suria

Klien sanggup datang dari jauh demi tundukkan kucing garang sebelum grooming, pemuda jawab pasal guna jampi

Kucing agresif yang dihantar oleh klien untuk didandan oleh Anas.

"ABANG mandrem (jampi) apa dekat kucing tu?"

Soalan sedemikian adalah antara pertanyaan popular yang diajukan oleh warga maya setiap kali lelaki ini berkongsi video memaparkan dirinya 'menundukkan' si bulus yang agresif sebelum proses grooming (dandanan) dilakukan.

Kecekapannya mengendalikan emosi kucing yang pada mulanya bengis sebelum bertukar menjadi jinak benar-benar mengkagumkan netizen.

Maka tidak hairanlah video-video yang dikongsikannya di laman sosial meraih sehingga jutaan jumlah tontonan.

Menurut Anas Mursyidi Abu Mansor yang juga pemilik Kaka Cat House, dia tidak mengamalkan apa-apa jampi sebagaimana yang disangka segelintir individu.

ARTIKEL BERKAITAN: Darah meleleh, tangan kiri membengkak di Aidilfitri gara-gara kucing ‘makan’ tuan... Doktor unit kecemasan tak sangka angkara si bulus

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berdarah pun! Isteri terkejut doktor beritahu gigitan manja kucing di tangan suami boleh bawa maut... tanda bermula dengan lemah satu badan

"Tak ada mentera, jampi, sihir atau doa khusus macam yang ramai katakan. Semuanya bergantung dengan handling techniques yang betul, grooming skills, cat behavior reading ability, pengalaman, keyakinan diri dan latih hati untuk kekal tenang.

"Cuma yang memang saya amalkan hanya doa setiap hari selepas subuh agar Allah memudahkan urusan dan memberi ketenangan hati," ujar lelaki yang berusia 34 tahun ini.

Merupakan seorang pendandan profesional bertauliah (certified professional groomers), dia yang senang disapa sebagai Anas mengakui 'cakaran' si bulus sudah menjadi asam garam bagi groomers lebih-lebih jika belum mahir.

grooming 2

Anas berkecimpung dalam bidang 'grooming' kucing sejak berusia 15 tahun.

"Bila kita dah mahir, risiko kecederaan tu dapat dikurangkan. Cabaran dan kecederaan yang paling teruk saya pernah alami, ketika groom kucing jalanan.

"Kucing jalanan tidak dipotong kuku sebelum dimandikan seperti kucing-kucing yang dipelihara kerana kuku adalah senjata mereka untuk pertahankan diri mereka bila dilepaskan semula," katanya.

Berkongsi cerita bagaimana dia mula berjinak-jinak dalam bidang grooming kucing, Anas mendedahkan ia bertitik tolak sewaktu dia bekerja sambilan di pasar ketika berusia 15 tahun.

"Pasar ni kita tahu tempat kucing yang dibuang. Jadi saya ambil tanggungjawab jaga kucing-kucing ni.

"Kebetulan ada bapa kepada kawan saya yang merupakan pemilik kedai haiwan yang beri idea untuk groom dan ajar saya groom kucing demi tujuan untuk mereka bersih dan cantik.

grooming 3

'Grooming' bukan sekadar memandikan kucing sebaliknya melibatkan teori sains, pengetahuan kesihatan haiwan, kebolehan manusia dan kawalan emosi.

"Bila dah cantik dan bersih, ramai pengunjung yang sudi adopt kucing-kucing di pasar ni. Semenjak itulah saya jatuh cinta dan minat dengan grooming kucing ni," katanya lagi.

Terlalu meminati bidang grooming si bulus, Anas dan isteri juga pernah tampil dengan idea 'grooming amal' sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

"Kami berdua memang ada peruntukan sebahagian daripada jumlah pendapatan kami sebagai sumbangan amal.

"Idea untuk buat kerja amal grooming seikhlas hati apabila isteri terfikir bagaimana jika peruntukan untuk sumbangan ni, kita buat biaya kerja grooming di mana jumlah tersebut mungkin akan bertambah selain ramai lagi yang akan dapat manfaat," katanya.

Memang saya amalkan hanya doa setiap hari selepas subuh agar Allah memudahkan urusan dan memberi ketenangan hati.

ANAS MURSYIDI ABU MANSOR

PEMILIK KAKA CAT HOUSE

Bertemu jodoh dengan wanita yang berkongsi minat yang sama, Anas dan isterinya, Khaliza Che Khalid kini mengusahakan Kaka Cat House yang sudah beroperasi sejak 1 Januari 2022 di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sungguhpun baru bertapak, Kaka Cat House semakin dikenali ramai malah bilangan pengikut di laman sosial juga bertambah dek kerana warga maya terpukau dengan 'magis' yang dimiliki Anas.

Maka tidak hairanlah ada klien dari negeri lain yang sanggup datang ke Pulau Pinang semata-mata mahu menghantar kucing mereka didandan oleh Anas kerana percaya dengan kepakaran lelaki tersebut 'menundukkan' si bulus yang agresif.

grooming 1

Orang kuat Kaka Cat House.

Tidak menyangka video-videonya menjadi tular di TikTok, Anas berkata harapannya daripada setiap perkongsian tersebut sedikit sebanyak dapat menyebarkan ilmu kepada masyarakat mengenai bidang grooming kucing

"Ia bukan sekadar memandikan kucing sahaja. Bidang cat grooming ni boleh dijalankan secara professional.

"Grooming kucing sebenarnya melibatkan teori sains, pengetahuan kesihatan haiwan, kebolehan manusia, kawalan emosi dan semua ini dilaksanakan dengan penuh penghayatan seni," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain