suria

Berhantu ke? Karpet wajah Tangmo Nida punca penghuni rumah susah tidur... tak semena-mena terdengar bunyi tangisan, langsir terbuka tutup

Valentine bersama karpet wajah Tangmo yang dihasilkannya.

KISAH kematian aktres Thailand Tangmo Nida bukan sahaja kecoh di negara itu, malah turut menjadi perhatian rakyat Malaysia.

Jika disoroti media sosial, banyak posting dibuat bagi menzahirkan rasa simpati terhadap pemergian aktres cantik kesayangan ramai itu.

Tidak terkecuali tentunya jejaka ini yang meraih perhatian ramai selepas dia menghasilkan karpet wajah Tangmo.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan-rakan sering kata ‘muka sama’ sejak dulu, ‘Tangmo Nida’ versi berhijab terkesan kisah kematian aktres Thailand

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dakwa dirasuk roh Tangmo Nida viral di TikTok, meraung kesejukan bawah jambatan

Hanya ingin dikenali sebagai Valentine, jejaka berdarah kacukan Malaysia dan Thailand itu berkata, karpet berkenaan dihasilkan atas permintaan pengikutnya di media sosial.

Jelasnya, dia turut terkesan dengan pemergian selebriti itu dan mengakui sedih sepanjang proses penghasilannya karpet tersebut.

"Agak cepat (buat) sebab ia tak banyak garisan dan warna seperti karpet anime. Biasanya tufting ambil masa dalam tiga hingga lima jam. Lepas tu tunggu gam kering tiga ke empat jam. Lepas gam kering, kena finishing pula dalam dua ke tiga jam.

"Rasa kesian. Tapi saya susah sedih. Tapi mestilah ada rasa cuma saya tak menangis. Saya pernah tengok dia berlakon, tapi saya jarang layan movie," ujarnya.

tangmo 3

Proses penghasilan karpet yang dikongsi menerusi TikTok.

Menurut jejaka berusia 28 tahun itu, dua video penghasilan karpet Tangmo Nida yang dikongsi ke aplikasi TikTok turut meraih lebih 450,000 tontonan.

Selain menerima pujian, ada netizen turut meluahkan hasrat memiliki karpet tersebut.

Dia cakap tidur je mimpi Tangmo. Lawak lah. Sekarang dia tidur bawah. Kesian. Dia cakap langsir terbuka tertutup.

VALENTINE

"Ramai juga yang minta nak beli. Tapi saya tak balas pun. Sekarang saya simpan saja. Kalau ada orang nak beli, saya jual saja.

"Kebanyakan orang suruh saya bagi karpet tu kepada teman lelaki Tangmo. Kalau teman lelaki dia nak, saya bagi percuma saja," ujarnya yang menetap di Bukit Damansara dan Subang Jaya.

Untuk rekod, karpet yang dihasilkan jejaka itu hadir dalam tiga saiz dengan harga berbeza-beza.

Karpet kecil dijual pada harga RM190, saiz sederhana RM280 dan paling besar bernilai RM370.

tangmo 2

Valentine baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia tufting.

Bercerita lanjut, Valentine mendedahkan rakan serumahnya takut untuk tidur memandangkan karpet wajah Tangmo masih digantung di dinding tingkat atas kediaman yang didiami mereka.

"Takut juga kadang-kadang tengok karpet tu. Simpan kat dinding tingkat atas. Kawan saya tidur atas, dia cakap tak boleh tidur. Mungkin dia penakut kot.

"Dia cakap tidur je mimpi Tangmo. Lawaklah. Sekarang dia tidur bawah. Kesian. Dia cakap langsir terbuka tertutup. Lepas tu katanya ada orang pukul belakang dia masa tidur.

"Dia juga nampak orang jalan, terdengar suara tangisan sampaikan dia minta nak tidur bawah. Saya rasa tak percaya, tapi rasa seram juga," ujarnya yang berasal dari Kepong, Selangor.

tangmo nida 3

Kematian Tangmo Nida hangat diperkatakan di Malaysia.

Mengenai penglibatannya dalam dunia tufting dan pembuatan karpet, Valentine berkata dia baru berjinak-jinak sejak 6 Februari lalu.

Pernah mengikuti pengajian di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Valetine kini bekerja dengan keluarga di samping mencari pendapatan sampingan dengan penghasilan karpet.

Dedahnya, dia mula berminat menceburi dunia tufting selepas menonton video dari luar negara sebelum membeli sebuah mesin serta material untuk menghasilkan produk hiasan tersebut.

Menerusi akaun TikTok ValentineVV2, dia turut berkongsi video tufting logo restoran makanan segera KFC yang dihasilkan Valentine turut meraih lebih 4.5 juta tontonan.

Selain itu, dia turut menghasilkan tufting karakter anime Naruto, Upin dan Ipin, Pikachu, Doraemon, logo 7Eleven dan banyak lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain