suria

Layak minta hantaran tinggi, skil ‘overhaul’ enjin buat ramai kagum... Gadis ini reda tangan penuh minyak, tak kemas macam perempuan lain

Gadis ini meminati bidang automotif yang selalunya dilakukan oleh kaum lelaki.

BAGAI jatuh cinta dengan sepana!

Itu mungkin perumpamaan moden yang sesuai bagi menggambarkan minat gadis bernama Hayatun Nufus Roshisam berusia 19 tahun ini terhadap bidang kejuruteraan automotif.

Keupayaan gadis yang senang disapa Fuss ini mencuri tumpuan netizen selepas rakamannya ketika menyertai Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam, Selangor pada 4 Jun lalu tular di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Cun habis! Gadis lasak kejutkan warga TikTok dengan baju kurung pink, minta doa yang baik-baik - “Tak pernah lagi beraya pakai baju Melayu”

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ‘buaya’ tinggalkan 10 lelaki setelah jumpa pemuda pilihan hati, tiga hari kenal terus ajak tunang

"Saya masuk pertandingan ni bertujuan untuk pemilihan wakil negara ke peringkat Asean, Asia dan dunia. Banyak lagi bidang lain yang ada dalam pertandingan WSMB seperti pembangunan, air-cond dan banyak lagi.

"Antara tugasan yang perlu saya lakukan dalam acara ni bukan sahaja baiki overhaul enjin tapi banyak lagi tugasan bahagian elektrikal seperti menguruskan sistem enjin.

"Saya memang minat sangat dengan bidang ni, dah tahun ke empat saya belajar sejak masuk kolej vokasional," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut Fuss yang sedang mengikuti pengajian Diploma Teknologi Automotif di Kolej Vokasional Kajang, Selangor, dia merupakan seorang yang lasak sejak kecil lagi.

Gadis ini menyahut cabaran bapa saudaranya untuk menjadi yang terbaik dalam bidang diambil.

Katanya, antara penyebab dia berjinak-jinak ke dalam bidang berikutan bagi menyahut cabaran bapa saudaranya yang pernah berkecimpung dalam jurusan automotif.

"Sejak daripada tadika lagi saya seorang yang lasak. Saya sangat aktif dalam bidang sukan termasuklah aktiviti mencabar seperti panjat gunung.

"Dulu saya pernah kena cabar dengan pakcik yang sekarang ni sudah jadi seorang jurutera. Masa belajar bidang sama. dia pernah dapat anugerah kokurikulum terbaik dalam jurusannya. Saya nak buktikan dekat dia saya boleh buat lebih daripada dia.

Bagi saya sebagai wanita, perkara yang sukar dalam bidang automotif ni ialah sentiasa dalam keadaan kotor apabila tengah belajar.

HAYATUN NUFUS

"Bukan tu saja, saya nak ubah persepsi orang lelaki bahawa tak semua perempuan ni lembik macam mereka sangka. Bukan semua perempuan tak mampu atau tak boleh buat kerja lelaki," ujar Fuss.

Namun ujar Fuss yang menetap di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, setiap sesuatu perkara yang ingin dilakukan pastinya ada cabaran terpaksa ditempuhi.

Namun ujar anak sulung daripada empat beradik ini, cabaran yang dihadapi bukanlah pematah semangat agar dia terus lakukan yang terbaik demi mencapai cita-citanya dalam bidang diceburi.

Fus mengikuti pengajian Diploma Teknologi Automotif di Kolej Vokasional Kajang sejak empat tahun lalu.

"Bagi saya sebagai wanita, perkara yang sukar dalam bidang automotif ni ialah sentiasa dalam keadaan kotor apabila tengah belajar.

"Jarang la tangan dan baju sentiasa bersih apabila sedang belajar. Mesti akan kena minyak jadi susah nak jaga penampilan macam gadis lain dekat sekolah dulu.

"Tapi semua tu bukan masalah besar sebab tak ada benda yang tiada jalan penyelesaian. Yang penting kita kena yakin dan percaya dengan diri kita sendiri bahawa kita boleh buat," ujarnya lagi.

Berikutan video yang tular di TikTok sehingga meraih lebih 700,000 jumlah tontonan, warga maya melahirkan rasa kagum dengan kecekapan gadis ini mengendali kerja-kerja kaum lelaki.

Gadis ini merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Rata-rata netizen memuji serta mendoakan malah ada juga yang berseloroh mengenai jumlah hantaran buat gadis ini kelak.

"Saya tak sangka pula video boleh jadi viral. Sebenarnya, mula-mula cikgu yang hantar video tu. Saya terus edit dalam galeri lepas tu tukar lagu saja sebelum masuk ke TikTok.

"Nasib baik tak ada kata-kata negatif yang saya baca dekat bahagian komen. Saya rasa bersyukur apabila ramai netizen doakan semoga saya berjaya dunia akhirat.

"Ada yang komen fasal kalau reti buat kerja macam ni baru logik hantaran tinggi. Bagi saya, soal harga hantaran tinggi tu tak patut dibahas pun sebab mereka tak tahu lagi kekurangan saya. Bergantung pada situasi juga. Kalau hantaran tinggi-tinggi tapi tak boleh buat lelaki tu bahagia dan kenyang tak guna," respons Fus.

Dalam pada itu, gadis ini turut menitipkan nasihat kepada wanita lain yang meminati bidang automotif untuk teruskan melibatkan diri tanpa menghiraukan mulut orang lain.

"Jika ada lelaki yang mengata 'nanti tangan akan menjadi kasar macam jantan' pun harus diendahkan sahaja dan jangan pernah ada istilah mudah berputus asa," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain