suria

Penyusunan Semula MAS Perlu Bebas Campur Tangan Politik

KUALA LUMPUR: Penyusunan semula berterusan Malaysia Airlines (MAS) mesti bebas daripada campur tangan politik atau kerajaan, tanpa sebarang pertimbangan khas ke atas sesiapa sahaja, kata Tan Sri Dr Chua Soi Lek.

Bekas menteri kesihatan dan presiden MCA itu berkata pada masa yang sama,  pekerja MAS dan kesatuan mereka mesti membiasakan diri dengan idea bahawa jika penyusunan semula ke atas syarikat penerbangan yang bermasalah itu gagal, kebanyakan rakyat Malaysia akan berputus asa.

"Mereka tidak akan terbang lagi dengan MAS. Saya antara mereka yang setia terbang dengan MAS di sepanjang masa. Namun, ada yang berjumpa dan memaklumkan kepada saya mereka menyokong MAS kali ini. Namun jika penstrukturan semula ini gagal atas apa jua sebab, mereka akan hilang kepercayaan ke atas syarikat penerbangan berkenaan.

"Mereka perlu disedarkan bahawa orang ramai kini mempunyai pilihan," katanya kepada Bernama.

Dr Chua berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan transformasi perniagaan ketua pegawai eksekutif baharu MAS, Christoph Mueller.

Antara lain, ia melibatkan penyediaan kemudahan serba canggih, latihan semula petugas dan menaik taraf kontrak pemerolehan perniagaan, selain 14,000 pekerja yang diambil semula untuk bekerja dalam syarikat baharu itu, untuk menyesuaikan diri dengan set yang berbeza budaya kerja setaraf dengan standard global.

Beliau menegaskan bahawa semua pelan perniagaan tidak semestinya baik, namun ujian itu adalah di peringkat pelaksanaan, dan dalam konteks Malaysia, sudah sampai masanya untuk menamatkan budaya campur tangan politik atau kerajaan dalam rancangan tersebut.

Menurutnya satu lagi sebab mengapa MAS tidak menguntungkan ialah kos operasi yang diketahui lebih tinggi daripada tahap biasa dalam industri, selain manfaat besar yang diterima petugasnya.

Sebagai contoh, Dr Chua berkata krew kabin MAS yang tebang ke London pada waktu malam diberikan rehat dua malam dan tiga hari, dan tinggal di hotel lima bintang yang sangat mahal.

"Bayangkan .. anda bekerja selama 13 jam dan anda nikmati rehat dua malam dan tiga hari di hotel lima bintang? Tiada syarikat penerbangan lain yang mampu berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata tepatlah bagi MAS untuk memperkenal terma dan syarat baharu perkhidmatan dalam perjanjian kolektif untuk pekerjanya, berdasarkan kedudukan pasaran yang sukar, dan tiada CA yang tidak boleh diubah.

Dr Chua berkata pada asasnya MAS gagal sebelum ini untuk berkembang mengikut perubahan yang berlaku dalam kalangan syarikat penerbangan global.

"MAS ibarat menjalankan model perniagaan Abad ke-20 dalam Abad ke-21.

Prestasi syarikat sangat baik pada 1980 dengan rizab tunai berjumlah RM5 bilion berbanding kedudukan defisit hari ini.

"Pada masa yang sama, MAS mudah memperoleh peruntukan kerajaan sebanyak RM20 bilion atau RM30 bilion untuk penyusunan semula selama ini," katanya.

Mengenai apa yang akan dilalui Mueller bagi memulihkan MAS, Dr Chua berkata rakyat Malaysia tidak biasa dengan idea seorang ketua pegawai eksekutif tempatan digantikan dengan orang asing.

Namun katanya, warga Jerman itu mempunyai kelayakan yang sesuai untuk tugas itu walaupun penyusunan semula MAS tidak semudah itu".

"Beliau memerlukan sokongan daripada kerajaan, petugas, kesatuan malah daripada penumpang, untuk berjaya," kata Dr Chua.

MAS, Politik, Kerajaan

Artikel Lain