suria

“Abah suka tanya soalan yang saya tiada jawapan” - Bapa lama ‘berkabung’ kematian ibu, anak cuma mampu lihat... tak mampu rawat luka

Seorang suami pilu mengenangkan isterinya yang telah pergi buat selama-lamanya.

"AGAK-agak mama okay ke dekat kampung abadi sana," tanya seorang bapa kepada anaknya yang sedang meratapi pemergian isterinya.

Melihat kepada keadaannya, benarlah kata orang rindu kepada seseorang yang berbeza alam sesungguhnya tidak terperi sakitnya.

Melalui satu video tular di TikTok, seorang anak bongsu sempat merakam bagaimana bapanya sering termenung jauh membayangkan keadaan arwah ibunya di alam barzakh.

Mashitah Sedik, 21, berkata dalam kesemua lapan adik-beradiknya, dia yang paling rapat dengan bapa dan memahami duka yang sedang dilaluinya.

"Pada Julai 2020, ibu didiagnos dengan kanser payudara. Sebelum tu ibu diserang minor stroke pada sebelah kanan badan.

"Untuk strok, ibu dapatkan rawatan di Hospital Serdang, kami ingat ibu boleh recover dan semuanya sudah selesai. Tapi ada seorang jururawat ni beritahu kami dia syak ibu ada sakit lain juga.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah, Omok datang ni!” - Budak balik tadika ceria ziarah kubur bapa... Ibu buka cerita, rupanya hati tisu selalu ‘mengadu’ dekat gambar arwah

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi ibu meninggal, derita asma sampai masuk ICU jadi pembakar semangat... Dua sahabat pulun belajar, akhirnya dapat Dekan!

"Jadi kami pun buat pemeriksaan lanjut, ternyata ibu ada kanser payudara tahap dua. Kami ikhtiar buat kemoterapi enam cycles (kitaran), setiap cycle memang nampak ibu semakin kepenatan dan lesu.

"Kemoterapi itu kurang berkesan, kanser payudara ibu meningkat jadi tahap empat. Kami cuba pula radioterapi lima cycles berterusan dari Isnin sampai Jumaat, tapi sejak dari tu, kesihatan ibu terus merosot," cerita Mashitah.

Keadaan ibu Mashitah menjadi tenat apabila dia tidak lagi boleh berjalan dengan sendirinya dan mengalami kesukaran untuk bernafas.

Saya nak gembirakan abah tak berdaya sebab apa pun yang saya cakap tak akan mampu rawat luka di hati dia.

MASHITAH SIDEK

"Ibu hanya terlantar atas katil. Bila kami check balik, rupanya kanser ibu dah merebak ke bahagian kepala dan belakang badan.

"Pada Jun 2022, ibu dimasukkan ke hospital. Kemudian doktor cakap kepada kami yang ibu dah tak ada harapan sembuh. Mereka cuma boleh berikan morfin untuk kurangkan sakit ibu.

"Kami sekeluarga dalam masa seminggu selepas tu cuba nak deny hakikat ni, sukar sangat nak terima. Kami bawa ibu pulang ke rumah dari hospital untuk bagi ibu berehat pada hari-hari terakhirnya,

"Sepanjang ibu dekat rumah, saya memang tak berenggang dengan ibu dan selalu teman dia," kata Mashitah yang menetap di Puchong, Selangor.

Bapa Mashitah bersama arwah ibunya.

Namun begitu, ajal tidak akan lewat atau cepat walau sesaat dan akhirnya ibu Mashitah dijemput Ilahi.

"Waktu tu pukul 6 petang, saya dekat sebelah ibu nampak mata dia terbuka, saya ingat dia terjaga sebab sebelum tu dia tidur. Saya pun panggil abah.

"Bila abah saya check, rupanya itu hembusan nafas dia yang terakhir dan ibu saya dah tak ada. Ibu pergi di depan mata kami semua.

"Ibu baru berumur 61 tahun, masih muda lagi tapi dia dah meninggalkan kami. Yang paling terkesan dengan pemergian ibu sudah semestinya abah, mereka berkahwin selama 30 tahun lebih.

"Susah senang mereka bersama untuk besarkan kami. Dari bekerja kutip botol sehingga jadi pengawal keselamatan untuk sara kami adik-beradik, banyak memori yang mereka kongsi," kata Mashitah.

Mashitah (kanan) bersama arwah ibunya.

Mashitah berkata sejak ibu meninggalkan mereka, bapanya diperhatikan sepi dan kosong hidupnya.

"Abah saya umur 70 tahun. Setiap sudut yang abah pandang di dalam rumah kami ni akan mengingatkan dia kepada ibu. Arwah ibu adalah sebahagian daripada nyawa dan jiwa dia.

"Kalau kami keluar jalan ke mana-mana pun, abah tak nak overnight lama-lama sebab dia risau kalau roh ibu datang melawat rumah, tak ada siapa yang akan sambut dia, kepercayaan orang tua-tua.

"Abah pun kerap berlapar, biasanya ibu yang akan jaga makan minum dia tapi semua tu dah tak ada. Jadi saya yang kena pergi tanya dia nak makan apa sebab kalau tidak memang dia senyap sahaja dan ikat perut.

"Bila kami jamu dia air, kadang-kadang dia complain cakap tak sama macam yang ibu selalu buatkan untuk dia, jadi dia akan bangun buat sendiri untuk kena dengan cita rasa dia," cerita Mashitah.

Ibu dan bapa adalah segala-galanya untuk Mashitah.

Selain itu, Masyitah juga memberitahu bibir bapanya sering mengalunkan ayat suci Al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah isterinya.

"Ayah akan sering duduk seorang sama ada di ruang tamu atau di dalam bilik tidur dia, air mata mengalir turun, sambil dia buka bacaan Yasin di YouTube dan ikut baca sekali, untuk dihadiahkan kepada arwah ibu.

"Abah juga suka tanya soalan yang saya pun tak ada jawapannya, contoh dia tanya macam mana agaknya rupa tempat tinggal ibu di alam sana atau ibu tenang ke di sana.

"Kalau rasa rindu sangat, abah akan pergi lawat pusara ibu. Lepas itu dia akan selfie hantar dekat group family, dia tulis dia dapat jumpa bidadari dia hari ni, minta ibu jaga diri baik-baik dekat sana, macam dia bermonolog sendirian.

"Saya nak gembirakan abah tak berdaya sebab apa pun yang saya cakap tak akan mampu rawat luka di hati dia," kata Mashitah.

Mashitah merupakan anak yang paling rapat dengan bapanya.

Menutup perkongsian, Mashitah berharap dia dapat memanfaatkan masa yang ada bersama bapanya dengan sebaik mungkin.

"Abah sekarang kerja buat e-hailing. Dia masih sihat. Saya harap Allah terus pinjamkan abah kepada saya dengan lebih lama.

"Saya tak dapat spend time banyak dengan ibu sebab saya sambung belajar di universiti. Tak nak perkara yang sama berulang dengan abah.

"Kalau Allah nak ambil semula abah, saya harap ia adalah selepas saya dah puas luangkan masa dengan dia. Saya tak nak rasa terkilan lagi macam waktu saya dengan ibu," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain