suria

Anak nak kahwin tapi tak berduit, mak ayah kerja kilang pinjam Ah Long! Selesai majlis boleh pula bawa isteri honeymoon

Mak dan ayah sanggup hutang Ah Long demi melangsungkan perkahwinan anak.

TIDAK dinafikan kos untuk mengadakan majlis perkahwinan semakin meningkat disebabkan beberapa faktor seperti harga bahan mentah yang semakin mahal.

Bagaimanapun, disebabkan mahu mengikut 'adat', ramai yang sanggup membuat pinjaman kewangan sama ada menerusi institusi perbankan mahupun syarikat pinjaman tanpa lesen, Ah Long.

Berdasarkan luahan perasaan seorang gadis yang dikenali Ina, baru-baru ini, dia terkilan apabila ibu dan bapanya terpaksa meminjam wang berjumlah RM20,000 daripada Ah Long demi melangsungkan perkahwinan abangnya.

Menurutnya, tindakan drastik itu diambil berikutan ibu bapanya malu untuk membatalkan majlis perkahwinan selepas membuat jemputan seramai 1,000 orang.

Lebih mendukacitakan apabila abangnya bukan sahaja bertindak 'lepas tangan' tetapi tidak pernah membawa bakal isterinya untuk bertemu keluarga sehinggalah majlis bertunang dilangsungkan.

Anak bongsu yang tinggal bersama keluarga ini berkata segalanya bermula apabila abangnya tiba-tiba berubah sikap selepas bertunang dengan wanita berkenaan.

"Abang saya baru berkahwin awal tahun ni semasa majlis perkahwinan sudah dibenarkan berlangsung. Sebelum kahwin, abang saya tak pernah bawa teman wanita jumpa keluarga.

"Kami cuma tahu janda anak satu sahaja, tak pernah dia bawa jumpa mak atau cerita apa-apa pasal perempuan tu.

Sebahagian luahan gadis terbabit.

Sebahagian luahan gadis terbabit.

"Lepas majlis tunang, abang saya dah mula nampak malas nak bekerja... dia tauke kedai makan, tapi dah jarang ke kedai dan barang-barang kedai pun dia dah tak beli," luahnya yang kemudian dikongsikan oleh @TwtWedding baru- baru ini.

Disebabkan abangnya sudah tidak menguruskan kedai dengan baik, maka dia kekurangan duit untuk mengadakan majlis kenduri.

Tambahnya, majlis perkahwinan hanya dilakukan di sebelah lelaki sahaja kerana ibu kepada wanita terbabit enggan mengadakan majlis kerana tidak mahu orang ramai mengetahui bahawa anaknya sudah bercerai.

"Memang rasa pelik sebab nak buat benda baik tapi nak rahsiakan pula.

"Bagaimanapun, ia tetap diteruskan dengan jemputan 1,000 orang... jadi makanan kena ada lebih. Dua minggu sebelum majlis tu, abang masih belum bagi duit pada mak untuk langsungkan kenduri.

"Mak dah mula panik sebab dia dah panggil orang... bila desak pasal duit, abang cakap tak ada duit dan nak batalkan kenduri. Tapi mak tak nak batalkan sebab dah hantar kad dan dia tak mahu tanggung malu," kongsinya lagi.

Buntu dengan apa yang berlaku, ibu dan bapanya mengambil jalan singkat dengan meminjam Ah Long sebanyak RM20,000.

Maka, perkahwinan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh ibu dan bapanya.

"Sedih dengan apa yang berlaku sebab mak dan abah hanya kerja kilang. Lagi dua tahun saja mereka akan bekerja... macam mana nak bayar Ah Long nanti.

Pasangan pengantin dikatakan berbulan madu di Sabah walaupun tiada duit. - Gambar hiasan (MountKinabalu)

Pasangan pengantin dikatakan berbulan madu di Sabah walaupun tiada duit. - Gambar hiasan (MountKinabalu)

"Abang cuma keluarkan duit untuk pelamin dan baju pengantin RM7,000. Pelamin sahaja RM5,000," ujarnya sebak.

Perangai abang yang lepas tangan membuatkan seluruh ahli keluarga sedih dan hiba namun terpaksa tersenyum pada hari majlis.

Malah, ibunya yang kelihatan gembira juga sebenarnya sering keluar masuk bilik kerana menangis.

"Banyak kali mak masuk bilik menangis sebab fikir ayam dan daging masih hutang, upah orang memasak dan deejay yang belum dilangsaikan," katanya.

Kesedihan yang masih belum hilang itu ditambah pula dengan sikap abang dan pasangannya yang tiba-tiba keluar shooting pengantin seawal jam 2.30 petang.

"Malu kami sekeluarga kerana pengantin tiada, adik-beradik sebelah mak abah pun mereka belum menyapa lagi. Habis majlis dalam jam 6 petang, kami semua tunggu mereka balik sebab nak bagi pengantin cuci pinggan.

"Tapi sampai lepas Maghrib baru mereka keluar rumah dengan alasan penat. Mak saya terus menangis depan adik-beradik dia sebab anak buat perangai begitu," luahnya lagi.

Menurutnya lagi, perkara yang lebih mengejutkan adalah abang dan kakak iparnya itu terbang ke Sabah untuk berbulan madu.

Semua tanggungjawab jatuh ke atas saya. Duit gaji habis untuk rumah semata-mata sampai simpanan sendiri pun tiada.

INA

Walhal mereka sudah menyatakan tidak mempunyai wang sehingga memaksa ibu dan ayah berhutang dengan Ah Long.

Kini, duit gaji ibu dan ayah dihabiskan untuk membayar hutang kenduri tersebut sehingga keseluruhan perbelanjaan di rumah terpaksa ditanggung olehnya.

"Saya seorang sahaja anak perempuan, abang-abang semua dah berkahwin dan tidak tinggal bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah diusir, dipulaukan tetangga! Penduduk ketakutan Ah Long ugut minta langsai hutang anak jiran, tiba-tiba kena jadi penjamin

ARTIKEL BERKAITAN: Demi suami tercinta isteri sanggup pinjam bank, berhenti kerja tolong buat bisnes... Dah muflis, hutang pun kena tanggung sendiri!

"Semua tanggungjawab jatuh ke atas saya. Duit gaji habis untuk rumah semata-mata sampai simpanan sendiri pun tiada.

"Gaji mak abah semata-mata bayar Ah Long... sedih saya rasa, banyak kali suarakan hasrat untuk berkahwin tetapi abang-abang, mak dan abah tidak benarkan," ujarnya hiba.

Luahannya itu mendapat perhatian warganet sehingga ada yang menyalahkan tindakan ibu dan bapa gadis berkenaan kerana tidak bertegas tentang perbelanjaan kenduri berikutan enggan menanggung malu.

Antara komentar yang ditinggal netizen.

Antara komentar yang ditinggal netizen.

"Tak payah terkilan. Your parents failed you and your siblings. Sanggup hutang Ah Long daripada malu batalkan majlis? Itu dah redflag, apa benda nak malu. Tak ada duit, buat cara tak ada duit... jadi tak payah pelik kenapa abang buat perangai macam tu.

"Kesian ayahnya, tapi silapnya ayah dia tak tegas untuk buat keputusan.

"Mak ayah pun tak fikir panjang sampai sanggup pinjam Ah Long. Biar malu sehari daripada kena fikir hutang.

"Mungkin sebab jemputan 1,000 orang. Entah-entah keluarga yang paksa abang tu untuk ajak ramai-ramai dan abangnya tak setuju... sebab itu dia tak mahu tanggung.

"Ni macam mak ayah yang beria nak jemput ramai-ramai. Iyalah nak berhimpun satu keluarga... siap ada deejay, macam keperluan pula.

"Sebab tu kena ukur baju di badan sendiri. Dah tau tak ada duit, pergi jemput sampai 1,000 orang. Kemudian pinjam Ah Long? Kalau terdesak macam mana pun jangan sampai pinjam Ah Long, paling tak ada pun boleh buat personal loan di bank," komen beberapa netizen.

Dalam pada itu, tidak kurang juga yang menzahirkan rasa kasihan kepada gadis terbabit kerana menjadi mangsa keadaan sehingga dihalang daripada mendirikan rumah tangga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain