suria

[V] Dalam gelanggang bukan main garang, peninju Muay Thai ini rupanya takut jarum! “Sedar-sedar, kawan dah tolak atas kerusi roda”

Ewan dedah dia takut jarum sejak kecil.

SETIAP individu mempunyai ketakutan dan fobia yang berbeza-beza.

Begitu juga dengan peninju Muay Thai, Mohammad Ekhwan Syezwan Sauti, 24, yang mendedahkan 'musuh' utama yang paling ditakuti sejak dulu hingga kini.

Senang disapa Ewan, dia yang sudah sembilan tahun terlibat dalam dunia Muay Thai mengakui tidak gentar untuk masuk ke gelanggang, namun cukup fobia dengan jarum sejak zaman kanak-kanak.

"Pengalaman cedera seperti bengkak atau berdarah ketika latihan dan perlawanan biasa berlaku. Bahagian muka paling berisiko untuk cedera. Kalau tak hati-hati, kawasan kening, dahi dengan mulut memang mudah cedera.

"Saya pun dah biasa sakit ketika training. Kalau tak biasa sakit kat bawah, macam mana kat atas gelanggang nanti? Saya tiada masalah untuk berlawan di gelanggang, tapi bab jarum memang tak boleh.

"Saya takut jarum sejak kecil. Biasanya kalau cedera, saya minta untuk dijahit terus tanpa bius. Ada satu kejadian, doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tak benarkan jahit tanpa bius. Nak tak nak memang kena cucuk jarum.

Perlawanan pertama berakhir seri. Sejak hari itu, saya teruskan minat sehingga ke hari ini.

MOHAMMAD EKHWAN SYEZWAN SAUTI

"Ketika cucuk di bibir saya tahan lagi. Kemudian doktor cucuk jarum di lengan, terus saya pitam. Sedar-sedar, kawan dah tolak atas kerusi roda. Bab jarum tu bukan main-main, tapi betul-betul saya takut," ujarnya berseloroh.

Bercerita mengenai perjalanannya, anak kedua daripada lima beradik itu mula menyimpan minat untuk menyertai sukan berkenaan gara-gara kerap mengikuti bapanya menyaksikan perlawanan tinju.

Jelas Ewan yang turut aktif bermain bola, dia mula menyertai Muay Thai sewaktu berusia 15 tahun dan tidak pernah berhenti sehingga ke hari ini biarpun turut bekerja sebagai penyelia tapak projek di ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih berlatih... atlet berbasikal nak tak nak terpaksa redah banjir, kalau patah balik makin jauh kayuh - “Ada sampai lutut, paras dada”

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah suara, paras rupa sampaikan malu dipuji... pelajar aktif sukan sejak usia 5 tahun tak sangka lubuk rezekinya di media sosial, teringin nak jadi public figure

"Saya memang minat sukan lasak. Dulu selalu ikut ayah pergi tengok Muay Thai. Saya minat tapi tak tahu nak belajar kat mana. Kemudian baru tahu ada tempat belajar dekat rumah.

"Tak sampai sebulan saya belajar Muay Thai, saya masuk pertandingan. Perlawanan pertama berakhir seri. Sejak hari itu, saya teruskan minat sehingga sekarang.

"Setakat ini saya dah menyertai 87 perlawanan dalam Malaysia dan Thailand. Saya sepatutnya pergi bertanding di Dubai dan India tahun lepas, tapi ia dibatalkan kerana Covid-19.

ewan4

Jejaka berusia 24 tahun ini gemarkan aktiviti lasak.

"Selain lawan dari Malaysia, saya juga pernah lawan dengan peninju dari Thailand dan Iran," ujar anak jati Kelantan itu.

Nama Ewan semakin dikenali ramai apabila dia aktif berkongsi video latihan dan perlawanan Muay Thai menerusi Instagram dan TikTok sehingga meraih ratusan ribu tontonan.

Menurut Ewan, dia tidak berniat mengejar pengikut namun seronok berkongsi ilmu bermanfaat buat netizen, terutamanya berkaitan seni mempertahankan diri.

ewan6

Ewan kini turut membuka kelas Muay Thai.

"Saya mula share video pada tahun 2018. Pada waktu itu, saya secara suka-suka berjoget ketika training. Memang tak ada niat nak kejar followers, tapi video jadi viral.

"Selepas itu, saya selalu buat video terutamanya ketika training. Dapatlah hiburkan diri dengan video-video tu," ujarnya yang turut membuka kelas Muay Thai sejak sebulan lalu.

Menurut Ewan yang kini menetap di Skudai, Johor buat sementara waktu, ramai individu termasuklah kaum hawa menghubunginya bagi menyertai kelas tersebut.

Ewan dedah dia takut jarum sejak kecil.

Ewan menyertai Muay Thai ketika berusia 15 tahun.

"Setakat ini lebih 30 orang contact, ada yang saya tak sempat nak reply lagi. Perempuan pun ada dalam empat ke lima orang. Ramai yang bertanya. Saya kata tak semestinya training macam fighter.

"Training untuk fighter lain. Kalau nak belajar pertahankan diri, asas Muay Thai, boleh sertai kami. Sekurang-kurangnya kalau ada kecemasan, boleh guna kemahiran ini untuk pertahankan diri.

"Tapi nanti dah pandai jangan lupa diri. Jangan guna apa yang dipelajari ke arah yang salah," pesan Ewan lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain