suria

Kecoh dakwaan pencarum suka-suka keluar simpanan KWSP dicop ‘kewangan tak stabil’, betul ke bank susah lulus pinjaman?

Ciapan mendakwa pencarum KWSP yang membuat pengeluaran sukar mendapat pinjaman bank.

BERITA gembira buat rakyat Malaysia apabila kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Pengumuman itu ternyata menarik nafas lega buat Keluarga Malaysia terutama mereka yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19, termasuk musibah banjir yang melanda negara, baru-baru ini.

Namun, timbul cakap-cakap bahawa keputusan kerajaan itu turut membolehkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan mereka meskipun tidak mengalami masalah kewangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencarum KWSP dibenarkan keluar simpanan cecah RM10,000... PM minta rakyat fikir masak-masak!

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP isytihar dividen simpanan konvensional 6.1 peratus, syariah 5.65 peratus

Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan bahawa individu yang mengeluarkan simpanan itu walaupun sekadar suka-suka akan menyebabkan status kewangan mereka dianggap sebagai 'tidak stabil'.

"(FYI) Untuk makluman anda, kalau anda keluarkan duit dari KWSP, bank akan cop anda sebagai 'kewangan tidak stabil', walaupun anda keluarkan duit tu saja-saja untuk shopping dan tak ada masalah kewangan pun sebenarnya.

"Dan bank susah nak bagi loan (pinjaman) dekat orang yang ada masalah kewangan," tulisnya menerusi satu ciapan yang tular di media sosial.

kwsp loan bank 2

Dakwaan seorang pengguna Twitter.

Pengguna Twitter berkenaan bagaimanapun memadamkan posting tersebut selepas berlaku kekecohan dalam kalangan netizen dan menerima kecaman.

"Dah delete tweet sebab nampaknya garis panduan tu hanya untuk RHB Bank, saya dah check dengan rakan-rakan kerja di bank dari bank-bank lain. Maaf atas info yang mengelirukan ye. Dah jangan gaduh-gaduh," dakwa pengguna Twitter berkenaan.

kwsp loan bank 4

Dakwaan daripada pengguna Twitter sama.

"Delete je tweet ni pula, buat-buat pandai pula. Aku keje RHB dah masuk 14 tahun, tak ada pula garis panduan ni.

"Aku keluar i-Citra, i-Lestari dan buat loan, lepas je. Fakta mana pakai ni?”

"Info macam ni biar pihak bank je yang keluarkan. Bila dah mislead pada orang awam, susah nanti. Just now you ada sebut hanya applicable to R bank. Lagilah pelanggan tak nak apply loan kat bank tu sebab KWSP mereka kena check macam tu," demikian antara komen-komen netizen yang terus mengecamnnya.

kwsp loan bank 5

Antara komen-komen netizen.

Dalam pada itu, RHB Banking Group menerusi ciapan balasnya terhadap pertanyaan seorang pengguna Twitter yang lain menafikan dakwaan tersebut.

Jelas bank tersebut pengeluaran KWSP termasuk pengeluaran khas tidak menjejaskan dalam penilaian permohonan pembiayaan.

Kalau ada masalah kewangan, kita dah boleh nampak dari CCRIS.

DR MOHD AFZANIZAM ABDUL RASHID

"Sehubungan dengan perkara ini, sukacita dimaklumkan bahawa pengeluaran KWSP, termasuk pengeluaran khas, tidak menjejaskan pemarkahan kredit pelanggan dan kelulusan pinjaman," tulis pengendali akaun rasmi bank itu @RHBGroup, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika dihubungi mStar berkata, pihak bank kebiasaannya memberi penekanan terhadap trend pembayaran hutang sedia ada melalui dokumen seperti Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bagi menilai permohonan pembiayaan.

kwsp loan bank 3

Maklum balas RHB Bank.

Menurut beliau, pihak bank juga menilai dari segi kadar keberhutangan melalui nisbah khidmat hutang (DSR).

"Selain itu, dokumen seperti CTOS juga diambi kira bagi melihat rekod hutang yang di luar dari sistem perbankan.

"Tiga dokumen ini merupakan perkara utama apabila menilai permohonan selain daripada maklumat tambahan yang boleh diberikan oleh bakal peminjam seperti tujuan pinjaman dibuat.

"Justeru, pernyataan seperti di posting tersebut kurang tepat bagi pendapat saya. Kalau ada masalah kewangan, kita dah boleh nampak dari CCRIS," katanya yang mengulas mengenai dakwaan menerusi ciapan yang tular itu.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid 2

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Ditanya sama ada masalah kewangan tidak dinilai berdasarkan pengeluaran KWSP sekiranya rekod CCRIS pemohon 'bersih', Mohd Afzanizam mengesahkan perkara itu.

"Ya boleh dikatakan macam tu. CCRIS ni nombor satu pertimbangannya (penilaian)," tambahnya.

Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion membabitkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain