suria

Kos Projek MRT Laluan 2 RM28 Bilion

Shahril Mokhtar.
KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dijangka memulakan proses mereka bentuk dan memanggil tender jajaran MRT Laluan 2 dari Sungai Buloh ke Serdang dan seterusnya ke Putrajaya, dengan kos RM28 bilion, pada suku keempat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata MRT Corp dijangka memperoleh kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai jajaran sebenar projek itu pada November. 

"Angka RM28 bilion itu hanya merupakan kos pembinaan, tidak termasuk perbelanjaan seperti pengambilalihan tanah dan yuran perundingan.

"Perbelanjaan sebenar akan diketahui apabila pameran awan, dan pemeriksaan selesai, diharapkan menjelang November tahun ini selepas memperoleh kelulusan.

"Pada tempoh itu, kami akan dapat mengira kos sebenar projek pembangunan MRT Laluan 2," katanya kepada pemberita selepas melawat ruang pameran awam MRT Laluan 2 di sini Khamis.

Shahril berkata projek yang dijangkakan bermula pada suku kedua tahun depan itu akan dilaksanakan dalam dua peringkat, dengan fasa pertama menghubungkan Damansara-Kampung Batu dijangka siap pada Julai 2021, dan fasa kedua menghubungkan Kampung Batu-Putrajaya menjelang Julai 2022. 

MRT Laluan 2 atau dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), melibatkan jarak sepanjang 52.2 kilometer, dengan 13.5 kilometer antara Jalan Ipoh dan Bandar Malaysia melibatkan jajaran bawah tanah, dengan 11 stesen.

Dengan penggunaan dijangkakan 529,000 penumpang sehari, Laluan SSP mampu menangani kesesakan trafik di ibu negara.

Sementara itu, Shahril berkata Laluan MRT kekal pada RM23 bilion meskipun cukai barang dan perkhidmatan dilaksanakan selain ketidaktentuan ekonomi.

Beliau berkata 82 daripada 86 pakej yang diluluskan bagi Laluan pertama MRT, yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang bernilai RM21.3 bilion, sudah diserahkan.

Mengenai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 pada Khamis, Shahril berkata beliau gembira projek MRT Laluan 2 dimasukkan dalam perancangan lima tahun negara mulai 2016.

MRT Laluan 2, MRT Corp

Artikel Lain