suria

Lega parcel ‘pisang kontroversi’ selamat sampai walau digantung kerja – “Saya yang tampal bungkusan terkoyak”

Firdaus tampil memberi penjelasan susulan video tular membabitkan dirinya.

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak perbuatan atau tutur kata buruk padahnya.

Siapa sangka, hanya kerana video dirinya dirakam seorang rakan, pemuda ini terpaksa menanggung akibat apabila dia digantung kerja oleh pihak pengurusan selepas rakaman tersebut tersebar di media sosial.

Pemuda berkenaan, Ahmad Firdaus Al-Farabie adalah pekerja di syarikat penghantaran, Shopee Express, yang mana videonya memegang bungkusan terkoyak berisi pisang milik pelanggan, tersebar pada minggu lalu.

Susulan penularan video tersebut, dia yang senang disapa sebagai Firdaus ini tampil untuk memberi penjelasan mengenai situasi sebenar yang berlaku memandangkan dia menerima kecaman hebat daripada orang ramai.

shopee 2

Menurut Firdaus, video tersebut menjadi kontroversi selepas ditularkan di Twitter.

"Ya, dalam video itu memang saya. Ceritanya, masa itu kami tengah asing-asingkan (sorting) bungkusan. Saya perasan parcel tu terkoyak dan ia memang dah terkoyak dari atas lori lagi.

"Saya memang tak buka parcel customer selama bekerja di situ. Tapi parcel itu terkoyak dan isinya iaitu pisang terkeluar. Saya tunjuk dekat kawan sekerja, sekadar nak cakap 'customer tu beli pisang'.

"Jadi masa itu saya check parcel dulu dan nak pergi tampal bahagian terkoyak. Tapi masa saya pegang pisang yang terkeluar tu, kawan ambil video dan saya tak perasan.

"Dia upload pula di TikTok miliknya tanpa pengetahuan saya," kongsi pemuda berusia 24 tahun ini yang merupakan pemandu Shopee Xpress di Hub Machang, Kelantan, kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja syarikat kurier main-main campak bungkusan, gelakkan pelanggan beli pisang... Shopee janji ambil tindakan!

Menurut Firdaus, selepas mengetahui video berkenaan viral, dia meminta rakannya untuk memadam rakaman berkenaan kerana bimbang ia akan mengundang kesan yang lebih buruk.

Seperti yang dijangka, sehari selepas video berkenaan tular di pelbagai platform media sosial sehingga pihak Shopee mengeluarkan kenyataan balas, Firdaus dan rakannya menerima panggilan daripada pihak atasan.

"Saya diberi dua pilihan, pertama saya diberhentikan, dan kedua, saya berhenti sendiri. Tindakan tersebut diambil dua hari selepas kejadian.

"Kalau saya sign surat resign, ia menampakkan saya bersalah sedangkan saya tak bersalah. Jadi saya explain dekat bos saya, dan bos beritahu akan explain dekat management pula.

"Saya juga menulis surat rayuan kepada pihak atasan pada 5 Jun lalu. Selama setahun setengah bekerja di situ, saya tak pernah ada masalah disiplin, surat warning pun tak pernah dapat," ujar anak ketujuh daripada lapan adik beradik ini.

Selepas apa yang berlaku, saya akui agak tertekan. Tidur dan makan pun tak berapa nak ambil peduli.

AHMAD FIRDAUS AL-FARABIE

Firdaus yang kini tidak bekerja berkata, dia sedang menunggu jawapan pihak atasan berhubung rayuan yang dikemukakan.

Ketika teruk dikecam, dia sempat bertanya kepada bosnya tentang status 'parcel kontroversi' itu dan berasa lega apabila dimaklumkan ia telah selamat diserahkan kepada penerimanya selepas bungkusan itu ditampal olehnya.

"Lepas kes tersebut viral dan pihak atasan juga ada keluarkan kenyataan, saya tanya bos parcel tu sampai tak dekat customer dan Alhamdulillah ia sampai dalam keadaan yang elok. Setidak-tidaknya saya lega bila tahu," ujarnya yang mengakui memahami tentang etika kerja.

Bagaimanapun ujar pemuda ini, rakannya yang membuat rakaman video dan memuat naik di TikTok diberhentikan kerja.

Tidak cukup sekadar membuat rayuan, Firdaus dan rakannya juga tampil membuat permohonan maaf dan penjelasan mengenai insiden yang berlaku di laman TikTok agar orang ramai tidak terus menerus membuat kecaman.

shopee baru 1

Firdaus (kanan) tampil memohon maaf dan menceritakan kisah sebenar di TikTok selepas menerima kecaman hebat.

"Selepas apa yang berlaku, saya akui agak tertekan. Tidur dan makan pun tak berapa nak ambil peduli. Saya tak boleh terima apa yang menimpa saya... satu Malaysia tahu.

"Kawan saya juga rasa bersalah dengan apa yang terjadi," ujarnya lagi.

Firdaus menambah, dia menaruh harapan agar pihak atasan dapat mempertimbangkan rayuannya dan diterima bekerja semula.

Mengakui apa yang berlaku memberi pengajaran yang amat besar, Firdaus dalam pada itu meminta masyarakat agar tidak terus melemparkan tohmahan terhadap dirinya.

"Janganlah jatuhkan 'hukuman' kalau tak tahu cerita sebenar. Saya berani sebab tak bersalah... silalah periksa kamera litar tertutup (CCTV) jika perlu untuk membuktikannya," akhirnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain