suria

Halus amaran cikgu! Guru unboxing parcel masa perhimpuan, teruja hanya sementara... dah tahu ‘isinya’ pelajar lelaki pakat gerun

Cikgu Idi buka bungkusan barangan dibeli semasa perhimpunan.

SETELAH sesi persekolahan dibuka semula, pasti ada pelajar kembali ke sekolah dengan keadaan rambut lebih panjang dari biasa.

Menyedari situasi ini, guru disiplin akan menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan rambut pelajar lelaki berada dalam keadaan kemas, pendek dan rapi.

Menerusi video tular yang dikongsikan Idi Johan Mohd Zaidi, 41, atau cikgu Idi, para pelajar nyata teruja apabila dia membuka bungkusan barang dibeli dalam talian semasa perhimpunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mustaffa, Sekinchan, Selangor pada 13 Jun lalu.

"Saya unboxing tu waktu perhimpunan rasmi seperti biasa setiap hari Isnin. Hari tu pula kebetulan hari pertama selepas cuti seminggu.

"Dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran, ada lima elemen penting iaitu set induksi, isi pengajaran, pengukuhan, penilaian dan penutup. Saya terapkan semua dalam video tular tu.

"Saya beli mesin dan unboxing di hadapan pelajar sebagai set induksi dalam memulakan slot peringatan disiplin sewaktu perhimpunan rasmi. Saya lebih banyak menggunakan bahasa kiasan seperti 'merasmikan' supaya peringatan yang diberi lebih halus tetapi sampai di hati pelajar," ujarnya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu buat ‘content’ TikTok, akui bahagia ajar budak pandai... Syed Saddiq pula tegur jangan perlekeh pelajar ‘kelas belakang’

ARTIKEL BERKAITAN: Cerita sebenar cikgu dapat hadiah 3 biji kismis... Pelajar Cina datang senyap-senyap, paling akhir hulur lipatan kertas buku tulis

Tindakannya pembalut barang yang dibeli di hadapan semua pelajar ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan masing-masing cuba meneka apa yang terkandung di dalamnya.

Jelas guru yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Kebudayaan Muzik ini, kaedah dilakukan bertujuan untuk mewujudkan kesan keterujaan yang akan tersimpan dalam visual memori dan auditori memori pada pelajar.

Cikgu Idi mengajar subjek Matematik dan Kebudayaan Muzik.

"Saya baru saja dilantik jadi Ketua Guru Disiplin. Sebelum ni tak pernah lagi gunting rambut mana-mana pelajar di sekolah.

"Saya beli mesin gunting minggu lepas di Shopee khas untuk gunting rambut pelajar lelaki. Masa buka parcel tu depan semua pelajar wajah pelajar lelaki nampak teruja pada awalnya sebab nak tahu apa yang beli.

"Tapi lepas saya buka dan tunjuk mesin gunting rambut baru dibeli ni, perasaan mereka jadi bercampur baur mengikut kondisi rambut masing-masing. Yang gembira hanyalah pelajar perempuan sebab tak kena gunting rambut macam pelajar lelaki lain," ujarnya lagi.

Perkongsian video 'unboxing' cikgu Idi di TikTok telah meraih lebih 2 juta jumlah tontonan dan rata-rata netizen berseloroh di ruangan komen.

"Esok pelajar lelaki tak datang.

"Auto ambil MC seminggu (medical certificate).

"Lelaki saja tahu cemasnya hadiah cikgu tu.

Cikgu Idi baru sahaja dilantik menjadi Ketua Guru Disiplin.

"Untung dapat warning dulu. Aku dulu pergi sekolah smart saja rambut, balik sekolah sudah ada tobek," komen beberapa netizen.

Susulan tindakannya yang menggerunkan pelajar lelaki itu, bagaimanapun tiada pelajar ponteng sekolah pada hari-hari berikutnya, menurut guru yang berasal dari Sungai Besar ini.

Malah jelasnya, pendekatan terhadap pelajar kini sudah berbeza jadi para guru harus lebih kreatif dalam teknik pengajaran mereka.

"Setahu saya, tiada isu tentang kehadiran pelajar. Mereka tetap hadir ke sekolah seperti biasa lepas saya buat macam tu dekat perhimpunan.

Tiada seorang pelajar pun cuba ponteng sekolah walaupun 'pengumuman' ini dibuat olehnya.

"Bagi saya, sebenarnya guru itu ibarat seniman penyampai ilmu. Perlu kreatif dalam memastikan pelajar sentiasa memberi perhatian terhadap ilmu yang ingin disampaikan.

"Menjadi guru disiplin sewaktu era kini menjadi satu cabaran yang sangat besar. Segala tindak-tanduk diperhatikan oleh masyarakat. Yang paling utama, kemenjadian murid dalam isu disiplin diutamakan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain