suria

Gaun kahwin ‘Cameron Highlands bergerak’ bukan inspirasi ‘baju pokok’ Aina Abdul, idea ibu pengantin lebih sedekad lalu!

Amelin anggun memakai gaun bunga bersama suami ketika acara potong kek. foto Hafeezakimiphoto Gambar kecil Aina Abdul

BUKAN guna labuci atau manik, busana pengantin yang dihiasi dengan bunga-bunga segar ternyata mencuri tumpuan.

Menerusi video yang dikongsi oleh seorang jurugambar, pemakaian gaun tersebut menyerlahkan lagi keanggunan pengantin perempuan di pelamin.

Keunikannya dipuji netizen, tidak terkecuali ada yang menyangka ia adalah inspirasi gaun 'pokok bunga' yang dipakai penyanyi Aina Abdul sewaktu Anugerah Juara Lagu ke-36, pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin kongsi 'keajaiban' baju nikah arwah mak, dulu tak muat tapi sebulan sebelum ijab kabul tiba-tiba boleh pakai - "Dia lelaki sama saya kenalkan dekat ibu"

ARTIKEL BERKAITAN: Jurugambar terkejut sepasang pengantin tapi ada 3 pelamin dalam rumah, mungkin pengalaman sekali seumur hidup

Bercakap kepada mStar, pengantin perempuan, Nik Nur Amelin Nik Ahmad Azman berkata, gaun itu dipakai ketika majlis persandingan di Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu, Kelantan, Sabtu lalu.

Dia yang bernikah pada 3 Mac memberitahu, busana tersebut bersesuaian dengan majlis persandingannya yang bertemakan klasik Inggeris.

"Gaun bunga saya pakai masa acara memotong kek di sebelah petang. Masa sanding, saya pakai gaun lain tetapi masih gaya Inggeris.

"Diraikan dalam majlis perkahwinan bertemakan Inggeris merupakan impian saya sejak kecil," kata wanita berusia 29 tahun itu ketika dihubungi.

baju bunga pengantin

Amelin (kanan) dan suami bernikah pada 3 Mac 2022. foto Hafeezakimiphoto

Lebih mesra disapa Amelin, katanya, gaun bunga pengantin itu adalah idea arwah ibunya lebih 10 tahun lalu, ketika usianya 17 tahun.

"Masa tu sembang-sembang dengan arwah mama (panggilan nama ibu) pasal kahwin, setelah saya tamat menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

"Arwah mama berpesan kalau boleh dia nak tengok saya pakai baju pengantin dengan bunga-bunga segar dari atas sampai bawah," katanya sambil menambah ibunya yang menghidap kanser usus meninggal dunia pada usia 59 tahun, tiga tahun lalu.

Mengenali suami, Muhammad Faez Abdul Razak, 29, kira-kira dua tahun lalu, hasrat arwah ibu direalisasikan pada majlis perkahwinannya, menggunakan 100 peratus bunga segar.

baju bunga pengantin 3

Hampir 900 kuntum bunga segar digunakan untuk gaun pengantin Amelin. foto Hafeezakimiphoto

Amelin yang berasal dari Kota Bharu menjelaskan bahawa bunga-bunga yang digunakan adalah ros, daisy, baby's breath dan hydrangea, kesemuanya diimport dari China dan India.

"Idea ni dimaklumkan kepada pereka baju yang juga sepupu saya pada Disember tahun lalu. Mula-mulanya dia terkejut, tapi hasil perbincangan kami cuba lakukan yang terbaik.

Saya gembira dapat tunaikan hasrat arwah mama, tapi terkilan sebab mama tak sempat tengok saya kahwin pakai gaun tu.

NIK NUR AMELIN NIK AHMAD AZMAN

"Hampir 900 kuntum bunga segar digunakan untuk menghiasi gaun pengantin saya. Bunga ros saja dah lebih 300 kuntum.

"Gaun pengantin disiapkan kira-kira seminggu, manakala hiasan bunga-bunga segar mengambil masa kurang 24 jam sehingga pada hari persandingan," tambahnya.

baju bunga pengantin 4

Majlis persandingan Amelin dan suami pada 5 Mac 2022. foto Hafeezakimiphoto

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, persiapan begitu mencabar dari segi rangka busana selain memastikan strukturnya kukuh untuk menampung jumlah bunga yang banyak.

"Gaun ni waterproof sebab nak siram bunga-bunga untuk bertahan lebih lama," katanya sambil menambah sepupunya yang membuat rekaan busana tersebut bertugas sebagai doktor.

baju bunga pengantin 5

Gaya romantis pengantin menyambut hari bahagia. foto Hafeezakimiphoto

Sekadar mendedahkan kos keseluruhan busana bunga itu berjumlah 'empat angka', Amelin yang baru menamatkan pengajian Ijazah Perubatan di Universitas Sumetera Utara (USU) di Medan, Indonesia menyifatkan proses memakai busana itu pada majlis sanding ternyata mencabar.

"Jujurnya, kos untuk bunga lagi mahal daripada baju. Struggle juga nak pakai sebab baju ni terlalu berat dan tak boleh duduk ketika memakainya... sebab tu tak pakai masa sanding.

"Majlis pula outdoor, cuak juga kalau bunga layu atau jatuh. Mujur cuaca mendung. Kasihan kat suami kena ada social distancing masa acara potong kek sebab gaun tu kembang.

"Ramai terkejut gaun tu macam 'Cameron Highlands bergerak'. Saya gembira dapat tunaikan hasrat arwah mama, tapi terkilan sebab mama tak sempat tengok saya kahwin pakai gaun tu," katanya yang merujuk destinasi pelancongan yang popular dengan tanaman dan bunga-bungaan segar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harry Maguire jadi sasaran Chelsea