suria

Balu merayu minta kurangkan upah urus jenazah suami... Ustaz terkedu dapat tahu ejen caj waris harga cekik darah, tak takut azab Allah

Seorang wanita tidak menahan kesedihan di atas insiden yang menimpanya. -Gambar hiasan

TANGISAN waris menjadi lumrah setiap kali berlakunya kematian termasuk ketika proses menguruskan dan pengebumian jenazah.

Bagi mereka yang terlibat dalam menguruskan jenazah, di saat waris mula merayu atau meminta bantuan sedikit sebanyak pasti terbit rasa sedih dan sayu di hati.

Begitulah yang dirasai Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid apabila didatangi seorang balu ketika sedang memandikan jenazah suaminya di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

"Isterinya yang kelihatan sugul datang kepada saya. Ada kain tuala kecil basah tersangkut di bahunya. Mungkin kesan air matanya yang dari tadi bercucuran.

"Katanya perlahan... ustaz, boleh tak saya nak minta kurang sikit kos pengurusan jenazah arwah suami saya ni? Saya tak cukup duit ustaz," katanya yang lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie.

Van membawa jenazah untuk urusan pengebumian. -Gambar hiasan

Rayuan balu itu membuatkan Ustaz Rafie terkedu kerana itulah pertama kali dia ditanya tentang pembayaran oleh waris di hospital kerana sebelum ini urusan tersebut diserahkan kepada pihak ejen yang beroperasi di bilik mayat.

Tanpa mendedahkan lokasi hospital, Ustaz Rafie terkejut apabila balu tersebut memaklumkan ejen mengenakan caj RM850 untuk urusan mandi dan kafan jenazah.

"Allahuakbar, tersentak saya mendengar amaun berkenaan! Ketika itu baru saya tahu kos yang dikenakan kepada waris oleh pihak ejen berkenaan. Saya rasa nak marah, sedih, kecewa dan patah hati mendengarnya.

"Beginilah kak. Kata pada dia untuk kes arwah suami akak ni saya tak nak ambil caj sesen pun. Saya buat kerana Allah!" katanya, mengimbas kembali insiden tersebut.

Seorang ejen didakwa mengenakan caj berlebihan kepada waris jenazah.

Namun dalam hati Ustaz Rafie, timbul rasa kesal kerana selama ini rupa-rupanya terdapat individu yang tidak bertanggungjawab mempergunakan khidmatnya.

"Ya Allah, terima kasih banyak ustaz. Saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya betul-betul dalam keadaan terdesak. Dulu sebelum arwah sakit dia seorang saja yang bekerja," kata si balu dengan tangisannya yang semakin kuat.

Terus bercerita, Ustaz Rafie berkata dia kemudian didatangi ejen dari bilik mayat dalam keadaan marah ketika dia sedang mengemas bilik jenazah.

Sepatutnya menguruskan orang mati ni bagi korang lebih keinsafan. Tapi makin mematikan hati korang pula.

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM)

"Kenapa kau cakap tak payah bayar apa-apa? Habis tu macam mana aku nak bayar budak dalam? Dia meninggikan suara pada saya.

"Waktu itu saya memang dah angin satu badan, tercalar rasa maruah diri. Saya katakan selama ini aku terima RM250 saja dari korang! Aku ingat kau ni nak bantu mudahkan urusan keluarga arwah, tapi rupanya ambil kesempatan kat mereka pula.

"Waris cakap kau caj dia RM850. Melampau betul korang makan duit waris sampai RM600 lebih tinggi daripada aku! Modal kau cuma telefon aku je, kain kafan semua aku sediakan. Kau tak takut azab Allah ke?" katanya dengan nada geram dan kecewa.

Persiapan untuk menguruskan jenazah. -Foto SPJM

Tidak cukup sekadar itu, ejen tersebut mula mengugutnya untuk tidak mahu mengambil khidmatnya menguruskan jenazah pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar penemuan mayat hanya tinggal rangka, lengkap berpakaian... Ustaz usaha tutup aib si mati, jaga emosi keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz gadai harta, buntu cari dana selamatkan NGO urus jenazah dan madrasah - “Sungguh, ujian kewangan kali ini sangat berat”

"Rezeki aku tetap ada Allah yang tentukan. Harap satu hari nanti Allah bagi hidayah pada kau dengan semua yang terlibat biar sedar diri sebelum mati.

"Sepatutnya menguruskan orang mati ni bagi korang lebih keinsafan. Tapi rupanya makin mematikan hati korang pula. Bertubi-tubi saya ceramahkan dia. Dia terus pergi meninggalkan saya dalam keadaan marah," tambahnya.

Bercakap kepada mStar, Ustaz Rafie mengakui hilang sabar pada hari tersebut, malah menangis mengenangkan nasib waris-waris lain yang menjadi mangsa kerakusan dan ketamakan individu atau kumpulan ejen yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, urusan pengurusan jenazah adalah hak waris untuk menentukan siapa yang menguruskannya.

Ustaz Rafie mengimbas kembali insiden menguruskan satu jenazah, beberapa tahun lalu.

Oleh itu katanya, setiap waris perlu bertanya kepada pihak pengendali urusan jenazah tentang segala butiran terperinci termasuk kos yang terlibat dan perlu dipersetujui bersama terlebih dahulu.

"Jika tidak, waris kemungkinan akan dikenakan caj yang berlebihan dan tak masuk akal. SPJM juga menetapkan kadar tertentu dalam pengurusan jenazah mengikut kadar yang ditetapkan kariah atau hospital.

"Namun bagi pihak waris yang tidak berkemampuan, segala urusan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak SPJM. Mereka hanya perlu memaklumkan kepada kami sekiranya tiada wang atau kurang berkemampuan.

"Apa yang penting adalah urusan jenazah perlu diselesaikan segera terlebih dahulu. Itu prinsip kami," kata Ustaz Rafie.

Asbab kisah ini mencetuskan idea untuk menubuhkan kumpulan pengurusan jenazah yang dahulunya digelar 'Geng Mandi Mayat' sehingga berdaftar secara rasmi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dengan nama Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) pada 2018.

"Bermacam strategi yang saya aturkan untuk menaikkan nama SPJM agar dikenali di mata masyarakat dan dapat membantu lebih ramai orang.

"Jatuh, bangun, dikhianati, difitnah, diugut itu semua adalah mehnah (ujian/kesusahan) dalam perjuangan. Bagi saya yang penting Allah tahu nawaitu saya," ujar Ustaz Rafie.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain