suria

Bapa warga emas teringin makan ikan keli, siap terjenguk-jenguk dalam akuarium... Mujur anak faham, akhirnya tersengih dapat seekor

Bapa Ummi sewaktu melihat ikan-ikan di dalam akuarium di pasar raya.

MENJAGA ibu bapa yang lanjut usia sudah tentu memerlukan kesabaran yang tinggi.

Malah sesetengah daripada ibu bapa pada usia emas akan mula menunjukkan sifat kembali seperti kanak-kanak.

Namun sebagai anak, tugas kita adalah untuk memastikan kebajikan ibu bapa terbela seperti mana yang dilakukan mereka ketika membesarkan kita.

Hantaran yang menjadi tular di media sosial.

Sebagaimana perkongsian oleh Ummi Yahaya, dia menceritakan situasi melayan kehendak bapanya di sebuah pasaraya.

Menurut Ummi, kejadian ketika membeli barang basah itu membuatkan hatinya terjentik untuk berkongsi cerita semula sehingga mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

“Lepas habis check up ibu, dia nak singgah Aeon Big nak beli barang dapur.

ARTIKEL BERKAITAN: “Abah peluk, menangis suruh bangun!” - Pemuda pengsan tengah padang kawad tak lupa momen gelap mata sebelum rebah

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah kena ‘sidai’ tepi jalan, anak gadis dalam kereta buka aircond... Rupa-rupanya bagi laluan buat presentation universiti

“Ayah pun baru ni la keluar rumah sejak tak sihat hari tu. Masa tunggu ibu tadi ayah cakap dia nak beli ayam, sebab nak suruh ibu masak lemak cili padi.

“Okeylah, dah ambil ayam, sambil jalan nak ke kaunter bayaran, lalu tepi akuarium ikan keli hidup tu,” tulis Ummi dalam hantaran di Facebook.

Jelas Ummi, dia sudah mula sedar akan tingkah laku si bapa yang melihat ke dalam akuarium berisi ikan air tawar tersebut.

Bagaimanapun pelawaan Ummi untuk membeli ikan berkenaan ditolak bapanya.

Tersengih-sengih dan gelak-gelak ayah apabila budak (pekerja) Bangladesh tu sauk dan lepaskan sebab salah ikan.

UMMI

“Saya dah perasan ayah jenguk-jenguk ke dalam. Saya agak dah, ayah ni mesti nak beli. Tapi apabila tanya dia mula cakap, tak nak la sambil terus tolak troli kedepan.

“Saya tahu ayah ni dah tentu nak tu, cuma macam biasa dia akan lengahkan (masa) dulu,” kata Ummi lagi.

Seperti kebiasaanya setelah kejadian berulang kali ini tetap terjadi, anak Ummi akan laksanakan tugas menjadi cucu bagi mendapatkan jawapan sebenar datuknya.

Menepati sangkaan, bapa Ummi itu memberitahu kepada si cucu bahawa dia mahu membeli ikan keli berkenaan.

“Anak datang pada saya yang sedang pilih bawang dengan ibu dan bercerita. Kemudian saya pergi pada ayah dan dia tanya ‘Along... along..ayah nak beli ikan keli boleh?’

Aquarium berisi ikan keli di pasaraya.

“Saya terus senyum angguk dan bawa ayah semula untuk pilih ikannya. Tersengeh-sengeh dan gelak-gelak ayah apabila budak (pekerja) Bangladesh tu sauk dan lepaskan sebab salah ikan,” ujar Ummi.

Situasi yang berlaku itu membuatkan Ummi mengimbas kembali kenangan dia dibesarkan ibu bapa suatu ketika dahulu penuh dengan kasih sayang.

“Dahulunya.. waktu kita kecil, tentu ada momen yang sama, waktu tu, kita yang nak itu ini dan ayah serta ibu la yang kita ‘buli’ melayan kerenah kita.

“Hari ni, dalam usia yang mencecah 83 tahun, ayah cuma mahukan perhatian dan kawan berbual. Makan pun tidak seberapa.

“Kita, belum tentu cecah usia itu. Tapi berikan saja kenangan indah-indah supaya dia gembira dan kita tidak rasa terkilan. Peliharalah ibu bapa kita sementara mereka masih bernafas.

Kisah asal yang diceritakan oleh si anak.

“Walaupun kadangkala kita merasakan ibu bapa kita banyak karenah, namun begitulah juga kita sewaktu kecil yang banyak karenah. Mereka tetap sabar melayani kita walau bagaimana sekali perangai kita pada ketika itu,” jelas Ummi lagi.

Kata Ummi, pengorbanan ibu bapa membesarkan anak-anak tiada tandingannya dan tidak mampu dibalas.

Namun sebagai anak, amabillah peluang untuk kita berbakti kepada mereka walaupun kita tahu ianya tak setanding dengan jasa mereka menjaga kita sewaktu kecil sehingga dewasa.

Untuk rekod, perkongsian Ummi menjadi tular di media sosial serta dikongsikan semula di beberapa platform lain termasuk Daily Makan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain