suria

Bakal pengantin B40 gelabah tak sempat kumpul RM17,000 nak kahwin tahun depan, demi ‘title’ raja sehari mungkin jadi hamba selamanya

Soalan yang diajukan wanita itu dijawab oleh Dr Azizul menerusi Facebook. (Gambar Hiasan: Instagram Kanda Kacak)

SETIAP pengantin kini ibarat perlu mengeluarkan 'modal' demi menjayakan hari perkahwinan mereka.

Ada yang dibuat secara mewah, namun ada juga pengantin yang memilih cara jimat dan penuh sederhana.

Di Facebook, penulis kewangan Dr Azizul Azli Ahmad turut berkongsi mesej pertanyaan seorang bakal pengantin yang diajukan kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Menggeletar, liuk-lintuk badan malu disentuh suami selepas akad nikah... ustazah ada teguran sayang buat pengantin ketika sesi batal wuduk

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin biarkan saja air matanya mengalir, tak mampu tahan emosi lihat adik menangis masa jadi wali - “Dah tak boleh manja dengan kakak”

Dalam mesej berkenaan, wanita itu buntu untuk mengumpul wang RM17,000 menjelang majlis perkahwinannya pada tahun depan.

"Assalamualaikum tuan. Saya nak tanya pendapat tuan pasal kewangan sebab saya selalu baca pasal kewangan daripada Facebook tuan.

"Macam ni, saya plan nak kahwin tengah tahun depan 2023. Tapi saya tak tahu macam mana nak simpan duit bagi pihak lelaki dan pihak saya.

"Gaji kami agak kecil, RM1,600 dan RM1,400. Pihak lelaki ada kira total semua RM17,000. Tapi macam tak sempat nak simpan.

"Kalau tuan boleh tunjuk ajar saya atau cadangan supaya kami dapat capai RM17,000 paling lewat bulan September tahun depan," tulis wanita itu.

dr azizul

Kata Azizul, pengantin perlu elak membuat pinjaman untuk majlis perkahwinan.

Menjawab soalan wanita itu pada Khamis, Azizul yang juga seorang penulis memberi saranan agar pasangan tersebut mengurangkan modal perkahwinan mereka.

Jelasnya, nilai RM17,000 tidak termaktub dalam rukun nikah, malah ia juga kelihatan tidak setara dengan jumlah gaji mereka berdua.

"Tunjuk ajar paling mudah dik adalah kecilkan modal kahwin. Dalam rukun nikah tak perlu ada sampai RM17,000 baru boleh kahwin. Kalau adik boleh tetapkan RM3,000 ke RM5,000 pun dah cukup tinggi memandangkan gaji adik dan calon suami masih B40.

"Begini dik, senaraikan apa yang 'wajib' ada pada majlis adik. Bayaran kadi, mas kahwin, cincin sebentuk, baju sepersalinan. Senaraikan yang wajib dulu.

"Bincang baik-baik dengan ahli keluarga, Gaji saya dan abang Dafie Baharom kecil mak, takkan nak mintak hantaran sampai RM10,000 juga?. Bincang baik baik," ujarnya.

Jangan sampai buat hutang, pinjam ah long, kredit Aeon, pinjam bank semata-mata nak puaskan hati dan kagumkan orang majlis kahwin kita meriah.

DR AZIZUL AZLI AHMAD

Selain itu, Azizul turut membuat pesanan agar bakal pengantin tidak terjerat dengan beban hutang dan pinjaman yang sudah tentu akan memberi kesan buruk pada masa akan datang.

Jelas Azizul, majlis perkahwinan hanya berlangsung sehari, maka amat tidak wajar untuk membelanjakan wang yang banyak dalam tempoh singkat.

"Jangan sampai buat hutang, pinjam ah long, kredit Aeon, pinjam bank semata-mata nak puaskan hati dan kagumkan orang majlis kahwin kita meriah.

"Jangan pening kepala nak bazirkan duit dan berangan raja sehari atau percaya teori, "kahwin ni sekali biarlah meriah nanti". Itu semua teori sampah sahaja sebenarnya. Haha kasar benor!

"Duit yang kita bazirkan RM17,000 dalam sehari itu perlukan masa 12 bulan kerja jika gaji RM1,400. Jika majlis kahwin dari jam 12 hingga jam 3 petang. Kita sedang belanja RM5,666 sejam. Bermakna sejam majlis kahwin kita adalah empat bulan gaji kita.

"Apakah ini mentaliti seorang raja sehari? Tengok macam mana orang bijak pandai, faham agama buat majlis kahwin untuk anak anak mereka. Mereka lagi kaya dari kita tetapi bijak urus kehidupan," nasihatnya lagi.

kahwin2

Azizul memberi saranan agar pasangan tersebut mengurangkan modal perkahwinan mereka. (Gambar Hiasan)

Perkongsian itu sehingga kini menerima lebih 1,200 tanda suka dan turut dihujani komen netizen.

Malah, ada beberapa netizen turut memberi peringatan kepada bakal pengantin lain agar tidak terjerat dengan beban kewangan, sebagaimana pesanan Azizul dalam posting itu.

"Adik, ini pesanan abang. Yang mustahak ialah mas kahwin,bukannya majlis perkahwinan. Buat majlis perkahwinan besar-besar tetapi kalau hubungan berakhir dengan penceraian, masa inilah baru tersedar yang duit yang dibelanjakan untuk majlis perkahwinan itu lebur begitu sahaja.

"Hidup ni pilihan. Kalau rasa dengan berbelanja RM17,000 boleh buat hati puas dan bahagia, teruskan, usahakan. Rezeki tu ada di mana-mana. Kalau rasa berjimat-cermat cut sana-sini boleh membahagiakan, teruskan mencari dan cut apa yang patut. Semua ikut cara sendiri

"Raja sehari adalah separuh dari ungkapan. Ungkapan penuhnya ialah raja sehari, hamba selamanya," tulis beberapa individu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain