suria

[V] Berderau darah tengok lelaki kutip tangga besi tengah highway MEX, tak sempat tunggu peronda... “Terlalu bahaya untuk dibiarkan”

Farid sanggup membahayakan nyawa demi keselamatan orang lain.

MENJADI perwira tidak memerlukan seseorang itu memakai mantel, sut mahupun perisai untuk kelihatan gagah.

Cukuplah sekadar punya keberanian dan sikap ingin membantu pada masa yang diperlukan.

Begitulah yang dilakukan pemuda bernama Farid Hafizul, 26, yang membahayakan nyawanya untuk mengalihkan sebuah tangga lipat dan paip PVC yang terjatuh di tengah jalan.

Dalam video tular yang dikongsikan Farid di TikTok, dapat diperhatikan dia cuba memberi isyarat kepada pengguna Lebuhraya Maju Expressway (MEX) agar memperlahankan kenderaan masing-masing.

Ketika dihubungi mStar, Farid menceritakan semula tentang situasi mencemaskan itu ketika dia mengalihkan tangga berkenaan.

"Semasa melalui lebuh raya MEX menuju ke Sepang, sebuah kenderaan 4x4 memotong kami selepas persimpangan Bukit Jalil

"Kenderaan itu bawa tangga dan paip di belakangnya. Tak lama selepas itu tangga dia jatuh ke tengah jalan... mungkin ikat tak ketat.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu Hafiz jadi hero! Selamba hayun rak besi pecah pintu asrama... Pelajar perempuan bersorak gembira selepas 2 jam terkurung

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 3 tahun meraung cari famili, syukur remaja SPM muncul jadi hero... Momen ibu terduduk dapat balik anak hilang buat ramai sebak

"Kami memang betul-betul di belakang kenderaan 4x4 itu, nasib baik kami sempat tekan brek mengelak tangga itu," ceritanya ketika dihubungi mStar.

Atas rasa tanggungjawab, Farid mengajak rakannya memberhentikan kereta di tepi bagi membantu mengalihkan tangga tersebut.

"Tangga besi kot yang ada dekat tengah jalan tu. Kalau tayar lori pecah kita langgar pun boleh menyebabkan kecederaan dan kemalangan... inikan pula tangga besi," ujarnya.

Terlalu bahaya untuk dibiarkan... saya fikir keselamatan orang lain.

FARID HAFIZUL

Ujar Farid dia terfikir untuk menghubungi peronda lebuh raya bagi mengendalikan hal tersebut tetapi keadaan mendesak memerlukan tindakan segera.

"Saya ada teringat nak call pihak peronda tapi saya fikir balik nak tunggu peronda sampai pun ambil masa.

"Silap-silap ada yang dah jadi mangsa dulu terutamanya motosikal. Saya kata dekat member saya, saya nekad nak ambil tangga itu juga.

"Saya minta dia rakam video kalau apa-apa jadi dekat saya, kita ada bukti. Saya ambil tangga dan letak dekat tepi jauh sikit daripada jalan raya," katanya.

Farid sedang mengangkat tangga yang terjatuh di tengah lebuh raya walaupun kenderaan di belakang berkelajuan tinggi.

Ketika ditanyakan sama ada 4x4 tersebut sedar dengan kejadian yang berlaku, Farid berkata dia melihat pemandu kenderaan berkenaan berhenti di tepi tetapi jauh daripada tempat kejadian.

"Dia perasan tapi dia berhenti dalam 200 meter daripada kami. Macam jauh juga. Selepas saya dah selesai ambil tangga itu dan bawa ke tepi, baru saya nampak dia datang.

"Dia datang ambil balik tangga kepunyaannya," kata Farid.

Farid menyatakan apa yang menyuntik keberanian dalam dirinya adalah kerana dia pernah menjadi mangsa kemalangan dan memahami keperitannya.

Farid yang pernah kemalangan berkata dia tidak sanggup melihat orang lain melalui perkara yang sama.

"Saya juga salah seorang penunggang motosikal dan saya juga seorang pemandu kereta.

"Jadi apabila ada halangan di atas jalan raya yang boleh menyebabkan kemalangan saya rasa saya kena tolong.

"Kalau plastik kita boleh langgar macam itu je tapi ini tangga besi. Terlalu bahaya untuk dibiarkan. Saya fikir keselamatan orang lain," terangnya.

Keluarga Farid ketika melihat video yang tular itu meluahkan kerisauan dengan tindakan yang diambilnya.

Antara komen warga maya yang memuji tindakan heroik Farid.

"Mereka ada cakap kenapa tak tunggu peronda je, saya cakap by the time peronda sampai mungkin dah ada yang kemalangan.

"Saya kena buat juga," tegasnya.

Warga maya juga turut membanjiri ruangan komen dan menghujani Farid dengan pujian tanpa henti.

"Terima kasih, banyak pahala you guys.

"Terbaik. Semoga dilimpahkan rezeki dan dipermudahkan urusan anda.

"Terima kasih bang. Tindakan abang dapat menyelamatkan banyak nyawa," antara komen warga maya.

Sehingga kini video berkenaan menerima lebih 1.8 juta tontonan di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain