suria

Modal RM6 je, pemuda kenyang setahun makan coklat... Balik kerja terkejut nampak lima karton Cadbury bersusun depan rumah

Hadiah coklat Cadbury yang dimenangi Ahmad Ridhzaini.

COKLAT merupakan makanan kesukaan ramai kerana rasa manisnya yang mampu mengukir senyuman di wajah.

Bagaimanapun, coklat yang dikategorikan sebagai manisan premium ini kebiasaannya akan dinikmati secara berkala kerana harganya yang mahal.

Namun begitu, ibarat bulan jatuh ke riba, lelaki ini tergamam apabila beberapa karton berisi kepingan coklat tiba di hadapan rumahnya.

Habuan coklat daripada Cadbury yang diterima lelaki ini.

Bercerita kepada mStar, Ahmad Ridhzaini Supian, 26, atau senang disapa Jai berkata dia menyertai satu peraduan yang dianjurkan Cadbury Malaysia tetapi tidak menyimpan harapan tinggi untuk memenanginya.

"Saya ni kalau ikutkan sangat jarang nak join peraduan semua ni sebab rasa susah nak menang, tapi hari tu saya ternampak dekat Twitter, ada seorang warga maya ni dia terpilih dalam peraduan coklat Cadbury. Banyak dia dapat coklat.

"Dia ada tunjukkan dekat situ cara nak sertai. Saya tengok macam mudah je nak join, saya pun cuba nasib. Saya beli satu coklat Cadbury berharga RM6 dan hantar resit dekat WhatsApp mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Suka pergi konsert tapi tak mahu bayar, gadis ini kongsi tip menang tiket bertuah... Siap dapat peluang ‘meet and great’ Song Ji Hyo

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mampu beli hadiah mahal, bapa tinggal sebungkus roti coklat... Paling sebak baca nota tulisan tangan ucapan hari lahir

"Saya hantar pada 17 Jun, dalam dua minggu lepas tu saya dapat reply daripada Cadbury kata saya menang. Peraduan tu setiap minggu dia akan pilih pemenang dan saya antara orang yang bertuah untuk minggu tu.

"Kategori hadiah yang saya dapat tu dinamakan 'bekalan 1 tahun Cadbury'. Kalau hadiah utama dapat sekali peti sejuk mini tema Cadbury, itu yang saya nak sebenarnya tapi tak apa, ini pun dah cukup," ujar Jai.

Menurut Jai, dia menerima lima karton penghantaran coklat Cadbury yang di dalamnya terkandung lebih 300 kepingan coklat.

Setakat sekarang saya baru makan dalam dua hingga tiga keping coklat.

AHMAD RIDHZAINI

"Saya dapat keputusan pada hari Selasa 4 Julai dan hadiah saya sampai pada Sabtu 8 Julai. Saya tak dapat nak tengok macam mana bentuk lori Cadbury tu sebab saya tak ada dekat rumah waktu mereka hantar.

"Balik rumah je terus nampak ada lima karton coklat Cadbury. Setiap karton ada 72 kepingan coklat, maksudnya jumlah semua ada 360 kepingan coklat.

"Jadi betul la, kalau sehari makan satu keping coklat tu, maka cukup la setahun bekalan coklat Cadbury. Setakat sekarang saya baru makan dalam dua hingga tiga keping coklat.

Kepingan coklat yang sudah disimpan rapi di dalam peti sejuk.

"Saya tak boleh nak habiskan semua sebab coklat tu manis, jadi saya enjoy sikit-sikit," kata Jai yang bekerja sebagai penyambut tetamu.

Tambah Jai lagi, dia sebenarnya meminati coklat kacang hazel dan black forest.

"Kalau diberi pilihan memang saya akan ambil yang itu, tapi Cadbury cuma bagi saya coklat orginal, itu pun okay je, saya bersyukur," kata Jai.

Jai mengatakan dia tidak berhasrat untuk menghabiskan coklat itu seorang diri dan akan membahagikan kepada rakan-rakan serta ahli keluarga terdekat.

"Satu karton memang saya dah khaskan untuk hantar ke mak ayah saya di Merlimau, Melaka. Saya rasa saya tak akan balik kampung dalam masa terdekat ni jadi saya akan post.

Jai menunjukkan cara penyertaan peraduan.

"Satu lagi karton saya dah bagi dekat kawan-kawan di tempat kerja. Satu lagi saya bagi dekat orang lain. Yang lagi dua tu saya punya tapi saya ada kongsi-kongsi dengan rakan serumah saya.

"Kalau ada macam kawan-kawan atau jiran perlukan coklat untuk buat kek atau biskut ke, saya akan bagi je Cadbury saya ni.

"Yang lain kalau nak join peraduan tu jangan segan-segan, dibuka sampai 31 Julai, mana tahu kalau nasib kena, rumah boleh jadi syurga coklat," kata Jai menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain