurkan peruntukan pembangunan berjumlah RM239 juta untuk menaik taraf infrastruktur fizikal dan sosial di Kampung Baru Cina dari 2011 sehingga 28 Mei lepas.

"Pelaksanaan projek pembangunan kecil yang diterajui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga membantu menjana ekonomi setempat kerana JKKK mendapatkan bekalan pembinaan dan sewaan peralatan atau kenderaan daripada pembekal setempat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Wee (Jeck Seng) mengenai pendekatan kerajaan dalam menyebarkan maklumat mengenai bantuan yang disediakan, timbalan menteri itu berkata selain pegawai terlibat, sebanyak 70 pegawai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah dilantik untuk tujuan tersebut.

"Mereka ini ditugaskan untuk turun padang dan menyampaikan maklumat tentang bantuan kerajaan kepada penduduk di 607 buah Kampung Baru Cina," kata menteri itu.

Beliau berkata JKKK juga digalak mengadakan program kemasyarakatan bagi menyebarluaskan penerangan berhubung insentif kerajaan itu kepada penduduk.

PKBC

Artikel Lain