suria

Tak sempat tatap wajah anak, bapa minta tengok lokasi kemalangan... Hasrat arwah mahu rawat mata ayah akhirnya tercapai!

Selepas tujuh tahun Ramli akhirnya boleh melihat seperti biasa.

HASRAT seorang anak agar bapanya yang hilang penglihatan kembali melihat seperti sedia kala akhirnya tercapai.

Namun apakan daya, Muhammad Alias Ramli tidak sempat menyaksikan momen itu kerana dia terlebih dahulu dijemput Ilahi pada usia 21 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Berdasarkan perkongsian seorang wanita di akaun Tiktok @inisiatifummah, bapa arwah iaitu Ramli Zakaria, 55, kini sudah mampu melihat dan bebas berjalan tanpa bantuan mahupun tongkat.

Menerusi video yang dikongsikan pada 11 Februari lalu, wanita berkenaan menyatakan bahawa tanggungjawabnya dalam membantu bapa arwah Alias mendapatkan rawatan di hospital akhirnya berakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 8 beradik, gadis mengeluh jadi individu rabun... rasa susahkan mak ayah - “Power cermin tinggi, silau lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak diserang penyakit misteri, tiba-tiba jadi buta

“Alias, hari ini selesailah tanggungjawab akak kepada hasrat awak dik. Ayah awak dah boleh melihat semula selepas tujuh tahun hidup dalam kegelapan.

“Masa mula-mula bawa ke hospital, doktor pun tak yakin mata dia akan pulih sebab dia langsung tak boleh melihat. Orang lain datang ke hospital masih boleh datang sendiri. Ayah awak sebaliknya bertongkat dan perlu dipapah.

“Hari ini temu janji terakhir setelah 10 kali berulang alik ke hospital untuk pembedahan dan follow up. Walaupun banyak komplikasi masa pembedahan (mata terkoyak dan berjahit) akhirnya ayah awak dapat melihat, dengan izin Allah,” katanya dalam video tersebut.

Tangkap layar menunjukkan bapa Alias dibantu oleh insan lain bagi mendapatkan rawatan sehingga pulih.

Tidak dapat dipastikan apakah hubungan atau pertalian antara wanita berkenaan dengan Alias dan bapanya.

Menurut wanita itu lagi, permintaan pertama Ramli selepas dapat melihat semula ialah untuk menziarahi ke lokasi Alias maut dalam kemalangan.

“Ayah awak duduk lama termenung. Selama ini, dia cuma dengar di mana awak kemalangan sehingga meragut nyawa. Tapi baru kali ini dia melihat dengan mata kepalanya sendiri.

“Dia juga sebut, dia sangka tak akan boleh melihat sehingga akhir hayat. Tapi dengan kekuasaan Allah, dia mampu melihat semula. Allah yang menggerakkan dan membantu usaha ini.

Anak yang baik. Semoga Allah memberi ganjaran pahala di atas segala kebaikan buat ayah di syurga.

NETIZEN

“Terima kasih juga buat semua yang mahu sama-sama membantu dalam usaha ini. Mungkin kita tak saling mengenali, mungkin nilai bantuan kalian akan dilupai. Tapi, malaikat tak pernah lupa mencatit dan catatan amal tidak akan terpadam,” ujarnya lagi.

Perkongsian cerita oleh pelayar tersebut mengundang sebak warganet apatah mengenangkan pengorbanan Alias sebagai anak yang baik.

“Sekarang ayah awak dah boleh melihat, tapi tak sempat lagi melihat awak.

Komen netizen di TikTok.

“Anak yang baik. Semoga Allah memberi ganjaran pahala di atas segala kebaikan buat ayah di syurga,” kata netizen.

Dalam hantaran sama, wanita ini turut menjelaskan bahawa rakan-rakan Alias juga turut sama membantu keluarga arwah yang hidup dalam serba kekurangan.

“Semoga Allah gantikan dengan syurga tertinggi.

"Terima kasih juga buat sahabat-sahabat sekuliah Alias yang datang membaiki keadaan rumah yang daif.

“Sesungguhnya, kematianmu dik, menghidupkan kami,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Allahyarham Alias yang juga bekas penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim di Kedah disahkan meninggal dunia pada 24 Oktober 2022 selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain.

Ketika kejadian anak sulung daripada tiga beradik itu baru dua bulan menjalani latihan amali (praktikal) di sebuah bengkel kimpalan besi selain turut bekerja di sebuah kedai makan berhampiran rumah mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain