suria

Anak bongsu buat ‘u-turn’ masa sekolah menengah, padam minat jadi pilot... Akhirnya empat beradik ikut jejak bapa jadi engineer

Afiq dan tiga lagi adik beradiknya mengikut jejak langkah bapa mereka memilih untuk berkecimpung dalam bidang kejuruteraan.

BAK kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Begitulah juga dengan keluarga pemuda ini apabila kesemua adik beradiknya memilih untuk mengikut jejak langkah bapa mereka yang berkecimpung dalam bidang kejuruteraan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Afiq Aizzat Zamani berkata, abang dan dua kakaknya kini bekerja di syarikat pembinaan sebagai jurutera awam, manakala dia pula merupakan penuntut tahun akhir dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

ARTIKEL BERKAITAN: 16 ahli keluarga bergelar frontliners, doktor ini tegur sikap alpa dan pentingkan diri masyarakat - “Kalian dah penat, kami dah penat... semua tak daya”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dalam keluarga saya, adik beradik semua doktor” - PKP belum umum, pasangan doktor ini awal-awal tangguh majlis kahwin, ‘burn’ deposit

"Semuanya ikut jejak langkah ayah. Ayah saya, Zamani Jamil sebelum ini merupakan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR), dan kemudian bersara awal... kini ayah menjalankan perniagaan sendiri berasaskan bidang pembinaan.

"Abang sulung dan dua kakak masing-masing merupakan jurutera awam namun bekerja di syarikat pembinaan yang berbeza antara satu sama lain. Ibu pula dalam bidang kesihatan," ujarnya.

Menurut pemuda berusia 23 tahun ini, pada awalnya dia menanam cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang sejak di bangku sekolah dan langsung tidak berminat untuk mengikut jejak langkah bapa dan adik beradiknya.

"Tapi waktu menuntut di sekolah menengah, saya mulai sedar dan nampak laluan untuk menjadi seorang juruterbang ni agak sukar.

"Jadi saya tukar fokus. Ketika itu abang dan dua kakak dan melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang kejuruteraan awam.

"Masa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya agak tak bersungguh-sungguh tapi apabila dapat melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, saya fokus dan meneruskan momentum sampai ke universiti," ujarnya yang senang disapa sebagai Afiq.

afiq 3

Afiq kini menuntut dalam jurusan kejuruteraan mekanikal di UMP.

Menurut anak bongsu daripada empat adik beradik ini, dia memilih untuk mengambil bidang yang sedikit berbeza daripada bapa dan adik beradiknya kerana mahukan kelainan.

"Kalau ikutkan minat, saya nak ambil bidang kejuruteraan aeroangkasa, tapi akhirnya pilih bidang kejuruteraan mekanikal.

"Saya tak ikut bapa atau adik beradik yang pilih kejuruteraan awam sebab lebih berminat dengan mesin atau bidang automotif. Sejak dulu lagi saya suka cuba-cuba baiki kereta atau pun enjin," katanya yang bakal menamatkan pengajian pada Julai depan.

afiq 1

Afiq (dua, kiri) bersama penyelianya (tiga, kiri).

Satu lagi perkara yang menarik mengenai keluarganya, Afiq mendedahkan dia dan ketiga-tiga adik beradiknya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi yang sama.

"Mula-mula abang sulung dapat melanjutkan pelajaran ke UMP. Jarak usia dengan kakak kedua pula hanya setahun. Jadi mungkin nak lebih mudah, ibu cadangkan kakak ambil UMP juga tapi tak pasti pilihan ke berapa. Begitu juga dengan kakak ketiga.

"Saya letak universiti lain sebagai pilihan pertama, tapi rezeki dapat dekat UMP juga.

Saya tak ikut bapa atau adik beradik yang pilih kejuruteraan awam sebab lebih berminat dengan mesin atau bidang automotif.

AFIQ AIZZAT ZAMANI

"Memang riuh kalau berkumpul waktu hujung minggu atau raya... masing-masing cerita pasal bidang kerja yang sama. Cerita masalah yang berlaku dekat site, company... macam-macam," ujarnya sambil ketawa kecil.

Tidak menyangka video 'keluarga engineer' yang dimuat naik di TikTok meraih sehingga melebihi 371,000 jumlah tontonan, Afiq yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata perkongsian tersebut dibuat untuk suka-suka.

"Sampaikan ada yang DM, individu itu tanya apa cabang kejuruteraan awam yang high demand. Saya rasa mungkin dia berminat dalam bidang kejuruteraan.

afiq 2

Afiq (kiri) bersama keluarga sewaktu majlis perkahwinan kakaknya.

"Jadi saya cadangkan, pilihlah bidang pembinaan sebab ia sentiasa bergerak dan ada permintaan. Cuma terpulang kepada minat masing-masing... ada suka berpanas, ada yang pula yang suka bekerja di ofis.

"Kepada mereka khususnya yang ambil bidang kejuruteraan, apa yang boleh saya kongsikan, jangan putus asa. Ada yang belajar separuh jalan sebab rasa susah.

"Ia bergantung kepada diri kita sendiri. Ada yang sekali belajar terus faham, ada yang sebaliknya. Jadi kita kena tahu kemampuan diri dan cari solusi untuk uruskannya," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain