suria

Suami B40 nak cepat kaya, habiskan gaji main judi! Tapi nak beli pencuci pinggan pun tak mampu, isteri bebel terus ugut cerai

Seorang suami menghabiskan duit gajinya dengan melakukan aktiviti tidak bermoral. -Gambar hiasan

TAK padan dengan gaji kecil, tapi berangan mahu cepat kaya dan hidup mewah dengan cara mudah.

Sudahnya duit hasil berhempas pulas mencari rezeki dilaburkan kepada permainan judi dalam talian.

Lebih menyedihkan apabila segelintir mereka yang terjebak dengan judi dalam talian popular itu terdiri dalam kalangan golongan B40.

Malah ada antara mereka sudahpun berkeluarga dan mempunyai ramai anak, sehingga mendatangkan kemudaratan dalam kehidupan.

Seorang suami menghabiskan masa dengan telefon pintar. -Gambar hiasan The Star

“Gaji tahap B40, dapat RM1,500. Kalau OT (elaun kerja lebih masa) lebih dapatlah RM1,800. Campur elaun makan itu ini, dapatlah RM2,100.

“Tolak caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), tinggal la balik RM1,800. Anak dah ada tiga hingga empat orang,” cerita seorang wanita di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula modal RM50, tak lama kemudian hangus RM300,000! Lelaki ketagih ‘main spin’ jatuh muflis, menyesal tak sudah

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji suami RM1,500, isteri berkorban demi 3 anak! Usaha keluarkan susu badan, guna lampin biasa... Tiada duit sendiri

Tanpa menyebut tentang sesiapa secara khusus, wanita berkenaan meluahkan rasa geram kerana wang gaji yang sepatutnya dibelanjakan secara berhemah sanggup digunakan untuk tujuan yang tidak diketahui pulangannya.

“Pukul 6 pagi gaji, pukul 10 pagi dah habis. Kenapa anda heboh nak main benda tu? Sampai gaji 'gedebuk' kau hadap je telefon tu, hadap benda tu.

“RM1,000 ke RM1,500 habis. Itu belum lagi yang kau meminjam. Apa yang dapat? Kau main benda musibat tu nak buat apa?

“Berapa banyak dah yang kau kaya? Ada ke yang dijanjikan dalam Islam ni kalau berjudi tu kau jadi kaya? Tak ada maknanya kau nak kaya. Mungkin kau boleh dapat RM10,000 tapi yang kau dah habis tu berapa?” soalnya.

Seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan. -Gambar hiasan

Perbuatan tidak bermoral itu ternyata memberi kesan buruk kepada kehidupan sekeluarga sehingga isteri turut menjadi mangsa akibat beban hutang yang banyak.

“Duit tak berapa nak ada, kau punya berjudi kemain. Sampaikan bini nak suruh beli pencuci pinggan mangkuk pun tak dapat, apatah lagi (duit) untuk anak.

Yang main benda tu level B40... T20 tak main sebab mereka tahu bukan senang nak dapat duit.

WANITA

“Lepas tu apabila bini membebel tak tahan menanggung hutang, kau ugut suruh isteri failkan cerai. Kalau rasa tak mampu nak kahwin, jangan kahwin. Kau jangan menyusahkan anak orang, biar mak bapa dia yang bela dia.

“Orang-orang yang main benda tu level B40. Yang T20 tak main, sebab mereka tahu bukan senang nak dapat duit,” kata wanita itu lagi.

Tiada lagi persefahaman dalam rumah tangga. -Gambar hiasan

Sementara itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sebarang bentuk perbuatan yang menjurus kepada pertaruhan atau perjudian adalah haram mengikut ajaran Islam.

Menurutnya, bahaya dan mudarat judi adalah amat besar.

“Pelbagai hikmah disebut para ulama tentang pengharamannya yang meliputi hikmah terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat yang akhirnya boleh memberi kesan yang buruk terhadap negara.

“Antara yang disebut ialah boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam pelbagai jenayah seperti mencuri, mencederakan jiwa, menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan serta mengambil harta orang lain secara batil.

"Selain itu ia juga menjadi asbab kepada seseorang dalam menipu dan menzalimi orang lain, menghabiskan harta sehingga sanggup menggadai isteri dan anak-anak, serta pelbagai keburukan lain,” katanya.

Menurutnya lagi, terdapat peruntukan bagi kesalahan judi dalam Undang-Undang Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Di bawah Akta 559, pada seksyen 18 memperuntukkan mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan.

“Dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain