suria

Pelajar UiTM Kedah bikin gempak, anjur pertunjukan fesyen peraga koleksi 2024... Baju laku keras, raih jualan RM180,000!

Pertunjukan fesyen bagi koleksi 2024 anjuran pelajar di UiTM Kedah.

BERMULA hanya dari pintu ke pintu bilik asrama, bisnes anak muda ini akhirnya berkembang ke seluruh Malaysia.

Pernah mencatatkan jualan sebanyak RM19,000 dalam tempoh lima hari, dia kini boleh berbangga dengan kutipan jualan baju sebanyak ratusan ribu ringgit.

Tidak mahu mendabik dada, kejayaan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Petani di Kedah ini diterjemahkan dalam sebuah pertunjukan fesyen bagi memperagakan koleksi baharu 2024.

Berkongsi kejayaan mengadakan pertunjukan fesyen itu baru-baru ini, pengasasnya, Ahmed Amzar Airil Ahmed Mazdan berkata, sebanyak tujuh rekaan dipamerkan terdiri daripada tiga rekaan baju baharu UiTM dan empat lagi untuk rekaan bagi kolej di UiTM Kedah.

“Koleksi 2024 ini dipamerkan pada pertunjukan fesyen berkonsepkan streetwear. Model-model itu terdiri daripada pelajar UiTM sendiri dan mereka tiada pengalaman catwalk.

“Kami tak kisah dikata macam berkawad sebab kami sendiri tahu ia sekadar pelancaran baju terbaharu dan semua model dalam kalangan pelajar UiTM Kedah,” katanya kepada mStar.

Pertunjukan fesyen berkonsepkan 'streetwear'.

Mesra disapa Amzar, pemuda berusia 21 tahun itu berkata, pertunjukan fesyen itu turut bertujuan untuk memperkenalkan jenama Axisto kepada para pelajar.

“Ia sempena kempen ‘custom jersey student price’ untuk pelajar yang mahu tempah jersi mereka dengan harga mesra pelajar. Servis rekaan dan penghantaran juga secara percuma.

“Saya akui banyak sangat cabaran yang dilalui untuk pertunjukan fesyen ini seperti kesuntukan masa dan nak fikir rekaan yang boleh menarik perhatian pelajar.

“Menyediakan pelbagai kelengkapan untuk menjayakan acara ini dan membuat casting untuk pencarian model juga mencabar,” ujarnya mengenai Axisto yang ditubuhkan pada awal 2022.

Koleksi diperagakan oleh pelajar-pelajar UiTM.

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu, dia amat berpuas hati dengan usaha yang ditunjukkan pasukannya dan kelab UiTM Kedah iaitu ECS Club & Interbiz Club yang bertungkus-lumus menjayakan pertunjukan fesyen tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar raih RM19,000 buat bisnes 5 hari di asrama, berbaloi tebal muka ketuk bilik kawan - “Ramai-ramai gelak, nombor kena block”

“Saya juga berpuas hati dengan kehadiran lebih 500 pelajar. Sokongan mereka membuatkan saya lagi bersemangat untuk menjadikan jenama Axisto sebagai pilihan nombor satu dalam kalangan pelajar,” kata anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.

Amzar berkongsi tip kepada anak muda yang mahu menceburi bisnes.

Berkongsi kegembiraan, kata Amzar, pasukannya merupakan salah satu daripada tiga syarikat yang tercalon untuk mewakili UiTM Se-Malaysia dalam Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2023 yang dijadualkan berlangsung, pada tahun depan.

Mengenai jualan, anak kedua daripada tiga beradik itu mendedahkan pasukannya pernah mencatatkan jualan tertinggi kira-kira RM180,000 untuk satu rekaan baju.

Cari kelebihan anda yang tersendiri, jadi diri sendiri.

AHMED AMZAR AIRIL AHMED MAZDAN

Dengan pencapaian dan kejayaan setakat ini, sudah tentu Amzar mempunyai misi untuk memperkenalkan jenama baju yang diusahakannya dengan lebih meluas lagi, bukan sahaja di UiTM malah institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Dalam pada itu Amzar turut menitipkan pesanan kepada golongan muda yang turut berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

Koleksi baharu 2024 yang diperkenalkan untuk pelajar UiTM.

Ujarnya, mempunyai haters ataupun orang yang tidak suka dengan apa yang diusahakan itu adalah perkara biasa.

“Yang penting kita buat benda betul. Jika anda adalah pelajar yang ingin menubuhkan bisnes sendiri, jangan terlalu banyak fikir dan buat dulu perlahan-perlahan. InsyaAllah masa yang tepat akan datang.

“Rugi itu biasa, yang penting dapat pengalaman yang mahal. Mulakan jualan dengan benda yang anda minat. Cari kelebihan anda yang tersendiri, jadi diri sendiri.

“Jangan terlalu nak jadi orang lain, kalau nak mengidolakan dan ikut cara dia saja tak apa. Sebab impian masing-masing tak sama, yang nak capai impian adalah anda seorang, bukan orang lain,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain