suria

Tak tahan digigit nyamuk, ‘minah salih’ bengkak kaki tak boleh pakai kasut... Tapi Malaysia tetap di hati, suka makan nasi dagang

Tangkap layar video Victoria yang berkongsi 'masalah' yang dihadapinya ketika berada di Malaysia.

WOW! Begitulah reaksi spontan seorang wanita warga asing yang mengembara ke Malaysia.

Namun dalam keterujaan dan keseronokannya berada di negara ini, pelancong berkenaan melalui pengalaman yang tidak disangka-sangka.

Menerusi satu video yang tular, 'minah saleh' itu berkongsi mengenai empat masalah yang dialaminya iaitu sakit perut, kesan kulit terbakar (sunburn), digigit nyamuk dan selesema.

Berkongsi pengalaman kepada mStar, wanita berkenaan, Victoria Sergeeva berkata, dia berasal dari Belarus di timur Eropah dan mengembara ke Malaysia bersama teman lelaki.

Tidak menyangka video yang dikongsinya di aplikasi TikTok menjadi tular, Victoria menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang menakjubkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia negara dunia ketiga? 'Minah Salih' jalan di Pavilion buktikan kepada rakan Amerika negara kita tak mundur

ARTIKEL BERKAITAN: Parkir punya hal, Mat Salih terpaksa berterus terang 'benci' kereta Kancil... rekaannya satu penyeksaan psikologi

"Sebenarnya tiada sesiapa pun di negara saya tahu atau bercakap tentang Malaysia. Tapi saya akui Malaysia mempunyai iklim yang unik dan warisan budaya Asia yang besar.

"Jika anda belum pernah ke Asia, anda boleh datang ke Malaysia dan merasai seperti anda berada di mana-mana! Malaysia, China, Singapura, Indonesia, India, Bangladesh dan Thailand dalam satu negara!

"Malaysia memberi anda peluang untuk melihat alam semula jadi dan persekitaran yang luar biasa, dari Menara Berkembar di Kuala Lumpur ke hutan liar di Sabah," kata gadis berusia 25 tahun itu ketika dihubungi mStar.

minah saleh 2

Victoria turut mengalami sakit perut dan selesema ketika bercuti di Malaysia.

Setakat ini, video yang dikongsi Victoria meraih lebih dua juta tontonan di TikTok.

Mengenai empat 'masalah' itu, Victoria berkata, dia tidak biasa menikmati makanan pedas kerana tempatnya lebih banyak menggunakan garam dan lada hitam, berbanding rempah.

minah saleh 4

Victoria (kanan) bersama teman lelaki berlatarkan Menara Berkembar PETRONAS.

"Saya alami gastrik, jadi makanan pedas hanya memburukkan lagi keadaan. Malangnya bagi saya, 97 peratus makanan Melayu adalah pedas!

"Jadi setiap kali saya memesan makanan, saya minta makanan yang kurang atau tidak pedas langsung. Ini kerana mulut saya terasa panas hingga berjam-jam kalau makan makanan pedas," ujarnya yang berasal dari Minsk, ibu negara Belarus.

minah saleh 5

Kiri Victoria di Bukit Bintang, kanan Victoria berenang dengan pemandangan Menara Berkembar PETRONAS.

Kata Victoria lagi, kulitnya yang putih juga begitu mudah untuk 'terbakar' dek kerana keadaan cuaca yang panas di Malaysia.

"Saya sering guna SPF (faktor perlindungan matahari) 50 walaupun pada musim sejuk. Tapi kenapa kulit saya 'terbakar' kali ini? Ini kerana saya berada di kolam renang.

Jika saya boleh menulis buku pengembaraan tentang Malaysia, saya pasti akan melakukannya.

VICTORIA SERGEEVA

"Saya dah lama tidak berada di negara panas. Saya kena sunburn selepas berenang di kolam selama kira-kira 15 minit. Memang sakit, sampaikan saya sukar untuk tidur selama seminggu.

"Tentang gigitan nyamuk, saya sebenarnya tidak mengalami sebarang alahan tapi tak sangka dapat alahan baru. Banyak kali digigit nyamuk ketika berjalan pada waktu petang.

"Esoknya kaki kiri ada kesan bengkak sehingga sukar untuk pakai kasut," katanya sambil menambah teman lelakinya, Iklyl Sari merupakan pengarah filem dari New York, Amerika Syarikat.

minah saleh 3

Antara kenangan terindah Victoria bersama teman lelaki di Malaysia.

Mengulas lanjut, penasihat akademik ini memberitahu dia turut mengalami selsema disebabkan kesejukan daripada penyaman udara dan perubahan suhu di luar bilik.

"Saya tidak tahu mengapa ramai yang berkata mereka terkejut di ruangan komen. Tubuh manusia mudah diserang selsema akibat perubahan suhu yang cepat.

"Misalnya jika suhu di luar panas, dan masuk ke pusat beli-belah dengan suhu lebih sejuk kerana di dalamnya ada penyaman udara, dan kemudian keluar semula ke tempat panas, badan anda akan diserang selsema dalam beberapa minit," katanya.

minah saleh 6

Victoria mahu berkunjung lagi ke Malaysia pada masa akan datang.

Victoria yang bercuti di beberapa tempat di Malaysia selama kira-kira tiga minggu bagaimanapun berkata, ia bukanlah masalah jika dibandingkan dengan kenangan indah berada di negara ini.

"Saya gembira berada di sini dan meneroka negara ini. Banyak tempat yang kami lawati dari bandar ke negeri-negeri, malah bertemu dengan ramai orang yang baik-baik.

"Kenangan terindah di Kuala Lumpur iaitu saya berpeluang berenang di kolam renang di atas bumbung bangunan dengan pemandangan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC). Antara lain sewaktu mengunjungi tokong di dalam gua di Ipoh, Perak.

"Saya suka makanan tempatan. Paling sedap yang saya temui di Kelantan iaitu nasi dagang. Jika saya boleh menulis buku pengembaraan tentang Malaysia, saya pasti akan melakukannya," katanya yang mahu melawat Sarawak dan Langkawi pada masa akan datang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain