suria

Buang ego selepas bercerai, sebak momen pasangan muda bersatu semula sebagai suami isteri - “Abang rujuk sayang pada nikah kita yang dahulu”

Rara dan suami rujuk semula selepas sebulan bercerai.

"SAYANG, abang rujuk sayang pada nikah kita yang dahulu."

Demikian bait-bait ayat yang dilafazkan seorang lelaki ketika prosedur rujuk bersama isterinya di pejabat agama, baru-baru ini.

Video tersebut dirakam oleh si isteri, yang kelihatan cuba menahan sebak sebaik sahaja suaminya selesai melafazkan bait tersebut.

Video tersebut sehingga kini meraih sehingga melebihi 200,000 jumlah tontonan di TikTok, malah turut dikongsikan beberapa halaman Instagram viral lain.

Tidak keberatan berkongsi cerita, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Rara berkata, video berkenaan dirakamnya ketika ke pejabat agama bersama-sama suami untuk prosedur rujuk pada 9 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas suami buat wanita tersentuh, hantar mesej birthday untuk anak tapi tak lupa hargai si ibu! Boleh jadi ‘pasangan bercerai contoh’

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berpisah 10 tahun, wanita ini pilih balik kepada bekas suami walau boyfriend baik dengan anak - “Saya langsung tak ada perasaan pada dia”

"Kami bernikah pada 22 September pada tahun lalu. Saya cuma boleh katakan, terjadi perselisihan faham baru-baru ini sehingga membawa kepada penceraian pada 9 Jun lalu.

"Selepas penceraian itu berlaku, kami tidak sebumbung sehinggalah suami hubungi saya tidak lama selepas itu untuk berbincang dan mengajak untuk rujuk.

"Dalam tempoh tidak sebumbung itu, kami masing-masing saling bermuhasabah. Alhamdulillah, tanggal 9 Julai lalu, kami rujuk kembali sebagai suami isteri," ujar wanita berusia 22 tahun ini.

rujuk 2

Rara berkata penceraian membuatkan dirinya dan suami saling bermuhasabah.

Rara yang menetap di Batu Pahat, Johor menambah, dia dan suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 27, tidak dapat menahan sebak dan gembira dalam masa yang sama kerana jodoh mereka masih dipanjangkan Yang Maha Esa.

"Selepas selesai rujuk, ustaz yang bersama kami pun ada beri kata-kata nasihat.

"Apa yang boleh saya kongsikan, selepas rujuk, kami banyak perbaiki diri masing-masing untuk keharmonian rumah tangga. Alhamdulillah, mungkin ada hikmahnya... hubungan kami lebih baik ketika ini," katanya yang menjalankan perniagaan dalam talian (online).

Rara menambah, keluarga adalah yang paling gembira apabila dia dan suaminya mengambil keputusan untuk rujuk kembali.

Dalam tempoh tidak sebumbung itu, kami masing-masing saling bermuhasabah.

RARA

Tidak menyangka video yang dikongsikan di laman sosial benar-benar menyentuh hati warga maya, Rara berkata dia sekadar mahu mengabadikan detik yang menjadi antara kenangan manis dalam hidupnya.

"Bila baca komen, ramai yang beritahu mereka tersentuh kerana jarang ada yang berkongsi momen pasangan merujuk. Selalu tengok video mahkamah pasangan yang bercerai.

"Saya terharu kerana terlalu ramai yang mendoakan keharmonian rumah tangga kami. Hanya Allah sahaja mampu membalasnya dan semoga berbalik doa yang baik untuk mereka juga.

"Apa yang saya boleh kongsikan daripada pengalaman ini, ketepikanlah ego masing-masing. Apabila ada masalah, bincang baik-baik... berkomunikasi.

komen

Antara komen netizen yang mendoakan keharmonian rumah tangga pasangan tersebut.

"Saya harap, peluang kedua ini digunakan sebaik mungkin dan perkahwinan kami berkekalan hingga ke jannah," akhirinya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen turut gembira melihat pasangan berkenaan kembali bersatu sebagai suami isteri.

"Alhamdulillah... jodoh masih panjang. Semoga terus menjadi lebih baik kerana Allah.

"Kenapa aku yang menangis tengok video ni... sebak pula tengok pasangan kembali bersama.

"Semoga berkekalan dan bahagian sehingga ke syurga," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain