suria

“Lin… mayat Lin, mayat!” - Pencari daun palas terkejut dengar jeritan ibu, buka cerita insiden temukan tubuh kaku dalam semak

Saksi kejadian akui masih trauma dengan penemuan mayat berkenaan.

PADA Jumaat penduduk di Kampung Alor Gali dekat Marang, Terengganu dikejutkan dengan penemuan satu mayat wanita oleh pencari daun palas.

Menurut wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Elin, walaupun kejadian itu meninggalkan kesan emosi namun dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya mangsa dapat ditemukan dan diuruskan dengan baik.

"Alhamdulillah Allah buka pintu hati kami nak berhenti cari daun palas di sini.

"Mungkin Allah nak tunjuk kat kami, semoga arwah tenang di sana," katanya sambil berkongsi foto-foto di lokasi kejadian menerusi TikTok.

Bercerita lanjut tentang penemuan itu, Elin ketika dihubungi mStar berkata dia dan ibunya secara kebetulan singgah ke lokasi berkenaan terlebih dahulu sebelum menuju ke pekan Marang untuk urusan perbankan.

“Saya dengan ibu nak cari daun palas untuk buat tempahan ketupat. Sebelum ni kami pergi dekat kawasan paya tu tak pernah jumpa apa-apa yang pelik.

“Ibu jalan dekat depan, saya cuma ikut dari belakang saja. Selepas dia ambil daun palas dekat luar tepi jalan tu, kami masuk ke kawasan lebih dalam untuk cari banyak daun palas lagi.

“Kami terpaksa tunduk kepala masuk ke dalam paya tepi sungai untuk ambil daun palas. Masa tulah ibu terkejut sampai menjerit kuat sebab mayat tu dah dekat dengan kaki dia,” cerita Elin kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa mayat suami tergantung dengan tali buaian, dunia isteri gelap gelita... Trauma asyik terbayang kaki terjuntai dalam bilik

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: 7 hari berlalu, pasukan penyelamat akhirnya jumpa mayat mangsa kedua

“Lin (panggilan Elin) mayat Lin, mayat!” jerit si ibu kepadanya.

Ujar Elin, pada mulanya dia terpinga-pinga melihat ibunya yang panik pada ketika itu kerana masih tidak pasti mengenai apa yang berlaku.

Akhirnya Elin melihat sendiri mayat yang terbaring sambil sebelah tangannya berada di bahagian muka.

Setelah diamati bahawa ia merupakan mayat seorang wanita tidak dikenalinya, dia terus membuat panggilan kecemasan di talian 999.

“Mayat itu lengkap berpakaian dengan baju lengan panjang berwarna merah jambu, dan berseluar panjang berwarna hitam. Ada juga sehelai kain juga kian berwarna hitam di bahagian perutnya... mungkin tudung.

Tangkap layar video beberapa foto dikongsikan Elin sekitar kejadian.

“Keadaan tangan dan kaki dia pun nampak masih elok. Cumanya ada sedikit bau kurang menyenangkan. Mungkin dia sudah terdampar dekat situ lebih tiga hingga empat hari.

“Sebagai penduduk di Marang, saya tak pernah tengok lagi dia sebelum ni. Saya terkejut sangat masa tu kemudian terus berlari ke dalam kereta untuk ambil telefon dan hubungi polis,” ujar Elin.

Tambah Elin kejadian yang disifatkan amat mengerikan itu terus menghantuinya.

Kawasan tu memang orang-orang tertentu saja tahu... sedikit jauh daripada perumahan.

ELIN

“Selama ni tengok dekat media sosial atau televisyen saja. Tak sangka saya sendiri pula alami perkara sama.

“Kawasan tu memang orang-orang tertentu saja tahu. Lagi pun tempat tu sedikit jauh daripada kawasan perumahan. Orang luar mesti tak perasan ada kawasan daun palas kalau lalu dekat situ.

“Sehari dua ni saya rasa tak boleh tidur. Apabila masuk saja waktu malam saya jadi trauma, teringat situasi mula-mula terkejut jumpa mayat tu,” kata Elin.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian daripada seorang suri rumah.

Ujarnya mayat itu berusia dalam lingkungan 20an hingga 30an.

Komen netizen di TikTok.

Menurut Mohd Zain lagi, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kesan tikaman, tetakan mahupun kelar pada tubuh mangsa.

Malah pihak polis juga tidak mengesan sebarang kesan pergelutan dan tompokan darah di lokasi kejadian.

Tambahnya lagi, mayat wanita tersebut masih memakai cincin dan rantai leher namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.

Oleh kerana tiada sebarang bukti fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah, kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain