suria

Mainan ‘pop-it’ sangkut celah gigi! Ibu panik sangka gusi bengkak, tak dapat bayang kalau tertelan

Mainan pop-it terlekat pada gusi kanak-kanak setahun.

ALAT permainan 'pop-it bubble' kini semakin popular dan sering dijadikan hadiah kerana ia dikatakan dapat merangsang deria sentuhan selain membantu perkembangan anak-anak.

Namun siapa sangka mainan silikon berwarna-warni yang boleh dipicit itu turut membahayakan si kecil andai tidak dipantau.

ARTIKEL BERKAITAN: Bilik penuh mainan! Ramai kata membazir tapi pasangan ini ada sebab tak berhenti membeli... tahniah, kini anak sulung speech delay lebih peka

ARTIKEL BERKAITAN: “Mainan tak tenggelam...” - ‘Jawapan jujur’ kanak-kanak mangsa banjir ditanya tentang permainan buat ramai tersentuh hati

Menceritakan detik cemas yang dihadapi kepada mStar, Szry Ertyqa Mohd Fuad memberitahu anak perempuannya Shaezry Erryssha Muhammad Hafiz yang baru berusia 12 bulan hampir tertelan sebutir mainan pop-it bubble berkenaan.

Ujarnya, kejadian itu hanya disedari ketika dia bersama keluarga ingin keluar ke pusat beli-belah di sekitar ibu negara.

"Semasa saya dalam perjalanan ke pusat beli-belah, saya baru perasan ada objek terlekat pada gusi anak. Itu pun ternampak dalam kereta ketika dia sedang mendongak sambil ketawa," ujarnya.

Menurut Szry anaknya itu tidak menangis mahupun menyatakan ada objek terlekat pada gusinya.

Disebabkan panik dengan situasi tersebut, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan terus membaringkan Erryssha dan memintannya membuka mulut untuk periksa.

"Mula-mula tak nampak ada objek yang bergerak pada gusi... jadi saya ingatkan gusi dia membengkak. Malah, semasa makan dan minum dalam perjalanan tu, dia langsung tidak menangis.

Warna merah menyebabkan Szry Ertyqa menyangka gusi anaknya bengkak.

Warna merah menyebabkan Szry Ertyqa menyangka gusi anaknya bengkak.

"Selalunya kalau ada bendasing masuk ke mulut seperti rambut dia akan jolok jari dalam mulut untuk keluarkan, tapi kali ini langsung tiada reaksi sehinggalah saya nampak sendiri," jelasnya.

Menurut wanita berusia 35 tahun itu lagi, disebabkan bimbang keadaan yang lebih teruk, dia meminta suami bergegas ke sebuah hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, setiba di hospital doktor gigi memaklumkan tidak pernah melihat gusi budak seperti itu.

"Dia kemudian meminta saya dapatkan rawatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), tapi disebabkan mahu rawatan disegerakan... saya minta doktor buat rujukan ke hospital swasta.

Dua cahaya mata Szry Ertyqa.

Dua cahaya mata Szry Ertyqa.

"Saya terus ke sana dan doktor wanita yang membuat pemeriksaan awal kelihatan risau kerana tak pernah tengok keadaan gusi seperti itu. Dia kemudian panggil doktor lelaki yang mungkin lebih senior.

"Doktor tu kemudian tanya kalau Erryssha ada gigit mainan... saya jawab tiada dan ketika dia kuis ke bahagian gusi berkenaan, terkeluar mainan tersebut," tambahnya.

Rupa-rupanya 'gusi' yang disangka membengkak itu adalah mainan silikon pop-it bubble yang tercabut.

Selepas kejadian tersebut, dia membuang semua permainan pop-it bubble kerana bimbang insiden sama berulang.

Dia tidak pernah gigit dan tiada kesan gigitan pada permainan berkenaan sebab hanya tekan-tekan sahaja.

SZRY ERTYQA

Malah sehingga kini, dia mengakui masih terkejut dan hairan dengan kejadian yang berlaku kerana mainan silikon itu sukar untuk terkeluar walaupun selepas ditekan dengan kuat menggunakan kuku.

"Erryssha memang selalu main sejak saya belikan pada awal Januari lalu. Sepanjang tempoh tersebut, dia tidak pernah gigit dan tiada kesan gigitan pada permainan berkenaan sebab hanya tekan-tekan sahaja... tak dapat bayangkan kalau dia telan sekali dengan roti masa tu," luahnya.

Perkongsiannya itu tular sehingga mendapat lebih 1.9 juta tontonan di TikTok dalam tempoh hampir 24 jam.

Mainan pop-it dibuang selepas kejadian tersebut.

Mainan pop-it dibuang selepas kejadian tersebut.

Rata-rata netizen menyatakan insiden yang sama pernah berlaku kepada mereka.

"Anak pernah kena... mainan macam tu lekat pada gusi.

"Nasib sangkut pada gigi, kalau terlekat pada tekak... nauzubillah," kata beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain