suria

Lakonan ‘runner’ kek menjadi! Anak dari NZ pulang buat kejutan untuk mak ayah, dalam bersedih sempat kena lepuk sekali dengan ibu

Luqman membuat kejutan kepada orang tuanya pada 3 Ramadan lalu.

DISANGKA 'runner' penghantar kek, sebaliknya wajah yang tersembunyi di sebalik topeng muka dan topi keledar adalah anak bongsu yang sudah tiga tahun tidak bertemu.

Berjurai air mata si ibu dan ayah sebaik sahaja 'runner' yang kononnya datang menghantar kek, membuka topi keledarnya.

Saat itu, rindu yang terpendam di dada selama tiga tahun terungkap dengan kepulangan mengejut anak bongsu sempena Ramadan, baru-baru ini.

Video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, memaparkan detik mengharukan pertemuan penuh bermakna itu turut sama dirasai warga maya.

Berkongsi kisah dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Kin Aziz berkata, adik bongsunya, Luqman, 23, sudah tiga tahun tidak pulang ke tanah air sejak melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di New Zealand.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan 4 tahun tak jumpa... Menyamar runner kek, berlakon beli pokok keladi siap tawar-menawar tapi si ibu masih tak cam

ARTIKEL BERKAITAN: Anak pulang mengejut selepas 2 tahun terpisah, bapa tersedu-sedu imamkan solat Maghrib - “Rasa bersalah pula buat ayah sebak”

"Sejak Luqman menyambung pelajaran, kami sekeluarga tidak bertemunya selama tiga tahun. Luqman berjaya menamatkan pelajaran pada tahun lalu dan dia stay di sana dulu beberapa bulan.

"Dia beritahu kami sekeluarga yang dia nak balik Malaysia pada Julai tahun ini. Jadi memang semua termasuk ibu ayah tunggu kepulangannya Julai nanti. Tapi tiba-tiba dia ubah plan, beritahu nak balik sambut Ramadan dan Syawal dengan keluarga.

NZ 3

Luqman akhirnya pulang ke tanah air selepas tiga tahun berkelana menuntut ilmu di New Zealand.

"Jadi kami adik beradik pun buatlah rancangan sebab dia nak beri kejutan kepada ibu dan ayah. Pada ibu ayah, kami khabarkan nak berkumpul buka puasa adik beradik pada 3 Ramadan di rumah kakak sulung saya di Seremban.

"Mak ayah pun datang dari Raub, Pahang ke Seremban untuk berkumpul buka puasa ramai-ramai. Kakak sulung dah minta mereka pakai cantik-cantik, kononnya nanti nak ambil gambar dan video call dengan Luqman dari New Zealand," kongsi Kin yang merupakan anak kedua daripada lima adik beradik ini.

Bercerita lebih lanjut, Kin berkata adik bongsunya kemudian menyamar sebagai 'runner' yang menghantar kek kepada ibu bapa mereka.

"Kononnya kek itu Luqman yang kirim... dan selepas itu 'runner' tu minta ibu ayah buat ucapan untuk dihantar kepada Luqman. Memang plan kami menjadi, lakonan Luqman pun tak dapat dikesan ibu ayah.

Selama tiga tahun sebelum ini, keluarga kami tak lengkap sebab Luqman tak ada. Kami hanya video call saja pagi raya.

KIN AZIZ

KAKAK

"Kemudian 'runner' tu pura-pura nak ambil selfie untuk dihantar kepada Luqman. Waktu itu, dia buka helmet dan terus panggil mak. Serentak itulah ibu meraung sambil memeluknya. Ayah pun sebelum itu cool, tak dapat tahan air matanya.

"Punyalah mak geram sebab buat surprise sampai lepuk belakang Luqman," ceritanya lagi.

Wanita berusia 32 tahun ini berkata, kepulangan adik bongsunya itu sekali gus menyerikan lagi Ramadan dan Syawal kelak kerana semua ahli keluarganya kini lengkap.

"Selama tiga tahun sebelum ini, keluarga kami tak lengkap sebab Luqman tak ada. Kami hanya video call saja pagi raya. Tapi walaupun dia jauh, kami sekeluarga tetap sedondon dengan tema warna yang sama.

NAZ 2

Rancangan Luqman untuk membuat kejutan kepada ibu bapanya dijayakan oleh empat orang kakaknya.

"Tahun ini sudah tentu Syawal lebih meriah. Pastinya juadah istimewa akan disediakan oleh ibu bagi meraikan kepulangannya sebab tiga tahun dia tak merasa juadah raya yang sebenar," ceritanya lagi.

Tidak menyangka video perkongsiannya meraih melebihi 1.9 juta jumlah tontonan, Kin berkata dia sekadar mahu mengabadikan memori indah keluarganya di media sosial.

"Terharu bila baca komen-komen yang turut tersentuh dengan video itu. Tapi sedih juga bila baca komen yang beritahu ibu dan bapa mereka sudah meninggal dunia.

"Apa pun, bagi saya, selagi kita masih ada insan tersayang, hargailah mereka, cipta kenangan dengan mereka untuk dijadikan kenangan," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain