suria

Ryzal didenda RM10,000 hina pakaian Iban, ada hikmah tunda tarikh umrah - “Saya boleh berlapang dada di Tanah Suci”

Ryzal dan Maryam bakal mengerjakan umrah selepas selesai kes hina baju tradisi kaum Iban.

SETELAH hampir tiga tahun, personaliti media sosial, Ryzal Duriankimchi kini boleh menarik nafas lega apabila kes dakwaan menghina busana tradisional wanita kaum Iban di Sarawak selesai.

“Ya Allah, saya sangat lega semuanya sudah selesai. Isu tu pun sudah lama dan saya rasa bersyukur sebab dapat belajar sesuatu daripada kesilapan saya.

“Mulut (lancang) macam saya ni, satu pengajaran mengingatkan pengguna media sosial lain supaya sentiasa berhati-hati apabila berkata-kata,” katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Ryzal (kanan) dan Maryam bakal ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah pada 29 Februari ini.

Terdahulu Ryzal atau Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim mengaku bersalah di Mahkamah Miri, Sarawak atas dakwaan mempersendakan pakaian tradisi kaum Iban pada 2021.

Menerusi prosiding pada Rabu, Ryzal yang diwakili peguam Firdaus Morshidi diarah membayar denda sebanyak RM10,000.

Hakim Azreena Aziz membuat keputusan itu setelah meneliti kesemua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Ryzal Duriankimchi dikecam persenda baju tradisional Iban... tergamak samakan dengan kain buruk! - “Saya mohon maaf atas gurauan tidak cerdik”

ARTIKEL BERKAITAN: Maryam menangis terima hadiah pakej umrah daripada suami, rupanya sudah setahun pendam hasrat mahu ke Makkah

Dalam pada itu, Ryzal atau Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim tidak menyangka penundaan tarikhnya untuk mengerjakan umrah bersama isteri yang juga personaliti media sosial, Maryam You Narae memberi makna di sebaliknya.

“Saya dan Maryam sepatutnya ke Tanah Suci pada 18 Februari lalu, tapi saya dimaklumkan lebih awal bahawa rombongan untuk saya dan Maryam ditunda kepada 29 Februari ini.

“Saya berdoa mungkin ada asbab trip ini ditunda agar segala urusan yang tertangguh termasuk hutang selama ini dapat diselesaikan dan dipermudah,” ujarnya.

Ryzal membuat kejutan hadiah pakej umrah sempena hari ulang tahun kelahiran Maryam.

Menurut Ryzal lagi dia menerima panggilan berhubung keputusan bagi kes tersebut kira-kira seminggu selepas dimaklumkan mengenai rombongan umrah ditunda.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat. Ini bukan soal bazir duit atau masa, tapi sekurang-kurangnya apabila pulang daripada umrah nanti, saya boleh fikir ke hadapan.

“Sekarang ini insyaAllah, saya dah boleh berlapang dada. Moga Allah sucikan hati dan jiwa saya untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci,” jelasnya.

Moga Allah sucikan hati dan jiwa saya untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci.

RYZAL IBRAHIM

Mengenai persediaan ke umrah, menurut Ryzal, dia dan Maryam masih mengikuti kursus umrah di samping mempelajari sejarah Islam dan tempat-tempat yang bakal dilawati.

“Ini pertama kali saya ke Tanah Suci dan berharap apabila balik dari umrah nanti, saya lebih bertanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat.

“Saya mahu menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan perkara-perkara yang baik berbanding content-content yang merapu.

“Syukur, Allah menggerakkan hati saya untuk mengerjakan umrah. Melakukan kesilapan itu adalah lumrah manusia, tapi diharapkan saya tidak lagi menggores hati orang,” katanya.

Rizal (tengah) bersama peguam Firdaus (kanan) serta pelatih dalam kamar Mohd Ikmal Iqbal Baharuddin. -Gambar Firdaus Morshidi / Utusan Borneo

Jelas Ryzal lagi, pakej umrah itu juga merupakan kejutan hadiah sempena ulang tahun kelahiran Maryam pada 19 Februari lalu.

Untuk rekod Ryzal yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (Akta 588) dan dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Pada Mei 2021, mStar melaporkan Ryzal menerima kecaman gara-gara mempersendakan pakaian tradisional kaum Iban yang dipakai oleh Maryam ketika itu.

Rakaman video menunjukkan Ryzal menyamakan aksesori dan material busana itu dengan duit syiling, kain meja, alas TV, kain buruk, langsir, tikar dan tali pinggang pengakap.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain