suria

MH370: Kerjasama Perdagangan, Pelaburan Malaysia China Tidak Terjejas

Datuk Hamim Samuri

KUALA LUMPUR: Kerjasama perdagangan dan pelaburan Malaysia-China tidak terjejas oleh peristiwa kehilanhan pesawat MH370, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Hamim Samuri.

"Kami masih menerima pertanyaan positif daripada pelabur. Tidak terdapat laporan tentang penarikan keluar pelaburan yang telah diluluskan daripada China setakat ini," katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana dan Pelancaran Buku Miti di sini, Isnin.

Beliau berkata, pegawai-pegawai Miti di China juga sedang memantau dan mengurus situasi di sana. 

Sementara itu, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria, berkata wakil-wakil dari Kementerian Perdagangan China yang ditugaskan di Malaysia telah memberikan jaminan bahawa tragedi penerbangan itu tidak akan memberi kesan negatif ke atas hubungan ekonomi antara kedua-dua negara. 

"Malah kami akan meneruskan rancangan bagi ulang tahun peringatan hubungan diplomatik Malaysia-China ke-40 pada akhir Mei," tegasnya. 

Rebecca berkata, apa yang penting ialah kedua-dua negara telah mengakui bahawa kehilangan pesawat MH370 merupakan satu tragedi dan kerjasama untuk mencari jawapan kepada peristiwa itu perlu. 

Sebelum itu, Hamim melancarkan buku 'The Headless Chicken dan The Spark' yang ditulis oleh warga Miti, bagi warga Miti. 

Buku itu mengandungi cerita, pengalaman dan ide tentang bagaimana perubahan-perubahan kecil boleh memberi kesan yang besar. 

Ia dikarang bersama oleh empat orang yang berbeza latar belakang dan mengandungi input daripada hampir 100 orang di Miti.

Pada acara itu, Pengarah Urusan Ceriatone Amplification Sdn Bhd, Nik Syazwan Nik Azam, telah diundang untuk menyampaikan ceramah khas. 

Ceriatone ialah satu-satunya perniagaan amper gitar buatan tangan di Malaysia, yang mengeksport ke 70 pasaran di seluruh dunia.

Datuk Hamim Samuri, Miti, MH370

Artikel Lain