suria

Kwasa Land Buka Prakelayakan Untuk Tiga Kategori Pemaju

KUALA LUMPUR: Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mengadakan satu lagi pusingan prakelayakan untuk rakan kongsi pembangunan bagi perbandaran Kwasa Damansara miliknya.

Dalam kenyataan pada Isnin, Kwasa Land berkata tawaran itu untuk tiga kategori pemaju bagi menyertai pemaju induk membangunkan kawasan berkeluasan 943 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggar RM50 bilion bagi tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

Ini merupakan jemputan kedua selepas yang pertama pada 2012 dan dibuka untuk tiga kategori iaitu:

* Tier 1 atau syarikat berskala besar dengan dana pemegang saham atau modal berbayar RM1 bilion dan ke atas;

* Tier 2 atau syarikat dengan dana pemegang saham atau modal berbayar RM200 juta dan ke atas;

* Tier 3 atau pemaju bumiputera dengan modal berbayar atau dana pemegang saham RM1 juta dan ke atas.

"Bagi memastikan kekuatan dan merit setiap kategori, pemohon perlu memaparkan keuntungan pracukai untuk tiga tahun berturut-turut sebanyak RM100 juta bagi Tier 1, RM50 juta untuk Tier 2 dan RM5 juta bagi Tier 3," katanya.

Pemohon juga perlu menjana GDV daripada sekurang-kurangnya dua projek pembangunan bernilai RM1 bilion bagi Tier 1, RM250 juta untuk Tier 2 dan RM50 juta bagi Tier 3.

Pemaju yang berminat boleh memuat turun borang prakelayakan daripada laman sesawang syarikat www.kwasaland.com.my dan tarikh tutup penyerahan borang ialah pada 23 Jun.

Terletak dalam kawasan Kota Damansara dan Petaling Jaya, projek bercampur itu akan mengandungi pembangunan kediaman, komersil, rekreasi, institusi dan pendidikan dengan sasaran populasi 150,000 orang.

Perbandaran ini akan dihubungkan dengan dua stesen aliran transit massa (MRT).-- Bernama 






Kwasa Land, KWSP

Artikel Lain