suria

“Sempit kat perut, tapi pakai sajalah” - Atuk, nenek sporting! Setuju jadi Pikachu demi gembirakan ahli keluarga

Rohaizad diraikan oleh keluarga ketika sambutan ulang tahunnya yang ke-66.

BIARPUN usia sudah melebihi setengah abad, namun siapa sangka sikap sepasang warga emas ini begitu 'gila-gila'.

Mana tidaknya, mereka tanpa rasa janggal menyarung kostum kartun dan watak animasi yang sememangnya sinonim dengan kanak-kanak ketika meraikan sambutan hari jadi.

Menerusi video yang dirakam dan dimuat naik di media sosial, kelihatan kedua-duanya begitu ceria ketika menyanyikan lagu 'Selamat Hari Jadi' semasa diraikan oleh keluarga.

Berkongsi cerita dengan mStar, Harith Azfar yang membuat perkongsian itu di laman Twitter berkata, pasangan suami isteri warga emas di dalam video tersebut adalah bapa serta ibu mentuanya.

"Video tersebut dirakam baru-baru ini sewaktu sambutan hari jadi bapa mentua saya, Rohaizad Ismail yang ke-66.

"Lokasi majlis tersebut adalah di event space milik saya dan isteri. Memandangkan kami sediakan perkhidmatan untuk pengurusan acara, item seperti kostum, belon dan sebagainya memang dah tersedia.

ARTIKEL BERKAITAN: Umur boleh tua, jiwa harus muda! Atuk stylo umur 77 tahun popular selepas OOTD depan rumah, cucu kongsi cabaran nak ajar posing

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek ‘sporting’ layan cucu main mak-mak... Netizen terkejut selak selimut nampak opah senyum tak ada gigi!

"Bila bapa mentua sampai, sajalah kami cadangkan dia pakai kostum. Tak sangka pula dia okay pakai kostum Pikachu tu. Dengan mak mentua sekali pakai.

"Paling tak jangka, bapa mentua sporting je pakai sepanjang majlis," ujar lelaki berusia 28 tahun ini

Menurut Harith, dia dan adik-beradik iparnya terlintas mahu mengusulkan idea kostum itu agar dapat mencipta satu kelainan untuk disimpan sebagai memori.

"Bapa mentua saya sememangnya seorang yang sangat ceria dan sporting. Macam mana karakter di video, macam itulah karakternya di luar biarpun usianya dah nak dekat 70 tahun," katanya lagi.

Rohaizad (dua, kiri) ‘sporting’ melayan permintaan anak dan menantunya memakai kostum.

Sementara itu, Rohaizad yang juga sempat ditemu bual berkata, sambutan hari jadinya pada kali ini ternyata meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan.

"Saya dah 66 tahun, ingatkan sambutan macam biasa seperti sebelum ini. Tahun-tahun lepas, anak menantu sambut dengan acara makan-makan, potong kek, bergambar.... macam biasa saja.

"Tak sangka untuk ulang tahun ke-66, mereka arrange sambutan yang bagi saya sangat istimewa. Walaupun macam tak muat dan sempit dekat perut, tapi pakai sajalah.

"Bagi saya, sambutan macam mana pun, kita harus berterima kasih kerana Allah melanjutkan usia. Bila anak-anak berusaha sebaik mungkin untuk aturkan sambutan, kita appreciate effort mereka selagi tak melampaui batas.

"Yang penting dapat cipta memori bersama keluarga tersayang," ujarnya yang merupakan seorang pesara pensyarah di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG).

atok 3

Ruang acara (event space) yang dimiliki Harith dan isterinya

Dalam pada itu, Harith yang tidak menjangka videonya menjadi tular berkata, perkongsian tersebut antara lainnya bertujuan untuk memberi penekanan mengenai betapa pentingnya mengeratkan ukhuwah sesama keluarga.

"Mana-mana keluarga pun ada ups and down. Rapat atau tak rapat, cubalah cari peluang untuk 'bonding' dan mencipta memori.

"Bila datangnya sambutan istimewa, hari raya atau sebagainya, letak tepi dulu jika ada perselisihan faham. Pada akhirnya, keluarga ini ibarat air yang dicincang takkan putus.

"Tak dinafikan ada keluarga yang jenis tak sambut hari jadi atau suka gathering... tapi mengapa tidak, dalam keluarga itu, kita mulakan dulu.

"Inilah juga salah satu sebab saya dan isteri tubuhkan event space (ruang acara) ini, Nak Cikit Picnic Cafe supaya orang ramai dapat mengeratkan ukhuwah sesama keluarga atau rakan-rakan," ujarnya.

Sedikit berkenaan ruang acara miliknya dan isteri, Hariths berkata Nak Cikit Picnic Cafe yang terletak di Setia Alam, Selangor mula beroperasi pada Januari 2022.

Ia menawarkan perkhidmatan penyediaan venue serta pengurusan acara untuk majlis seperti sambutan hari jadi, reunion, mesyuarat dan sebagainya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain