suria

Rajin bekerja, binaan hebat dengan corak heksagon... Wanita serba salah nak bunuh lebah bersarang di rumahnya

Seorang wanita tidak mahu membunuh lebah-lebah yang bersarang di rumahnya.

LEBAH sebagai agen pendebungaan memainkan peranan penting dalam ekosistem alam semula jadi.

Namun, lebah yang juga merupakan serangga berbisa boleh membawa ancaman bahaya jika berada dekat dengan penempatan manusia.

Begitulah kisah wanita ini yang terkejut apabila satu koloni lebah singgah di balkoni rumah pangsapurinya dan mula membina sarang.

Perkongsian asal di Twitter.

Dalam satu perkongsian tular di Twitter, wanita itu yang dikenali sebagai Carol Yong menceritakan detik getir dilaluinya untuk menghalau kumpulan lebah itu secara aman.

"Saya rasa ini adalah koloni lebah madu yang kecil, mungkin mereka sesat dan sekarang cuba mencari tempat berteduh di balkoni saya. Mereka sudah mula membina sarang di ampaian baju saya.

"Ada sesiapa kenal pakar lebah di Malaysia yang saya boleh hubungi. Saya tak nak sakiti mereka dan tahu mereka hanya nak cari rumah baharu tapi mohon bukan di kediaman saya.

"Mungkin mereka salah anggap ampaian saya sebagai dahan pokok sebab nampak lebih kurang serupa. Berdekatan kawasan sini ada hutan, ada pokok-pokok tinggi, mungkin mereka boleh mencuba di situ.

ARTIKEL BERKAITAN: “Yang hitam-hitam itu matanya” - Akak ni tunjuk cara masak anak lebah, fresh dari sarang!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kutu babi masuk telinga pun cari abang bomba... Tiga anggota ‘all out’ keluarkan serangga jahat, guna air tembakau je!

"Sekarang ni apa cara terbaik untuk saya halau mereka?" kata Yong bermonolog sendirian.

Melalui gambar yang disertakan Yong, dapat dilihat struktur awal sarang lebah sudah mula terbentuk di ampaian baju miliknya.

"Apa yang istimewa sangat rumah saya ni sampai dipilih lebah ni? Permulaan hari yang kurang baik untuk saya. Saya ada hubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penyelamat Lebah Malaysia.

Bagus awak cuba halau lebah-lebah tu. Biasanya orang akan bakar terus seluruh sarang tu sampai mati semua lebah.

WARGA MAYA

"Mereka kata saya boleh cuba guna petrol, lebah tak suka bau kuat dari minyak petrol dan akan lari. Jadi jom kita cuba.

"Rasa janggal pergi pam minyak dan isi petrol RON95 dalam botol susu, sampai akak dekat situ pun tanya apa yang saya tengah buat," cerita Yong.

Menurut Yong, dia bersimpati dengan nasib lebah itu kerana tahu sifat haiwan itu yang rajin dan bekerja keras.

Lebah di balkoni rumah Yong mula membina sarang.

"Lebah adalah serangga yang comel dan hasil kerja mereka sangat menakjubkan. Tengok saja pada corak heksagon sarang lebah ni, hebat betul seni bina mereka.

"Saya sempat ambil gambar sarang lebah ni sebelum saya mulakan 'kerja'. Saya harap lebah dan permaisurinya dapat keluar secepat mungkin," ujar Yong berasa sayu.

Ternyata kaedah yang dicadangkan kepada Yong itu membuahkan hasil dan lebah-lebah itu bertempiaran lari meninggalkan sarangnya.

Langkah yang digunakan Yong untuk menghalau lebah.

"Saya tuangkan petrol ke atas kain buruk dan layangkan kain tu ke arah sarang. Yeay ia tidak mengecewakan. Semua lebah itu terus terbang pergi.

"Tapi sedih, ada dalam 30 ekor lebah yang terkorban. Mungkin bau petrol itu terlalu kuat. Maafkan saya wahai rakan-rakan lebah.

"Semoga permaisuri lebah dan tentera-tenteranya dapat menjumpai rumah baharu yang bukannya ampaian baju di kediaman orang lain," kata Yong menutup bicara.

Antara lebah yang menjadi korban.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya kagum kerana Yong prihatin dan tidak zalim dalam menangani isu lebah yang dihadapinya.

"Bagus awak cuba halau lebah-lebah tu. Biasanya orang akan bakar terus seluruh sarang tu sampai mati semua lebah.

"Harap lebah-lebah ni dapat jumpa rumah baharu yang lebih bersesuaian dan selamat untuk mereka.

"Walaupun halau guna petrol, tapi nampak dekat gambar, ada lebah terkorban tu sampai bahagian dalam badan dia terkeluar, beracun betul ya bau petrol ni," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain