suria

Anak bawa balik sisa makanan kedai makan, ibu gembira nampak kambing salai masak lemak... Ada kata jijik, yang penting tak bazir

Masieta menerima bungkusan sisa makanan diberikan oleh anaknya yang bekerja di restoran.

SETIAP orang ada cara tersendiri dalam menzahirkan rasa syukur terhadap makanan agar tidak berlaku pembaziran.

Sudah semestinya perkara ini ada kaitan dengan cara didikan selain pengalaman hidup seperti pernah merasai kehidupan yang susah.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja yatim piatu luah hajat, teringin sambut raya dengan ibu bapa... Dalam sebak, netizen doa moga dapat mentua baik hati

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern sewa kondo jarak 5 minit dari KLCC, gadis Terengganu ini ada sebab mampu hidup selesa... Tahan diri godaan ‘shopping’

Perkara sama cuba disampaikan seorang ibu hanya mahu dikenali sebagai Masieta menerusi sebuah video memperlihatkan dia begitu menghargai sisa makanan yang dibawa pulang oleh anaknya, Mohd Norshahzul Amin, 18.

Menurut wanita yang berasal dari Sungkai, Perak ini, lebihan makanan yang mahu dibuang itu merupakan beberapa keping daging kambing salai masak lemak cili api yang dipenuhi bahan hampas masakan sahaja.

"Kejadian ni berlaku tiga hingga empat hari sebelum puasa. Anak saya (Amin) tu memang kerja dekat sebuah restoran di Sungkai sebelum tutup sepanjang bulan puasa nanti. Dia kerja sementara saja untuk cari duit sambil nak tunggu sambung belajar lepas SPM.

“Biasanya anak saya masuk kerja awal sikit pukul 4.30 petang kalau hari Isnin hingga Jumaat untuk cuci periuk belanga dan bekas-bekas lauk. Kerja dia buat ni kadang-kadang seorang dan adakalanya berdua.

“Masa tu rakan sekerja Amin nak buang sisa makanan mungkin sebab kelihatan seperti daging hancur saja yang tinggal. Apabila anak saya nampak, terus dia capai plastik dan tuang lauk tadi untuk dibawa pulang,” imbas Masieta menceritakan semula kejadian itu kepada mStar.

65246d09-3309-4541-a265-0b8d97a84fb1

Amin merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Jelas ibu kepada enam orang anak ini, dia selalu mengingatkan kepada Amin yang merupakan anak sulung daripada enam beradik itu supaya tidak membuang sisa makanan, sebaliknya membawa pulang lebihan itu.

“Amin tahu saya mesti suka apabila dia bawa balik segala jenis lauk-lauk tak habis ni. Masa dia hulur tu saya ingat gulai lemak pucuk paku rupa-rupanya kambing salai masak lemak cili api.

“Memang saya suka sangat walaupun cuma tinggal beberapa keping hirisan daging saja. Bukan apa, kalau nak beli sendiri memang mahal lepas tu mesti dapat sikit saja.

Bagi sesetengah orang memang nampak jijik tapi itulah realiti... kalau boleh sedaya upaya tak nak membazir.

MASIETA

“Anak-anak saya pula ramai nak makan jadi memang tak cukup. Itu yang buatkan saya terharu apabila Amin bawa balik satu plastik tu walaupun lebih banyak kuah berbanding dagingnya. Saya pernah makan lauk ni, memang sedap sangat,” katanya.

Dalam pada itu Masieta yang bekerja sendiri berkata dia tidak peduli seandainya makanan itu basi sekalipun, dia tetap menyuruh anaknya bawa pulang ke rumah.

“Saya selalu pesan pada Amin, kalau ada makanan lebih dekat tempat kerja tu jangan buang tapi bawa balik. Kalau makanan tu contohnya kari daging atau ayam yang sudah basi, saya akan basuh semula dan guna dagingnya untuk dimasak semula atau beri pada kucing.

ABD9CD23-6BE3-4A63-B877-1C8EE9863AE2

Tangkap layar daging salai masak lemak cili api yang dipanaskan semula oleh Masieta.

“Bagi sesetengah orang memang nampak jijik tapi itulah realiti. Kalau boleh sedaya upaya tak nak membazir. Saya paling sedih apabila tengok orang buat content buang makanan dekat media sosial,” ujarnya yang suka bercucuk tanam di rumah.

Berikutan video yang dimuat naik sehingga menjadi tular ini, Masieta tidak menyangka perkongsiannya itu membuatkan ramai terharu dan mendoakan kebaikan kepada anaknya.

Tambahnya, Masieta sendiri akui dia bersyukur dikurniakan dengan anak yang baik dan suka membantu ibu bapa.

efe9cbca-3409-453b-a013-222de2c82790

Masieta (tengah) turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur memiliki anak-anak yang baik.

“Amin seorang anak yang rajin bantu ibu bapa. Dia suka cari pengalaman melakukan pelbagai kerja sampai boleh beli motosikal menggunakan hasil duit kerja sendiri. Sebelum ini dia juga pernah kerja jadi tukang sapu.

“Bagi saya kita kena banyak nasihatkan anak-anak tanpa jemu. Tambahan pula apabila meningkat remaja, banyak dugaan tapi InshaAllah walau di mana dia berada, dia akan ingat dekat mak ayah yang selalu nasihat kan dia.

“Bersempena Ramadan ni kita kena banyakkan bersedekah. Sekiranya makanan tu berlebihan dan masih elok boleh sedekah pada jiran atau binatang peliharaan. Kalau sudah basi boleh buang dan tak perlu buat content masa nak buang makanan. Kalau boleh elak fitnah kita elak," ujar Masieta menutupi kisahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain