suria

PKS Malaysia Buktikan Kredibiliti Pada ASSC 2015

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) melawat gerai pameran pada perasmian Persidangan dan Pameran PKS ASEAN 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Selasa.

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia telah membuktikan kredibiliti antarabangsanya berdasarkan potensi jualan bernilai RM40 juta yang diraih pada Persidangan dan Pameran PKS Asean (ASSC) 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim berkata, jualan itu diperoleh sebelum acara bermula.

"Daripada jumlah itu, kira-kira RM26 juta diperoleh daripada sektor diod pemancar cahaya (LED) manakala sektor aeroangkasa dan program SME@University berjaya meraih jualan bernilai RM13.6 juta," katanya kepada Bernama.

ASSC 2015, acara pertama seumpama itu, merupakan platform interaktif dan pintar bertaraf dunia untuk PKS mengetengahkan produk, perkhidmatan dan teknologi masing-masing untuk pasaran dunia dan merebut peluang rantaian global.

Dianjurkan oleh SME Corp, acara itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bertemakan 'Satu Perniagaan, Satu Komuniti'.

Hafsah berkata, 450 mesyuarat padanan perniagaan diatur di sepanjang tiga hari Asean ASSC 2015 berlangsung, bermula pada Selasa.

Beliau berkata, 300 syarikat mengambil bahagian, dengan satu pertiganya terdiri daripada PKS Asean.

"Antara syarikat utama yang mengesahkan penyertaan terdiri daripada BAE System Plc, Sime Darby Bhd, Tesco Plc, Bosch, eBay, dan Procter  and  Gamble," katanya.

Hafsah berkata, ASSAC 2015 menjanjikan peluang besar untuk direbut PKS Malaysia dan Asean, terutama dalam rangkaian bekalan dalam pelbagai subsektor.

"Ia mungkin dari segi rangkaian bekalan elektrik dan elektronik, membekalkan bahan pembungkusan, malah membekalkan bahagian logistik.

"Inilah peluang untuk PKS kenal pasti dan berintegrasi dalam rangkaian bekalan perbadanan-perbadanan multinasional ini, selain syarikat besar, yang beroperasi dalam Asean," katanya.-- Bernama

PKS, Hafsah Hashim, Asean

Artikel Lain