suria

Peniaga dolak-dalik, mengelak ganti ayam bakar tak masak... Sengaja ‘buli’ pelanggan suruh tunggu lama-lama

Lelaki tersebut berani bersemuka dengan peniaga ayam bakar kerana mahu menegakkan haknya sebagai pengguna. Gambar hiasan

BERNIAGA bukan sekadar untuk meraih pendapatan semata-mata, sebaliknya perlu disertai keikhlasan dan nawaitu yang betul agar rezeki lebih berkat.

Sejak awal Ramadan, kerancakan bazar-bazar di seluruh negara sememangnya dirindui lebih-lebih lagi selepas dua tahun ia menjadi larangan berikutan penularan Covid-19.

Namun di sebalik kerancakan suasana tersebut, boleh dikatakan saban hari kita dihidangkan dengan perkongsian kurang menarik daripada netizen mengenai kualiti makanan yang dijual.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggemar anggap scam peniaga Roti John bazar Ramadan 'lain macam', “Isi halus, sos berlambak, 'add' perkataan leleh... RM7”

ARTIKEL BERKAITAN: Jual kebab guna roti sandwich, lebih geli tekak pedal ayam tak disiang... betul ke ‘scam’ bazar Ramadan makin menjadi-jadi?

Begitu juga halnya dengan seorang pelanggan ini yang berkongsi kisah malang apabila ayam bakar yang dibelinya kurang masak selain berbau busuk.

Menurut Muhamad Harris Nasril, disebabkan mahu menuntut hak sebagai seorang pengguna, dia kembali ke gerai berkenaan pada keesokan harinya dan bersemuka dengan peniaga makanan terbabit.

"Dik, ni ayam bakar abang beli semalam tak masak. Liat dan berbau tak boleh nak makan. Boleh ganti balik tak?

"Boleh... abang pusing-pusing dulu, nanti dah masak abang datang ambil.

"Wah senangnya. Tak ada tanya bukti langsung. Bagus adik penjual ni. Selepas berpusing bazar dua kali, saya bertanya 'dah siap ke dik?'

bazar

Dalam kemeriahan bazar Ramadan, boleh dikatakan saban hari kita dihidangkan dengan perkongsian kurang menarik daripada netizen mengenai kualiti makanan yang dijual.

"Abang ada gambar ayam tak masak tu tak? Eh, dia tanya gambar minta bukti pula. Tadi mula-mula tak nak tanya. Saya membuka telefon bimbit dan menunjukkan gambar ayam tak masak yang saya tangkap hari sebelumnya," kongsinya di Facebook, mengimbas kembali perbualannya bersama peniaga berkenaan

Bagaimanapun menurut Muhamad Harris, jawapan yang diberikan oleh peniaga tersebut selepas itu sedikit mengecewakannya.

Seolah-olah mahu mengelak apabila terpaksa memberi ganti rugi, peniaga berkenaan berkata tekstur dan warna daging ayam bakar sememangnya seperti gambar yang ditunjukkannya.

Namun Muhamad Harris berkata, dia menegaskan kejadian ayam berbau itu adalah kali pertama berlaku sejak beberapa kali dia membeli juadah yang sama daripada peniaga berkenaan sebelum ini sehingga terpaksa dibuang semua.

Dengan wajah yang jelas seperti tidak berpuas hati, Muhamad Harris berkata dia sekali lagi diminta untuk menunggu seketika sementara ayam siap dibakar dan diberi sebagai ganti rugi.

Jangan kata kita tak sokong peniaga bazar, dah empat kali kita beli pada dia sebelum ini.

MUHAMAD HARRIS NASRIL

"Ketika saya berdiri tunggu tu, saya perhatikan sahaja ayam-ayam lain yang sudah masak diberikan pada pelanggan yang baru datang. Ayam yang mahu digantikan itu dia masak yang lain, kecil sedikit.

"Saya mula memeluk tubuh memberi isyarat menunggu lama. Barangkali dia tidak selesa saya berdiri lama di situ, dia buat kerja tak keruan.

"Tiba-tiba ketika dia sedang mengalihkan seekor ayam lain yang sudah masak, ayam itu terlepas daripada pengepit besi dan jatuh ke jalan tar. Dah tak boleh jual. Dia terus masukkan ke dalam baldi," ceritanya.

Beberapa ketika menunggu, akhirnya peniaga tersebut menyerahkan seekor ayam bakar kepadanya sebagai ganti.

"Saya kemudian mengambil bungkusan ayam itu dari tangan pekerjanya. Sekurang-kurangnya dia ganti walaupun nampak seperti tidak ikhlas dengan nada yang tidak enak didengar.

"Memang ini kali terakhir la dik beli dekat awak. Selamat maju jaya. Lepas ni kalau anak nak ayam bakar, baik saya beli di Bakers Cottage berharga RM18. Kalau di bazar tu, RM25.

bazar 1

Sesetengah peniaga bazar mengambil kesempatan dan mengambil remeh kualiti makanan yang dijual. Gambar hiasan

"Jangan kata kita tak sokong peniaga bazar, dah empat kali kita beli pada dia sebelum ini," kongsinya lagi

Perkongsian kisah tersebut mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen dengan rata-ratanya memuji kesabaran pelanggan berkenaan.

"Amat tinggi tahap kesabaran tuan. Moga dilimpahi rahmat dan nikmat Tuhan," tulis @fikriejebat.

"Melayu berniaga biasanya salah niat sebab nak kaya. Sebab tu bila rugi dia marah-marah walau kadang-kadang salah dia sendiri. Berniaga ni niat pertama mesti nak mudahkan atau puaskan hati pelanggan," tulis @rayhunt.

"Gara-gara dia tak ikhlas nak ganti atas kesilapan dia, rugi lagi seekor ayam. Semoga dia dapat pengajaran," komen @mahirahmoftah pula.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain