suria

Bulan puasa pun mencuri! Pelanggan restoran ‘kebas’ telefon adik Rita Sosilawati... Netizen kata cuai, salah sendiri

Rita berkongsi rakaman CCTV yang menunjukkan seorang pelanggan (bulatan merah) mencuri telefon pintar di restoran miliknya.

BULAN puasa pun nak mencuri!

Demikian perbuatan seorang lelaki yang dipercayai pelanggan di restoran milik usahawan kosmetik, Datin Rita Sosilawati di Publika, Kuala Lumpur.

Insiden kecurian itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik Rita di laman sosialnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sampai sebulan beroperasi, Rita Sosilawati terkejut jumpa 'macam-macam' ditabur depan restoran - "Tergamak buat di bulan Ramadan"

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara COD, 2 telefon dikebas pelanggan wanita, melayang RM6,000... "Nak cari RM50 pun susah sekarang ni"

Bercakap kepada mStar, Rita berkata, barang yang dicuri itu merupakan sebuah telefon pintar berharga hampir RM5,000.

Sebelum kejadian kira-kira pukul 10.20 malam, telefon yang baru dibeli adik lelakinya berusia 35 tahun itu dilihat masih di atas meja di dalam premis.

"Ketika kejadian, adik-adik saya datang ke restoran untuk moreh bersama. Masa berborak tu, adik lelaki saya letak beg kertas berisi kotak telefon atas meja yang ada menu.

"Adik lelaki hanya sedar beg kertas tu tak ada kira-kira pukul 11 malam. Apabila periksa CCTV nampak beg tu dicuri oleh seorang pelanggan," katanya ketika dihubungi mStar.

Rita atau nama sebenarnya Erni Dekritawati Yuliana Buhari berkata, pelanggan lelaki yang didakwa mencuri itu datang ke restorannya bagi membeli nasi goreng untuk dibungkus.

pelanggan rita mencuri 4

Beg kertas mengandungi kotak telefon diletakkan di atas meja berdekatan dengan Rita dan adik-adiknya.

Katanya, rakaman CCTV jelas merakamkan aksi mencurigakan suspek sebelum mengambil beg kertas berisi kotak telefon dan beredar.

"Staf saya yang berurusan dengannya pun kata pelanggan yang mencuri ni dalam keadaan gelabah. Tapi kami semua tak syak apa-apa mungkin dia macam tu sebab tengah cari duit.

"Ada ramai orang dalam dan luar premis, dan kedudukan meja saya dan adik-adik dengan meja yang diletakkan beg kertas tu begitu dekat, tapi dia boleh curi telefon tu sekelip mata.

"Telefon yang adik saya beli tu sangat baru, masih dalam kotak lagi. Adik saya baru je beli di kedai kira-kira dua jam sebelum kecurian," katanya.

pelanggan rita mencuri 3

Pelanggan terbabit (bulatan merah) berurusan dengan pekerja untuk membuat pesanan makanan.

Menurut Rita, dia bagaimanapun tidak menyangka kecurian yang berlaku di restoran berkonsepkan makanan Jawa itu berlaku ketika umat Islam meraikan kesucian bulan Ramadan.

"Ya Allah, tergamak dia buat kerja mencuri masa bulan puasa ni. Apabila saya post rakaman CCTV tu, ramai yang beri komen-komen negatif kata kejadian disebabkan oleh kecuaian.

Letak dalam peti besi pun boleh hilang kalau orang nak curi. Kalau barang tu bukan hak kita, jangan ambil.

DATIN RITA SOSILAWATI

"Memang kecuaian, tapi tak bermakna barang yang bukan hak milik kita boleh diambil sesuka hati. Letak dalam peti besi pun boleh dicuri kalau orang nak curi," katanya sambil menambah insiden kecurian pertama kali berlaku di restorannya yang beroperasi sejak setahun lalu.

Namun kata Rita, dia tidak menyangka kejadian buruk berlaku di restorannya sebanyak dua kali, kali pertama berlaku juga pada Ramadan tahun lalu apabila pihak tidak bertanggungjawab menabur beras, garam dan serbuk kunyit di luar restorannya.

Usahawan itu bagaimanapun reda dengan dugaan dan ujian yang berlaku.

pelanggan rita mencuri 5

Pelanggan yang mencuri telefon segera beredar keluar dari restoran.

Susulan kejadian membabitkan lelaki itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat adik lelakinya pada lewat malam Rabu dan kes masih dalam siasatan.

"Saya berkongsi rakaman CCTV supaya kejadian yang berlaku dijadikan iktibar oleh orang lain agar sentiasa berhati-hati. Kalau niat nak mencuri, orang tu sanggup lakukan apa saja.

"Kepada pencuri tu insaflah, hormatilah bulan Ramadan. Kalau barang tu bukan hak kita, jangan ambil. Jangan buat salah laku, jenayah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain